Cara Betul Melupus Al-Quran

Soalan

Mohon pencerahan tentang cara melupus al Quran di premis sendiri dan adakah habuk sisa Al-Quran yg dibakar boleh dibuang di mana-mana kawasan sungai atau laut?

Penjelasan

  1. Mushaf yang rosak boleh dibakar di lokasi yang suci dan terkawal bagi mengelakkan penghinaan terhadap ayat-ayat Allah. Ini disokong oleh amalan para sahabat seperti Saidina ‘Uthman RA.
  2. Abu hasil pembakaran hendaklah dihanyutkan ke laut atau sungai yang mengalir, atau ditanam di tempat yang tidak dilalui atau dilintasi orang ramai bagi memastikan ia tidak dipijak atau dihina.
  3. Individu yang melaksanakan pelupusan hendaklah dalam keadaan berwuduk dan suci daripada hadas, serta berniat menjaga kemuliaan kalamullah, bukan sekadar membuang bahan cetakan biasa.
  4. Setiap tindakan dalam proses ini bertujuan menzahirkan penghormatan terhadap wahyu Allah, serta mencerminkan keimanan dan kecintaan umat Islam terhadap kitab suci mereka.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Pendahuluan

Al-Quran bukan hanya teks biasa, ia adalah kalamullah yang diturunkan sebagai petunjuk dan rahmat buat manusia. Oleh itu, setiap helaian yang memuatkan ayat-ayat suci ini perlu dipelihara kehormatannya walaupun telah rosak dan tidak lagi boleh digunakan. Dalam suasana dunia moden dengan bahan cetakan al-Quran yang begitu meluas, maka persoalan berkaitan pelupusan al-Quran rosak perlu ditangani dengan penuh ketelitian dan berdasarkan panduan ulama serta fatwa autoriti.

Kitab suci al-Quran terdedah kepada kerosakan atas dua faktor utama iaitu faktor semula jadi atau faktor mendatang. Faktor semula jadi adalah seperti proses pereputan dan pengoksidaan. Faktor mendatang adalah seperti rosak, terkoyak, usang dan sebagainya. Dalam keadaan ini, al-Quran tersebut tidak dapat dirujuk kerana hilang sebahagian halamannya atau rosak keseluruhannya. Oleh yang demikian, pelupusan teks al-Quran perlu dilaksanakan dengan kaedah yang betul.

Kaedah Pelupusan Mashaf Al-Quran

Antara kaedah utama yang disebutkan para ulama adalah membakar mushaf yang rosak, khususnya jika ia sudah tidak boleh digunakan lagi. Kaedah ini bersandarkan kepada tindakan Saidina ‘Uthman bin ‘Affan RA ketika proses penyelarasan mushaf di zaman pemerintahannya. Beliau memerintahkan agar mushaf-mushaf yang bercanggah dengan salinan rasmi dibakar.

Hal tersebut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:

أن عثمان بن عفان رضي الله عنه :أَمَرَ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ، وَعَبْدَ اللَّهِ بْنَ الزُّبَيْرِ، وَسَعِيدَ بْنَ الْعَاصِ، وَعَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ الْحَارِثِ بْنِ هِشَامٍ، فَنَسَخُوهَا فِى الْمَصَاحِفِ، وَقَالَ عُثْمَانُ لِلرَّهْطِ الْقُرَشِيِّينَ الثَّلاَثَةِ: إِذَا اخْتَلَفْتُمْ أَنْتُمْ وَزَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ فِي شَيءٍ مِنَ الْقُرْآنِ فَاكْتُبُوهُ بِلِسَانِ قُرَيْشٍ ، فَإِنَّمَا نَزَلَ بِلِسَانِهِمْ، فَفَعَلُوا، حَتَّى إِذَا نَسَخُوا الصُّحُفَ فِي الْمَصَاحِفِ رَدَّ عُثْمَانُ الصُّحُفَ إِلَى حَفْصَةَ، وَأَرْسَلَ إِلَى كُلِّ أُفُقٍ بِمُصْحَفٍ مِمَّا نَسَخُوا، وَأَمَرَ بِمَا سِوَاهُ مِنَ الْقُرْآنِ فِي كُلِّ صَحِيفَةٍ أَوْ مُصْحَفٍ أَنْ يُحْرَقَ

Terjemahannya: “Sesungguhnya ‘Uthman bin ‘Affan R.A memerintahkan Zaid bin Thabit, Abdullah bin al-Zubair, Sai’d bin al-‘As dan ‘Abd al-Rahman bin al-Harith bin Hisyam supaya menulis semula dalam bentuk salinan Mushaf yang sempurna, ‘Uthman berkata kepada tiga orang lelaki Quraish: Sekiranya kamu tidak bersetuju dengan Zaid bin Thabit berkaitan sesuatu hal di dalam al-Quran, maka tulislah dalam gaya bahasa Quraish, sesungguhnya al-Quran diturunkan dengan bahasa mereka, lalu mereka melakukannya, sehingga menjadi banyak salinan daripadanya (mushaf), kemudian ‘Uthman memulangkan mushaf yang asal kepada Hafsah, dan dikirim ke seluruh pelusuk dunia, kemudian ‘Uthman memerintahkan supaya segala mushaf selain daripada mushaf yang asal agar dibakar”.

[Riwayat al-Bukhari, No.4987]

Ibnu Battal ketika mengupas hadis di atas berkata:

وفي أمْر عثمان بتحريق الصحف والمصاحف حين جمع القرآن جواز تحريق الكتب التي فيها أسماء الله تعالى، وأن ذلك إكرام لها، وصيانة من الوطء بالأقدام وطرحها في ضياع من الأرض

Terjemahannya:Dalam tindakan Saidina ‘Uthman memerintahkan pembakaran suhuf dan mushaf ketika pengumpulan al-Quran, terdapat dalil keharusan membakar kitab-kitab yang mengandungi nama-nama Allah Ta‘ala. Ini dikira sebagai satu bentuk pemuliaan terhadapnya dan penjagaan daripada dipijak kaki ataupun dibuang ke tempat yang terbiar.” [Rujuk Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, Jld.10, Hlm.226]

Beliau juga membawa riwayat daripada Ma’mar mengenai tindakan membakar lembaran dan surat-surat yang mengandungi ayat suci Quran.

وروى معمر، عن ابن طاوس، عن أبيه أنه كان يحرق الصحف إذا اجتمعت عنده الرسائل فيها: بسم الله الرحمن الرحيم، وحرق عروة بن الزبير كتب فقه كانت عنده يوم الحرة، وكره إبراهيم أن تحرق الصحف إذا كان فيها ذكر الله، وقول من حرقها أولى بالصواب

Terjemahannya:”Ma‘mar meriwayatkan daripada Ibn Thaus, daripada ayahnya (Thaus), bahawa beliau akan membakar surat-surat yang terkumpul padanya yang mengandungi lafaz Bismillah al-Rahman al-Rahim.”

“‘Urwah bin al-Zubayr telah membakar kitab-kitab fiqh yang ada padanya pada hari peristiwa al-Harrah.”

“Ibrahim al-Nakha‘i tidak menyukai pembakaran kertas yang mengandungi nama Allah, namun pandangan mereka yang membenarkannya lebih tepat dan kuat.”

[Rujuk Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, Jld.10, Hlm.226]

Imam Ibnu hajar berkata:

هذا يقتضي حرمة حرق المصحف، أي: لغير غرض…، وهذا الغرض معتبر كما في قصة سيدنا عثمان رضي الله تعالى عنه

Terjemahannya: Kenyataan ini menunjukkan bahawa hukumnya haram membakar mushaf jika bukan kerana keperluan syarie… dan keperluan itu dianggap sah sebagaimana yang berlaku dalam peristiwa Saidina ‘Uthman RA.”

[Rujuk Tuhfatul Muhtaj, Jld.1, Hlm.156]

Daripada keterangan di atas, jelas menunjukkan bahawa tindakan Saidina ‘Uthman RA memerintahkan pembakaran mushaf-mushaf dan suhuf yang bercanggah ketika proses penyelarasan bacaan al-Quran adalah peristiwa besar yang diterima oleh para sahabat dan disokong oleh ulama salaf. Perkara ini bukan berlaku atas dasar merendahkan mushaf, tetapi demi memelihara kesatuan bacaan umat Islam dan menjaga kesucian al-Quran daripada kekeliruan.

Ibn Battal pula menyenaraikan beberapa amalan para tabi‘in yang menunjukkan mereka membakar kertas bertulisan Basmalah atau ayat-ayat al-Quran bagi mengelak penghinaan.

Berdasarkan pandangan Ibn Battal dan Ibn Hajar al-Haytami serta sokongan daripada amalan salaf, dapat disimpulkan bahawa Membakar mushaf atau kertas yang mengandungi nama Allah adalah harus, dengan syarat dilakukan bagi memelihara kehormatannya, bukan kerana merendahkan atau memusnahkan.

Dar Iftaʼ Al‑Urdun, Fatwa No. 3544 juga menyebut tentang keharusan membakar lembaran mashaf Al-quran yang sudah rosak:

يجوز حرق النسخ التالفة من المصحف، والأوراق المشتملة على لفظ الجلالة، صيانة لها عن الامتهان، ويكون ذلك بتخصيص مكان طاهر للحرق، وأنْ لا يلحق هذا المكان الأذى بالناس مع مراعاة شروط السلامة والأنظمة المتعلقة بذلك، وأن يدفن الرماد في مكان طاهر، ولا مانع أن تقوم لجنة الزكاة ببناء غرفة لمثل ذلك بشرط أن لا تكون من أموال الزكاة. والله تعالى أعلم.

Maksudnya:”Dibolehkan membakar naskhah al-Quran yang telah rosak, juga kertas bertulisan lafaz al‑Jalālah, sebagai perlindungan agar ia tidak dihina. Prosesnya adalah dengan menyediakan tempat suci khas untuk pembakaran, selamat dari bahaya dan patuh kepada peraturan. Abu kemudiannya perlu ditanam di tempat suci. Tidak salah jika Lajnah Zakat membina bilik khusus untuk tujuan ini, asalkan bukan menggunakan dana zakat.

[Rujuk: https://aliftaa.jo/research-fatwas/3544/حكم-حرق-نسخ-تالفة-من-المصحف-في-مكان-خاص]

Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-30 telah bersidang pada 22 Ogos 1992 dan memutuskan bahawa:

  1. “Al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak lagi boleh dibaca dan yang bukan Rasm ‘Uthmāni hendaklah dilupuskan.
  2. Kaedah pelupusan ialah dibakar di tempat yang dikawal dan ditanam di tempat yang dikawal.
  3. Kerja-kerja pelupusan hendaklah dipertanggungjawabkan kepada urus setia atau Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri serta dilakukan dengan cara tersembunyi demi mengelakkan salah faham orang ramai.”

[Rujuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2010, Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Putrajaya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, hlm. 126]

Keputusan ini dijadikan sandaran bagi prosedur penetapan perundangan dan pelaksanaan kaedah pelupusan al-Qurʾān mengikut syarak.

Di Malaysia, tidak timbul banyak isu mengenai kaedah ini. Namun begitu, masih terdapat segelintir pihak yang tidak mengetahui cara terbaik untuk melupuskannya.

Perkara yang sama turut diwartakan dalam Akta Percetakan Teks al-Quran yang jelas menyatakan bahawa: “Amalan ini bukan sahaja dapat menjaga kesucian al-Quran tetapi secara tidak langsung ia mencetuskan idea inovatif di peringkat institusi pengajian tinggi dalam menghasilkan peralatan yang terbaik untuk proses pembakaran demi menjaga kualiti alam sekitar, menjimatkan masa dan mengurangkan kos pengurusannya.” [Rujuk Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986, 2008]

Kesimpulan

Sebagai rumusan, pelupusan naskhah al-Quran yang rosak seharusnya dilaksanakan dengan penuh tertib dan adab syar‘ie. Antara kaedah yang boleh dilakukan adalah melalui proses pembakaran di lokasi yang bersih dan terkawal, kemudian sisa abunya dikumpulkan dan dihanyutkan ke sungai atau laut yang mengalir, sebagai langkah memelihara kesucian kalam Allah daripada sebarang bentuk pencemaran atau penghinaan.

Sebagai alternatif, abu tersebut juga boleh ditanam di kawasan yang tidak menjadi laluan manusia bagi mengelakkan sebarang kemungkinan ia dipijak atau diperlakukan secara tidak sopan. Kaedah-kaedah ini bersandarkan kepada prinsip pemeliharaan maruah al-Quran sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama terdahulu dan fatwa kontemporari.

Dalam masa yang sama, aktiviti pelupusan ini hendaklah dilakukan dengan penuh adab, termasuk dalam keadaan suci daripada hadas dan berwuduk, serta dengan niat yang betul sebagai satu bentuk penghormatan terhadap kalamullah. Pelaksanaan yang cermat ini bukan sahaja menzahirkan ketinggian adab Islam terhadap wahyu, tetapi juga melambangkan kecintaan umat Islam terhadap kitab suci mereka.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman serta taufiq kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.

Wallahu’alam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑