Berkaitan dengan Syirik Aghrad, yang didefinisikan sebagai beramal kerana selain daripada Allah SWT, sejauh manakah skop amalan yang dimaksudkan itu? Sebagai contoh, jika seseorang memberi salam semata-mata atas sebab sosial kerana adab atau kebiasaan tanpa terlintas dalam hati untuk melakukannya kerana Allah, adakah itu termasuk dalam Syirik Aghrad? Atau, jika seseorang menuntut ilmu dengan niat utama untuk mendapat markah tinggi dalam peperiksaan, bukan kerana Allah, adakah itu juga tergolong? Adakah istilah amalan di sini hanya merujuk kepada ibadat khusus seperti solat, zikir dan puasa? Atau turut meliputi segala bentuk amal kebaikan termasuk memberi salam, menuntut ilmu, menolong orang, dan seumpamanya?
Penjelasan
Syirik Aghrad merujuk kepada perbuatan seseorang yang melakukan amal ibadat dengan niat riak atau untuk mendapatkan pujian. Namun, dalam konteks bersalam-salaman untuk tujuan sosial, atau belajar bagi memperoleh markah yang tinggi dalam peperiksaan, maka niat tersebut merupakan sebahagian daripada tujuan sebenar pelaksanaan amalan itu. Oleh itu, ia tidak termasuk dalam kategori Syirik Aghrad.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pembahagian Syirik
Imam al-Sanusi dalam kitabnya al-Muqaddimat membahagikan syirik kepada enam jenis:
- Syirik istiqlal: Menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi seperti Hormazd dan Yazdan (Ahura Mazdan dan Aingra Mainyu)
- Syirik tab’id: Menyatukan tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.
- Syirik taqrib: Beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ianya seperti menyembah malaikat, bulan, bintang, matahari dan lain-lain.
- Syirik taqlid: Beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain sebagaimana yang disebutkan dalam Surah al-Zukhruf ayat 23.
- Syirik asbab: Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya. Ini seperti syiriknya ahli falsafah dan naturalis
- Syirik aghrad: Beramal kerana selain daripada Allah SWT untuk mendapat pujian dan sanjungan manusia iaitu riak.
[Rujuk al-Nasamat al-Quddusiyyah Syarh al-Muqaddimat al-Sanusiyyah, hlm. 50-55]
Bagi jenis syirik istiqlal, tab‘id, taqrib dan taqlid, para ulama telah bersepakat bahawa pelakunya dihukum kufur. Namun bagi syirik aghrad, pelakunya tidak dihukumkan kufur secara ijmak namun ia merupakan salah satu daripada dosa besar yang wajib dijauhkan. Manakala bagi syirik asbab, ia memerlukan perincian. Sekiranya ia disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasiq dan ahli bid’ah.
Syirik Aghrad
Sabda Rasulullah SAW:
إنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إذَا جَزَى النَّاسَ بِأَعْمَالِهِمْ: اذْهَبُوا إلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا اُنْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً
Maksudnya: “Sesungguhnya yang aku paling takutkan kepada kalian adalah al-Syirk al-Asghar (syirik kecil) iaitu perbuatan riak, Allah SWT bertitah pada hari kiamat kelak apabila manusia dibalas atas setiap perbuatan mereka: ‘Pergilah kalian kepada orang-orang yang kalian beramal kerana mereka di dunia dahulu, akibat Riya’ kalian. Lihatlah di sisi mereka, ada atau tidak ganjaran kalian itu.’”
[Riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman 6831]
Imam ibn Hajar al-Haitami di dalam kitabnya membahaskan hal berkenaan riak.
الرِّيَاءُ مَأْخُوذٌ مِنْ الرُّؤْيَةِ وَالسُّمْعَةُ مِنْ السَّمَاعِ. وَحَدُّ الرِّيَاءِ الْمَذْمُومِ إرَادَةُ الْعَامِلِ بِعِبَادَتِهِ غَيْرَ وَجْهِ اللَّهِ تَعَالَى كَأَنْ يَقْصِدَ اطِّلَاعَ النَّاسِ عَلَى عِبَادَتِهِ وَكَمَالِهِ حَتَّى يَحْصُلَ لَهُ مِنْهُمْ نَحْوُ مَالٍ أَوْ جَاهٍ أَوْ ثَنَاءٍ
Maksudnya: Riak berasal daripada perkataan al-ru’yah (penglihatan), manakala sum‘ah berasal daripada al-sama‘ (pendengaran). Takrif riak yang tercela ialah apabila seseorang melakukan ibadah dengan tujuan selain daripada mengharapkan keredaan Allah Ta‘ala, seperti ingin dilihat oleh manusia akan ibadahnya dan kesempurnaannya, agar dia memperoleh daripada mereka harta, kedudukan, atau pujian.
[[Rujuk al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, hlm. 69]
Perbuatan syirik aghrad ataupun disebutkan sebagai syirik kecil ini tidaklah mengeluarkan seseorang daripada Islam namun ia merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Imam Ibn Hajar al-Haitami menyambung kenyataannya di dalam al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair:
وَالْمَعْنَى فِي تَحْرِيمِهِ وَكَوْنِهِ كَبِيرَةً وَشِرْكًا – مُقْتَضِيًا لِلَّعْنِ – أَنَّ فِيهِ اسْتِهْزَاءً بِالْحَقِّ تَعَالَى كَمَا مَرَّتْ الْإِشَارَةُ إلَيْهِ فِي الْأَحَادِيثِ
Maksudnya: Maksud di sebalik pengharaman perbuatan riak, serta sebab ia dianggap sebagai dosa besar, syirik kecil dan perbuatan yang boleh membawa kepada laknat, adalah kerana dalam perbuatan tersebut terdapat unsur istihza’ (mempermainkan) dengan al Haq Allah ta’ala, sebagaimana telah dijelaskan dalam hadis-hadis terdahulu.
[Rujuk al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, hlm. 70]
Tuntasnya, Islam menuntut kita sebagai seorang hamba untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT serta menghindari segala larangannya dengan penuh keikhlasan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَمَاۤ أُمِرُوۤا۟ إِلَّا لِیَعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ مُخۡلِصِینَ لَهُ ٱلدِّینَ حُنَفَاۤءَ وَیُقِیمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَیُؤۡتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَذَ ٰلِكَ دِینُ ٱلۡقَیِّمَةِ
Maksudnya: “Dan tidaklah mereka diarahkan melainkan hanya untuk menyembah Allah dalam keadaan ikhlas, memurnikan seluruh amalan agama hanya kepada-Nya sahaja. Menuju kepada Allah dan berpaling daripada selain-Nya, serta mendirikan solat dan menunaikan zakat. Demikian itulah agama yang teguh berdiri.”
[Surah al-Bayyinah 98:5]
Tuntutan dalam Beribadat
Di antara tujuan utama ketika bersalaman adalah bersosial dan mengeratkan hubungan. Daripada al-Bara’ berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ، فَيَتَصَافَحَانِ، إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَتَفَرَّقَا
Maksudnya: “Tidaklah ada dua orang Muslim itu apabila bertemu, lalu bersalaman, melainkan akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah.”
[Riwayat Ahmad 18547]
Begitu juga belajar untuk mendapatkan markah yang tinggi kerana pada waktu itulah seseorang itu akan menghafal, mengulang kaji pelajaran dan sebagainya,. Maka ini telah menjadi salah satu tanda bahawa dia bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.”
[Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman 4929]
Hakikatnya bersalam-salaman bagi tujuan bersosial atau belajar untuk mendapatkan markah yang tinggi adalah salah satu tujuan yang dituntut syara dan jauh sama sekali untuk kita dikategorikan sebagai perbuatan Syirik Aghrad.
Kesimpulan
Perbuatan riak atau disebut juga sebagai syirik aghrad atau syirik kecil merupakan satu dosa besar. Namun bagi seseorang yang bersalaman untuk mengeratkan hubungan atau belajar untuk mendapat markah yang tinggi maka ia sebenarnya bukan merupakan salah satu tujuan yang terkandung di dalam amalan tersebut. Oleh yang demikian perbuatan tersebut tidak dikategorikan sebagai syirik aghrad.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.
Wallahu’alam
Sumber: eKemusykilan Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment