ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌۭ وَلَهْوٌۭ وَزِينَةٌۭ وَتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌۭ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَـٰدِ ۖ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak;”
(Surah Al-Hadid 57:20)
Sidang Jemaah Jumaat Sekalian,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat. Bertakwalah kepada Allah dengan beristiqamah dalam mematuhi perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Usah terus leka dibuai nafsu yang mudah goyah dengan bisikan syaitan yang tidak pernah jemu menyesatkan.
Izinkan khatib mengingatkan diri ini dan seluruh hadirin yang dimuliakan. Mari kita bersama celikkan mata hati dan minda. Moga-moga setiap lafaz khutbah yang didengar dengan hati dan akal yang sedar, mendatangkan barakah dan pahala yang besar. Di penghulu segala hari yang mulia ini, khatib ingin membawa sidang jemaah menyelami sebuah tajuk khutbah yang sangat penting iaitu: “Dunia: Bayang Yang Penuh Dusta”.
Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,
Sebagai asas peringatan kita hari ini, firman Allah SWT dalam sebahagian Surah al-Hadid ayat 20 yang dibacakan di awal khutbah tadi bermaksud:
“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak;”
Ayat ini memberi gambaran jelas bahawa dunia adalah permainan dan perhiasan sementara. Seumpama tanaman yang tumbuh menghijau, akhirnya layu dan hancur. Dunia hanyalah fatamorgana yang memukau dan sekadar bayang yang menipu. Indah pada rupa, manis pada kata. Ada yang mengejarnya, akhirnya tenggelam. Sebahagian manusia memujanya, lalu hanyut dan hilang arah.
Kita berada dalam satu zaman yang serba maju, tetapi sebenarnya semakin keliru. Agak menghairankan apabila orang yang mengaku dirinya Islam tetapi melihat ketaatan kepada Tuhan bukan lagi satu kemuliaan, bahkan dilabel sebagai paksaan. Istilah kolot dilemparkan kepada mereka yang memilih untuk patuh kepada syariat.
Atas nama kemanusiaan, mereka laungkan slogan kebebasan mutlak dan hak asasi yang melampau; bebas beragama, memilih jantina, bermaksiat malah menghina syariat. Ketetapan agama tidak di endah dan dipatuhi. Sunnah Rasul juga makin jauh dipinggir daripada kamus kehidupan duniawi. Inilah golongan manusia yang terpenjara dalam jerat perhambaan moden alaf baru iaitu menjadi hamba kepada gaya hidup, teknologi dan nafsu.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya:
“Dunia itu penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.”
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Apa yang lebih membimbangkan, antara bentuk penipuan dunia yang paling halus dan berbahaya ialah apabila seseorang tertipu dengan amalnya sendiri. Inilah penyakit yang dinamakan oleh para ulama’ sebagai ghurur.
Amal yang sedikit terasa cukup. Dia sentiasa merasa lebih baik daripada orang lain. Misalnya, bersungguh-sungguh membaca Al-Quran, tetapi pada masa yang sama meremehkan orang lain yang tidak membacanya. Hadir solat jemaah dan majlis ilmu di masjid, namun hati dipenuhi sangkaan buruk kepada mereka yang tiada bersama. Merasa hampir dengan Allah, namun riya’, ujub dan takabbur bersarang dalam jiwa.
Kesemua ini adalah tanda-tanda hati manusia kadangkala terpedaya dengan dunia. Sedangkan hakikatnya, kecintaan kepada dunia telah banyak menjerumuskan manusia ke jurang kehancuran.
Muslimin Rahimakumullah,
Di dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, Imam al-Ghazali rahimahullah menjelaskan sifat ghurur boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Ulama yang tertipu dengan ilmunya, ‘abid atau ahli ibadah yang terpedaya dengan amal ibadahnya, ahli sufi yang merasa kedekatan kepada Tuhan dan si kaya yang terlena dengan kemewahan duniawi.
Kenyataan ini menjadi bukti jelas bahawa seluruh penghuni dunia berada dalam bahaya andai lalai mengambil iktibar daripada peringatan Allah. Buktinya, bukankah iblis dahulu tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang taat bersama para malaikat di syurga? Hanya kerana sombong yang tersembunyi, ia dilaknat selama-lamanya. Allah SWT berfirman melalui Surah al-Isra’ ayat 61:
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ قَالَ ءَأَسْجُدُ لِمَنْ خَلَقْتَ طِينًۭا(٦١)
Maksudnya: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka pun bersujud melainkan iblis; ia berkata: Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang diadun)?”
(Surah Al-Isra’ 17:61)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Hakikatnya, Allah SWT memuliakan manusia sebagai seorang khalifah, digelar sebaik-baik makhluk di muka bumi. Namun, apakah kita meletakkan diri pada kedudukan tersebut atau memilih menjadi hamba kepada selain Allah?
Ambillah iktibar dari satu kisah agung sebagai cerminan buat jiwa kita yang mungkin mulai lalai. Al-imam Fudhail bin ‘Iyad rahimahullah, yang dahulunya terkenal sebagai seorang pencuri jalanan, akhirnya beroleh hidayah kerana terdengar bacaan ayat suci al-Quran. Ketika sedang memanjat tembok rumah, beliau terdengar alunan suara yang membacakan
firman Allah dalam Surah al-Hadid ayat 16:
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ ٱللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ ٱلْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ ٱلْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ ۖ وَكَثِيرٌۭ مِّنْهُمْ فَـٰسِقُونَ(١٦)
Maksudnya: “Belum sampaikah masanya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik-derhaka.”
(Surah al-Hadid 57:16)
Sentuhan ayat ini mencairkan hatinya hingga beliau tersungkur dalam penyesalan. Lalu ditinggalkan dunia hitamnya, segera bertaubat dan akhirnya menjadi salah seorang tokoh besar yang dikenang sepanjang zaman. Kisah ini mengajar kita bahawa tipu daya dunia tidak akan menjerat hati yang berusaha mencari kebenaran. Sesungguhnya, Allah sentiasa membuka jalan pulang bagi siapa sahaja yang ingin kembali dengan penuh keikhlasan.
Tarikh Bacaan: 22 Muharam 1447H | 18 Julai 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment