ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌۭ وَلَهْوٌۭ وَزِينَةٌۭ وَتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌۭ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَـٰدِ ۖ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak;”
(Surah Al-Hadid 57:20)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Tumpukan sepenuh perhatian pada khutbah ini dan janganlah sibuk dengan perkara lagha seperti bermain telefon bimbit.
Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT. Khutbah pada hari ini akan berbicara tentang; “Sementara Namun Bermakna”.
Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin menyeru sidang Jemaah sekalian untuk terus memanjatkan doa pertolongan kepada Allah SWT agar melindungi, menyelamatkan dan memberi kemenangan kepada penduduk Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka. Sesungguhnya doa dari kita semua adalah senjata yang paling ampuh boleh kita salurkan kepada mereka dan hanya kepada Allah SWT jualah tempat yang selayaknya kita memohon pertolongan.
Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,
Firman Allah SWT dalam sebahagian Surah al-Hadid ayat 20 yang saya bacakan pada awal khutbah tadi bermaksud:
“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak;”
Allah SWT memberi gambaran yang jelas melalui ayat ini tentang dunia sebagai permainan dan perhiasan yang sementara. Ia umpama tanaman yang tumbuh menghijau, akhirnya layu dan hancur. Dunia hanyalah sebuah persinggahan yang padanya terdapat banyak fatamorgana yang memukau dan sekadar bayang yang menipu. Ada yang berjaya menepis tipu dayanya, namun sangat ramai pula manusia yang tertipu dan hanyut tenggelam dalam kebinasaannya.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Zaman ini kelihatannya semakin maju, tetapi sebenarnya semakin keliru. Agak menghairankan apabila orang yang mengaku dirinya Islam tetapi meninggalkan ajaran dan amalan yang telah disyariatkan.
Bahkan orang yang menjalankan kepatuhan terhadap agama pula yang digelar kolot. Ada pula yang gegak-gempita melaungkan slogan kebebasan mutlak dan hak asasi yang melampau iaitu kebebasan yang bertentangan dengan fitrah agama dan manusiawi.
Ada yang perjuangkan kebebasan beragama, kebebasan memilih jantina, kebebasan melakukan maksiat malah menghina dan mempersenda syariat Islam.
Perjuangan mereka hanyalah dipandu oleh hawa nafsu semata-mata. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Jaathiyah ayat 23:
أَفَرَءَيْتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍۢ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِۦ وَقَلْبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَـٰوَةًۭ فَمَن يَهْدِيهِ مِنۢ بَعْدِ ٱللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ(٢٣)
Maksudnya: “Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar)”.
(Surah al-Jaathiyah 45:23)
Begitulah dunia memenjarakan umat manusia sehingga ada yang sanggup memperhambakan diri semata-mata mengejar gaya hidup, teknologi dan nafsu. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Dunia itu penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir”.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Manusia juga boleh tertipu dengan amalnya sendiri. Berasa diri lebih baik daripada orang lain dan berasa amalnya lebih banyak daripada orang lain hingga akhirnya memandang remeh orang lain. Inilah tipu daya paling halus dan paling licik banyak memerangkap manusia.
Dalam kitab Ihya’ Ulumuddin, Imam al-Ghazali rahimahullah menjelaskan bahawa sifat ini boleh timbul kepada sesiapa sahaja. Ulama boleh tertipu dengan ilmunya, ‘abid atau ahli ibadah terpedaya dengan amal ibadahnya, pemimpin berasa mulia kerana kuasanya, hartawan berasa mulia kerana hartanya. Juga sebahagian orang berasa mulia kerana mempunyai “pengikut” yang ramai di media sosial.
Kenyataan ini menjadi bukti jelas bahawa seluruh penghuni dunia berada dalam bahaya andai lalai mengambil iktibar daripada peringatan Allah. Buktinya, bukankah iblis dahulu tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang taat bersama para malaikat di syurga? Hanya kerana kesombongannya, ia dilaknat selama-lamanya. Allah SWT berfirman melalui Surah al-Israa’ ayat 61 yang maksudnya: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka pun bersujud melainkan iblis; ia berkata: Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang diadun)?”.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Dunia ini hakikatnya hanyalah tempat persinggahan sementara, ibarat jambatan yang menghubungkan kita dengan akhirat yang kekal abadi. Setiap detik dan langkah di dunia ini menentukan nasib kita di akhirat kelak. Oleh itu, kehidupan dunia bukanlah medan untuk bersenang-lenang semata-mata, sebaliknya ia merupakan ruang ujian dan peluang untuk mengumpul bekalan amal soleh dan ketaatan kepada Allah SWT.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau seorang pengembara”. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Allah SWT juga mengingatkan dalam Surah al-Ankabuut ayat 64:
وَمَا هَـٰذِهِ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا لَهْوٌۭ وَلَعِبٌۭ ۚ وَإِنَّ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ لَهِىَ ٱلْحَيَوَانُ ۚ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ(٦٤)
“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)”.
(Surah al-Ankabuut 29:64)
Maka, menjadi tanggungjawab setiap mukmin untuk menggunakan kesempatan hidup ini bagi mendekatkan diri kepada Allah, memperbanyak amal kebajikan, meninggalkan maksiat dan menjalankan tugas sebagai hamba dan khalifah dengan penuh amanah. Sesungguhnya sesiapa yang lalai, dia akan rugi. Tetapi sesiapa yang sedar dan bersiap sedia, dia akan beruntung selama-lamanya.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Justeru, mengakhiri khutbah pada hari ini, beberapa intipati penting saya tinggalkan buat kita renungi bersama;
Pertama: Hiduplah di dunia ini dengan sentiasa penuh kesedaran bahawa dunia ialah sebuah perjalanan untuk menuju akhirat yang abadi.
Kedua: Usah biarkan pesona dunia memerangkap dan memenjarakan kita dari lalai mengingati Allah SWT dan melaksanakan segala kewajipan yang telah disyariatkan.
Ketiga: Gunakan dunia untuk meraih kesenangan di akhirat. Yakinlah bahawa apabila kita mengutamakan akhirat, dunia akan turut mengikutinya. Sebaliknya jika kita hanya mencari kesenangan dunia, kita akan terlepas kesenangan di akhirat.
Renungi firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 185:
كُلُّ نَفْسٍۢ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ(١٨٥)
Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”.
(Surah Ali ‘Imran 3:185)
Tarikh Dibaca: 22 Muharram 1447H / 18 Julai 2025
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment