Dalam kehidupan seharian, ramai antara kita mengalami reaksi emosi yang kelihatan berlebihan seperti mudah tersinggung apabila ditegur, rasa tidak dihargai walaupun dikelilingi insan tersayang, atau takut secara tidak rasional terhadap penolakan. Ramai menyangka ini berpunca daripada tekanan semasa atau kelemahan peribadi, tetapi hakikatnya, ramai antara kita membawa luka lama dari zaman kanak-kanak yang belum pernah benar-benar disembuhkan.
Dalam psikologi, “inner child” merujuk kepada bahagian dalam diri seseorang yang terbentuk sejak zaman kanak-kanak, yang menyimpan keperluan emosi, pengalaman trauma, dan memori penting yang membentuk keperibadian hari ini. Konsep ini kini menjadi fokus dalam banyak sesi terapi moden dan komuniti kesihatan mental.
Statistik Yang Mengerikan
Jika kita perhatikan laporan media, saban hari ada sahaja kes trauma kanak-kanak seperti penderaan fizikal, rogol, pengabaian dan amang seksual. Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 4,469 kes penderaan kanak-kanak direkodkan pada tahun 2023. Sehingga Ogos 2024, sudah 2,240 kes dicatatkan. Data dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan peningkatan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan — 8,536 pada 2023 berbanding 6,770 pada 2022, peningkatan sebanyak 26.1%.
Jenayah seksual terhadap kanak-kanak juga mencatatkan peningkatan 26.5% pada 2023 dengan 1,567 kes, berbanding 1,239 kes pada 2022. 1,389 daripadanya melibatkan serangan seksual fizikal, manakala kes pornografi kanak-kanak melonjak 139.3% daripada 28 kes (2022) kepada 67 kes (2023). Lebih menyayat hati, 3,348 daripada mangsa adalah perempuan.
Ini hanyalah angka yang dilaporkan. Hakikatnya, ramai lagi mangsa yang tidak tampil bersuara tentang penderaan dan pengabaian yang berlaku dalam keluarga semasa mereka kecil. Akibatnya, apabila dewasa, mereka terpaksa bergelut dengan trauma yang belum pernah sembuh sepenuhnya.
Tidak hairanlah jika ramai orang dewasa hari ini mengalami kesukaran emosi, keresahan atau hubungan yang rumit kerana luka masa kecil masih menghantui jiwa mereka.
Contohnya, pelakon Lisa Surihani pernah berkongsi secara terbuka dalam sesi IG Live bahawa dia melalui proses penyembuhan diri yang mendalam, dan menyedari bahawa reaksi emosinya kadang-kadang berpunca daripada luka masa lalu. Emma Maembong pula pernah mengakui bahawa dia bergelut dengan emosi sejak muda, dan hanya selepas menjadi ibu barulah dia sedar banyak reaksi dirinya datang daripada perkara yang belum diselesaikan dari dalam diri.
Seorang ibu berumur 40-an juga berkongsi bahawa dia sering mudah marah kepada anak-anaknya. Setelah mengikuti beberapa sesi terapi, dia sedar bahawa kemarahan itu bukanlah kerana sikap anak semata-mata, tetapi datang daripada pengalaman dibesarkan dalam suasana keras dan penuh kritikan. Inner child dalam dirinya masih mencari ruang untuk didengari.
Tidak kira setinggi mana status anda sebagai orang dewasa, jika isu ‘inner child’ tidak ditangani, kesannya tetap akan meresap ke dalam kehidupan, seringkali dalam bentuk yang tidak anda sedari atau ingini.
Apa itu Inner Child?
Inner child merujuk kepada bahagian dalam diri kita yang terbentuk ketika zaman kanak-kanak, ketika kita sangat memerlukan kasih sayang, keselamatan dan penerimaan. Bahagian ini menyimpan kenangan, bukan sahaja yang manis, tetapi juga luka, trauma dan kekecewaan.
Misalnya, seseorang yang dibesarkan dalam suasana dingin secara emosi, sering dikritik atau ditekan untuk menjadi ‘anak yang baik’, mungkin menyimpan perasaan yang terpendam. Apabila dewasa, perasaan ini boleh muncul dalam bentuk reaksi berlebihan, rasa tidak cukup baik, atau takut kepada kegagalan.
Fenomena menyembuhkan inner child kini semakin popular, terutamanya dalam kalangan mereka yang mula sedar tentang pentingnya kestabilan emosi. Banyak buku, podcast dan sesi terapi memberi penekanan kepada aspek ini.
Tanda-tanda inner child sedang memanggil termasuklah:
- Reaksi emosi yang berlebihan terhadap kritikan
- Rasa sentiasa tidak cukup baik
- Ketagihan terhadap pujian atau perhatian
- Pola hubungan yang menyakitkan atau berulang
Langkah Praktikal Yang Boleh Diambil
Penyembuhan inner child memerlukan kesedaran dan usaha berterusan. Berikut antara langkah praktikal yang boleh diambil:
- Kenali Suara Inner Child Anda
- Tanya diri: “Apa yang saya perlukan waktu kecil tapi tidak saya dapat?”
- Tulis jurnal atau surat kepada versi kecil diri anda.
- Berikan Apa yang Dulu Kurang
- Jika dulu anda sering dimarahi, biasakan beri kata-kata lembut kepada diri sendiri.
- Jika anda tidak diberi ruang untuk bersuara, mulakan dengan mendengar diri sendiri melalui penulisan atau terapi.
- Peluk Emosi, Bukan Tolak
- Menangis, kecewa, marah, semuanya emosi yang sah.
- Inner child hanya mahu rasa dilihat dan disayangi.
- Dapatkan Bantuan Profesional Jika Perlu
- Terapi seperti Inner Child Work atau IFS (Internal Family Systems) boleh membantu proses penyembuhan secara lebih mendalam.
Akhirnya, menyembuhkan inner child bukan bermaksud menyalahkan ibu bapa atau menyimpan dendam terhadap masa lalu. Ia adalah tentang memberi diri kita peluang kedua untuk membesar secara sihat dengan lebih kasih, sedar dan kuat.
“Kadang-kadang kita marah bukan kerana hari ini, tetapi kerana luka semalam yang belum sembuh.”
Kita semua pernah menjadi anak kecil yang hanya mahu bertahan. Kini, sebagai orang dewasa, kita berhak membesarkan semula diri kita dengan lebih sihat, bebas dan penuh kasih.
Leave a comment