Soalan
Sekiranya seseorang membeli sesuatu barang menggunakan wang yang bersumber halal, namun menggunakan wang yang syubhah atau haram (bukan hasil curian dan tidak melibatkan pengambilan hak orang lain) untuk membayar kos penghantaran, apakah status kesucian barang tersebut?
Sebagai contoh, harga barang bernilai RM160 yang dibayar dengan wang halal. Namun, kos penghantaran: RM10 dibayar dengan wang haram atau syubhah.
Adakah barang tersebut dianggap sebagai barang daripada sumber yang haram kerana sebahagian daripada proses transaksi , iaitu kos penghantaran, melibatkan wang yang tidak bersih? Dan apakah status akad jual beli antara pembeli dan penjual dalam situasi ini, adakah ia sah dari sudut syarak?
Penjelasan
Status jual beli yang berlaku adalah sah dan barang tersebut adalah milik pembeli. Namun perbuatan menggunakan wang dari sumber yang haram bagi membayar kos penghantaran merupakan satu perbuatan yang haram dan berdosa.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Jual Beli
Dalam Islam, jual beli terdiri atas tiga rukun utama iaitu:
- Pihak yang berakad (penjual dan pembeli),
- lafaz akad (lafaz ijab dan kabul)
- Objek yang diakadkan (iaitu barangan dan bayaran)
Disebutkan di dalam kitab Mughni al-Muhtaj:
وَأَرْكَانُهُ فِي الْمَجْمُوعِ ثَلَاثَةٌ، وَهِيَ فِي الْحَقِيقَةِ سِتَّةٌ: عَاقِدٌ وَهُوَ بَائِعٌ وَمُشْتَرٍ وَمَعْقُودٌ عَلَيْهِ وَهُوَ ثَمَنٌ وَمُثَمَّنٌ، وَصِيغَةٌ وَهِيَ إيجَابٌ وَقَبُولٌ
Maksudnya: Rukun-rukun jual beli menurut al-Majmū‘ ada tiga, namun pada hakikatnya ia terdiri daripada enam perkara: pihak yang berakad, iaitu penjual dan pembeli; objek akad, iaitu bayaran (thaman) dan barang yang dijual (muthamman); dan lafaz akad, iaitu ijab dan qabul [Rujuk Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, jld.2, hlm.323]
Bagi setiap rukun ini pula, ada beberapa syarat yang memberi kesan terhadap kesahihan akad. Sekiranya setiap syarat itu dipenuhi maka jual beli itu sah dan barang menjadi hak milik pembeli. Jadi, merujuk kepada persoalan, transaksi jual beli yang menggunakan wang daripada sumber halal adalah sah dan barang tersebut menjadi milik pembeli.
Namun, penggunaan wang haram untuk membayar kos perkhidmatan penghantaran itu adalah haram dan berdosa. Tetapi ia tidak menjejaskan hak pemilikan barang. Hal ini diqiyaskan dengan seseorang yang solat di atas tanah yang dirampas, walaupun perbuatannya itu haram, namun sekiranya sempurna rukun dan syarat maka solatnya dikira sah akan tetapi dia berdosa atas perbuatannya.
Ini seperti mana yang disebutkan di dalam kitab al-Majmu’:
الصَّلَاةُ فِي الْأَرْضِ الْمَغْصُوبَةِ حَرَامٌ بِالْإِجْمَاعِ وَصَحِيحَةٌ عِنْدَنَا وَعِنْدَ الْجُمْهُورِ مِنْ الْفُقَهَاءِ
Maksudnya: Solat di atas tanah yang dirampas adalah haram menurut ijmak ulama, namun solat tersebut tetap sah menurut mazhab kami dan jumhur fuqaha.
Imam al-Nawawi menyambung lagi kenyataannya:
أَنَّ الصَّلَاةَ فِي الدَّارِ الْمَغْصُوبَةِ صَحِيحَةٌ يَسْقُطُ بِهَا الْفَرْضُ وَلَا ثَوَابَ فِيهَا
Maksudnya: Sesungguhnya solat di dalam rumah yang dirampas adalah sah dan gugurlah kewajipan fardhu dengannya, namun tiada pahala padanya. [Rujuk al-Majmu Syarh al-Muhazzab, jld.3, hlm.164]
Begitu juga dengan masalah sekiranya seseorang solat dengan pakaian yang dirampas. Solatnya sah namun haram dan berdosa. Ini merupakan pandangan dalam mazhab al-Syafie dan merupakan pandangan jumhur fuqaha.
قَدْ ذَكَرْنَا أَنَّ مَذْهَبَنَا صِحَّةُ الصَّلَاةِ فِي ثَوْبٍ حَرِيرٍ وَثَوْبٍ مَغْصُوبٍ وَعَلَيْهِمَا وَبِهِ قَالَ جُمْهُورُ الْعُلَمَاءِ
Maksudnya: Telah kami sebutkan bahawa mazhab kami berpendapat sahnya solat dengan memakai pakaian sutera dan pakaian yang dirampas, serta di atas keduanya (yakni bersolat di atas pakaian tersebut), dan inilah juga pendapat jumhur ulama. [Rujuk al-Majmu Syarh al-Muhazzab, jld.3, hlm.180]
Justeru, perbuatan seseorang yang menggunakan wang haram untuk membayar kos perkhidmatan penghantaran adalah haram dan berdosa. Namun, ia tidak menjejaskan kesahihan transaksi jual beli yang telah pun disempurnakan sebelumnya.
Cara Membersihkan Wang Haram
Bagi sesiapa yang mempunyai wang haram hasil daripada jualan arak atau duit daripada rasuah maka wajib ke atasnya membersihkan wang tersebut. Menurut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu:
“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
- Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
- Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
- Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal”.
Kesimpulan
Penggunaan wang haram sebagai kos penghantaran tidak menjejaskan akad jual beli yang telah pun berlaku. Maka jual beli itu sah dan barang adalah hak milik pembeli.
Wallahu’alam.
Sumber: e-Kemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment