Penggunaan E-Wallet Dari Perspektif Syarak

Soalan

Di Malaysia terdapat banyak penyedia e-wallet dan penggunaannya sudah menjadi satu kemestian yang hampir tidak boleh dielakkan. Namun, kebanyakan e-wallet ini tidak mengisytiharkan status kepatuhan syariah mereka hanya pada produk-produk tertentu. Apakah pandangan pejabat Mufti berkenaan penggunaan e-wallet ini?

Penjelasan

Hukum penggunaan e-wallet secara umum adalah harus. Namun terdapat beberapa isu syariah dalam penggunaan e-wallet yang boleh membawa kepada hukum haram iaitu:

  1. Ketidaktentuan dalam Akad (Gharar)
  2. Penyimpanan Wang di Institusi Kewangan Konvensional
  3. Ganjaran dan Cashback Berunsur Riba’ atau Gharar
  4. Penggunaan Dana oleh Operator Tanpa Keizinan

Justeru, umat Islam diharamkan untuk mengguna e-wallet yang mempunyai unsur-unsur haram seperti riba dan gharar seperti yang dijelaskan di atas. Para pengguna muslim disaran memilih aplikasi e-wallet yang telah mendapat pengiktirafan patuh syariah.

Kesemua operator e-wallet digesa untuk berusaha memperoleh pengiktirafan patuh syariah dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada penasihat syariah yang bertauliah. Hal ini demi memastikan produk-produk e-wallet ini dapat digunakan oleh umat Islam dengan penuh keyakinan tanpa keraguan berkenaan status halalnya.

Penjelasan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Penggunaan e-wallet kini sudah sangat meluas sehinggakan umat Islam hampir tidak boleh mengelak daripada menggunakannya dalam urusan seharian. Teknologi pembayaran digital ini telah menjadi norma baharu yang mengubah cara transaksi kewangan dijalankan daripada tunai kepada bentuk elektronik. Keluasan penggunaan e-wallet ini merangkumi pelbagai aspek kehidupan daripada pembelian barangan runcit, pembayaran bil utiliti, pembelian tiket pengangkutan awam sehingga transaksi perniagaan yang lebih besar. Kemudahan dan kepantasan yang ditawarkan oleh e-wallet menjadikannya pilihan utama bagi ramai individu termasuk umat Islam.

Namun, di sebalik kemudahan ini timbul kebimbangan mengenai kepatuhan syariah terutamanya apabila melibatkan aspek-aspek seperti ketidakjelasan akad, tawaran pulangan tunai (cashback), mata ganjaran (points) dan juga aspek pengurusan dan pelaburan dana pengguna di institusi-institusi kewangan konvensional.

E-Wallet ialah aplikasi dompet digital yang membolehkan pengguna menyimpan wang secara elektronik dan melakukan urusan tambah nilai, pembayaran serta pemindahan wang melalui telefon pintar pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja di Malaysia.

Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke-201 dan mesyuarat khas ke-26 bertarikh 29 Januari dan 30 Januari 2020 telah memutuskan bahawa penggunaan wang elektronik (e-wang) adalah harus, dengan syarat ia berasaskan kontrak Syariah yang sah, seperti wakalah, di mana pengeluar bertindak sebagai wakil pengguna dalam pembayaran.

Di samping itu, MPS turut menegaskan bahawa dana pengguna mesti disimpan dalam akaun amanah patuh Syariah dan ia boleh digunakan oleh pengeluar untuk tujuan pelaburan, di mana keuntungan akan menjadi milik pengeluar, tertakluk kepada garis panduan BNM. Dalam konteks ini, dana juga boleh dianggap sebagai pinjaman (qard) daripada pengguna kepada pengeluar. Pengguna bertanggungjawab memastikan e-wang digunakan untuk tujuan yang patuh Syariah kerana pengeluar hanya bertindak sebagai wakil dalam urusan pembayaran.

Dalam konteks akad Wakalah, Standard Wakalah Bank Negara Malaysia (2016b) menegaskan bahawa:

A.   Objek kontrak wakalah mesti patuh Syariah, iaitu bebas daripada unsur haram seperti riba dan gharar.

B.   Objek kontrak perlu ditentukan lebih awal oleh pihak pemberi wakalah (muwakkil) dan diketahui serta dipersetujui oleh wakil (wakil).

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama pasukan penyelidik yang diketuai oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) menyimpulkan antara isu-isu syariah berkenaan e-wallet adalah seperti berikut:

Ketidaktentuan dalam Akad (Gharar)

Sebahagian aplikasi e-wallet tidak menjelaskan dengan tepat akad (kontrak) yang digunakan antara pengguna dan operator. Hal ini menimbulkan kesamaran (gharar) kerana pengguna tidak tahu sama ada dana mereka dianggap sebagai pinjaman (qard), simpanan amanah (wadi‘ah) atau wakil (wakalah). Ketidakjelasan ini boleh menjejaskan keabsahan transaksi menurut fiqh muamalat. Rasulullah SAW bersabda:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن بيع الغرر

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli yang mengandungi unsur gharar.”

(Riwayat Muslim)

Penyimpanan Wang di Institusi Kewangan Konvensional

Kebanyakan operator e-wallet tidak mendedahkan di mana dana pengguna disimpan. Justeru, terdapat kemungkinan operator e-wallet meletakkan dana pengguna di dalam akaun bank konvensional yang jelas terlibat dalam transaksi riba. Hal ini menimbulkan persoalan tentang status halal dana tersebut kerana ia bercampur dengan instrumen kewangan yang tidak patuh Syariah. Hal ini adalah diharamkan dalam Islam kerana ia termasuk dalam saling membantu dalam perkara dosa dan kemaksiatan. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الإثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Ma’idah 5:2)

Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini menekankan bahawa Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk bekerjasama dalam melakukan kebaikan dan ketakwaan, serta melarang sebarang bentuk kerjasama dalam dosa dan kemungkaran.

Ganjaran dan Cashback Berunsur Riba’ atau Gharar

Promosi e-wallet seperti pulangan tunai (cashback), diskaun berlebihan atau insentif yang diberikan tanpa akad yang jelas boleh mengandungi unsur riba jika ia berkait dengan kontrak pinjaman (qard) atau gharar jika tidak jelas syarat dan nilainya. Ia boleh menyebabkan keuntungan yang tidak sah dari sudut Syariah. Dalam sebuah kaedah muamalah yang terkenal menyebutkan:

كل قرض جر منفعة فهو ربا

Maksudnya: “Setiap pinjaman yang mempunyai manfaat (bersyarat), maka ia adalah riba.”

Penggunaan Dana oleh Operator Tanpa Keizinan

Dalam kebanyakan sistem e-wallet, dana yang disimpan oleh pengguna boleh digunakan atau dilaburkan oleh operator tanpa pengetahuan atau izin jelas daripada pengguna. Jika dana ini digunakan untuk tujuan pelaburan yang tidak patuh Syariah, ia boleh mengandungi unsur riba atau aktiviti tidak halal, yang bercanggah dengan prinsip Syariah. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil.”

(Surah al-Baqarah 2:188)

Bagi menyelesaikan isu-isu ini, pihak pengeluar (operator e-wallet) dicadangkan menetapkan kontrak yang jelas bagi penggunaan e-wallet tersebut sama ada pinjaman (qard), simpanan amanah (wadi‘ah) atau wakil (wakalah). Selain itu, dana pengguna wajib diletak dalam akaun amanah berasingan di institusi kewangan Islam sahaja, tidak melibatkan pelaburan yang tidak patuh Syariah serta mengelakkan sebarang unsur gharar (ketidaktentuan) serta riba’.

Tambahan pula, operator e-wallet dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada penasihat syariah yang bertauliah bagi menyediakan perkhidmatan yang patuh syariah sepenuhnya. Hal ini penting bagi mengelakkan keterlibatan umat Islam dalam instrumen kewangan yang tidak patuh syariah atau yang bercampur yang halal dan haram. Pengguna muslim juga disaran memilih aplikasi e-wallet yang mematuhi garis panduan syariah dan lebih telus dalam operasi.

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 telah membincangkan mengenai Penggunaan e-wallet mengikut Perspektif Syarak dan bersetuju memutuskan bahawa penggunaan e-wallet adalah diharuskan dengan syarat menepati parameter yang ditetapkan seperti berikut:

  1. Urus niaga melibatkan transaksi digital hendaklah dilakukan melalui Operator e-wallet yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti sahaja.
  2. Pengguna dan Operator hendaklah mempunyai pengetahuan berkenaan penggunaan e-wallet, memahami hak dan tanggungjawab mereka selaku pihak yang berakad.
  3. Dalam pematuhan transaksi ini, Operator dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat nasihat syariah daripada Penasihat Syariah yang bertauliah.
  4. Hendaklah tiada unsur paksaan.
  5. Operator hendaklah menyatakan dengan jelas kontrak yang digunapakai dan implikasi kepada pengguna.
  6. Operator hendaklah memastikan terdapat mekanisme pemulangan wang (refund) apabila pengguna menutup akaun atau apabila berlaku kematian kerana wang tersebut milik pelanggan atau waris pelanggan, dan
  7. Pengguna adalah digalakkan untuk mengguna pakai e-wallet patuh Syariah.

Kesimpulan

Hukum penggunaan e-wallet secara umum adalah harus. Namun terdapat beberapa isu syariah dalam penggunaan e-wallet yang boleh membawa kepada hukum haram iaitu:

  1. Ketidaktentuan dalam Akad (Gharar).
  2. Penyimpanan Wang di Institusi Kewangan Konvensional.
  3. Ganjaran dan Cashback Berunsur Riba’ atau Gharar.
  4. Penggunaan Dana oleh Operator Tanpa Keizinan.

Justeru, umat Islam diharamkan untuk mengguna e-wallet yang mempunyai unsur-unsur haram seperti riba dan gharar seperti yang dijelaskan di atas. Para pengguna muslim disaran memilih aplikasi e-wallet yang telah mendapat pengiktirafan patuh syariah.

Kesemua operator e-wallet digesa untuk berusaha memperoleh pengiktirafan patuh syariah dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada penasihat syariah yang bertauliah. Hal ini demi memastikan produk-produk e-wallet ini dapat digunakan oleh umat Islam dengan penuh keyakinan tanpa keraguan berkenaan status halalnya.

Wallahu a’lam.

Nota tambahan Mymuslimin.com: 

Menurut dapatan daripada ChatGPT, di Malaysia, terdapat beberapa penyedia e-dompet (eWallet) yang dikategorikan sebagai patuh syariah, iaitu mereka memenuhi prinsip-prinsip kewangan Islam, termasuk bebas daripada unsur riba, gharar (ketidaktentuan), dan maisir (judi). Berikut adalah antara e-wallet yang patuh syariah:

1. MAE by Maybank Islamic

  • Menawarkan ciri-ciri perbankan Islamik.
  • Dikuasakan oleh Maybank Islamic yang memang berlandaskan prinsip Syariah.
  • Sesuai untuk pengguna yang mahu urus niaga harian dalam kerangka patuh Syariah.

2. GO+ oleh Touch ‘n Go (melalui Principal Asset Management Berhad)

  • Walaupun Touch ‘n Go eWallet secara keseluruhan belum sepenuhnya patuh Syariah, GO+ menawarkan pelaburan dalam dana pasaran wang patuh Syariah.
  • Disahkan patuh Syariah oleh penasihat Shariah yang dilantik.

3. Boost (Boost Islamic Wallet)

  • Boost telah melancarkan Boost Islamic Wallet sebagai alternatif patuh syariah.
  • Transaksi dan perkhidmatan di bawah dompet ini ditapis untuk menepati garis panduan Islamik, termasuk saringan terhadap peniaga dan produk.

4. KiplePay (KipleUNI)

  • Digunakan banyak di IPTA/IPTS.
  • Ada pilihan patuh Syariah khusus untuk pelajar institusi Islam.
  • Diurus oleh Green Packet, disahkan oleh penasihat syariah yang dilantik.

Jika anda inginkan penggunaan eWallet yang selamat dari sudut syariah, pilihlah aplikasi yang memang menyediakan mod atau akaun khusus patuh syariah, bukan sekadar produk konvensional yang diberi label “Islamik”.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑