Soalan
Ayah saya telah meninggal dunia pada 6.6.2025, ibu saya dalam iddah kematian suami. Soalan saya bolehkah ibu saya pergi menziarahi kakak ibu saya yang sedang sakit.
Penjelasan
Secara asasnya, syariat Islam menetapkan bahawa wanita yang kematian suami hendaklah menjalani tempoh ‘iddah selama empat bulan sepuluh hari dan dalam tempoh tersebut, adalah menjadi kewajipan ke atasnya untuk menetap di dalam rumah dan tidak keluar kecuali atas sebab darurat atau keperluan yang mendesak.
Larangan ini merangkumi juga perbuatan keluar rumah untuk tujuan-tujuan biasa seperti kunjungan sosial, termasuklah menziarahi ahli keluarga, sekalipun mereka berada dalam keadaan sakit. Ketetapan ini merupakan pandangan jumhur fuqaha’, khususnya dalam mazhab al-Shāfi‘ī.
Namun demikian, mengambil kira perubahan keadaan semasa dan realiti kehidupan moden yang berbeza berbanding dahulu, terdapat keperluan untuk menilai semula pelaksanaan hukum ini berdasarkan prinsip maqāṣid al-syarī‘ah dan uruf yang muktabar. Justeru, wanita yang berada dalam tempoh iddah akibat kematian suami, dan mempunyai keperluan mendesak untuk menziarahi ahli keluarga terdekat yang sakit, dibolehkan untuk berbuat demikian dengan syarat-syarat tertentu yang mesti dipatuhi.
Antara syarat utama yang ditetapkan ialah: wanita tersebut hanya dibenarkan keluar pada waktu siang, tujuannya hendaklah terbatas kepada keperluan yang jelas dan sah, dan setelah hajat tersebut ditunaikan, beliau hendaklah segera kembali ke rumah serta tidak berlama-lama di luar. Kelonggaran ini berasaskan kepada keperluan semasa yang diiktiraf serta mengambil manfaat daripada pandangan yang lebih ringan dalam mazhab lain, khususnya Malikiyyah, yang memberikan ruang pertimbangan dalam hal-hal seumpama ini.
Walau bagaimanapun, wanita yang berada dalam tempoh ‘iddah kematian suami tetap tertakluk kepada peraturan-peraturan syarak yang telah digariskan. Ini termasuklah larangan berhias secara berlebihan, mengenakan wangian, memakai pakaian yang menarik perhatian, atau bersolek secara keterlaluan yang boleh menimbulkan fitnah atau menggamit keinginan lelaki untuk mengahwininya. Pemeliharaan adab dan kehormatan diri dalam tempoh ‘iddah adalah sebahagian daripada tuntutan syarak yang bertujuan memelihara maruah dan ketenteraman masyarakat.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Definisi Iddah Dan Berkabung
Iddah merupakan satu istilah yang merujuk kepada tempoh tertentu yang diwajibkan ke atas wanita untuk menunggu sebelum dibenarkan berkahwin semula. Hikmah di sebalik pensyariatan iddah ini merangkumi unsur ta‘abbudi, iaitu semata-mata mematuhi perintah Allah SWT, selain menjadi tanda kesedihan atas pemergian suami, atau bagi memastikan rahim wanita tersebut bebas daripada kehamilan, demi menjaga nasab dan hak anak yang mungkin dikandung. [Rujuk Fiqh al-Manhaji, Jld.4, Hlm.157]
Adapun Ihdad ditakrifkan sebagai meninggalkan segala bentuk perhiasan dan berhias diri oleh seorang wanita sebagai tanda berkabung atas kematian insan terdekat, khususnya suami.
Khatib Syarbini menyebut:
وَشَرْعًا (تَرْكُ لُبْسٍ مَصْبُوغٍ لِزِينَةٍ) لِحَدِيثِ أَبِي دَاوُد بِإِسْنَادٍ حَسَنٍ :الْمُتَوَفَّى عَنْهَا زَوْجُهَا لَا تَلْبَسُ الْمُعَصْفَرَ مِنْ الثِّيَابِ، وَلَا الْمُمَشَّقَةَ، وَلَا الْحُلِيَّ، وَلَا تَخْتَضِبُ، وَلَا تَكْتَحِلُ
Terjemahannya: “Ihdad menurut syarak diertikan sebagai “Meninggalkan pakaian yang berwarna atau dicelup untuk tujuan berhias”, berdasarkan hadis riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan:
“Seorang wanita yang kematian suami tidak boleh memakai pakaian yang berwarna mu‘aṣfar (dicelup merah kekuningan), tidak juga pakaian yang mumashshaqah (berwarna cerah), tidak boleh memakai perhiasan, tidak berinai, dan tidak bercelak.”
[Rujuk Mughni al-Muhtaj, Jld.5, Hlm.100]
Iddah dalam hukum syarak bermaksud tempoh penantian bagi seorang isteri setelah berpisah dengan suaminya sama ada disebabkan perceraian atau kematian. Tempoh iddah bagi seorang wanita yang telah kematian suami adalah selama empat bulan sepuluh hari.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجٗا يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُرٖ وَعَشۡرٗاۖ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang telah meninggal dunia daripada kalangan kamu dan mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka itu (para isteri) beriddah selama empat bulan sepuluh hari.”
[Surah al-Baqarah 2:234]
Wanita yang menjalani iddah ataupun berkabung (الْإِحْدَادُ) ini tertakluk ke atasnya beberapa larangan, antaranya ialah larangan untuk keluar dari rumah tanpa sebarang hajat yang terdesak. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ إِذَا طَلَّقۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحۡصُواْ ٱلۡعِدَّةَۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ رَبَّكُمۡۖ لَا تُخۡرِجُوهُنَّ مِنۢ بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخۡرُجۡنَ إِلَّآ أَن يَأۡتِينَ بِفَٰحِشَةٖ مُّبَيِّنَةٖۚ وَتِلۡكَ حُدُودُ ٱللَّهِۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَقَدۡ ظَلَمَ نَفۡسَهُۥۚ لَا تَدۡرِي لَعَلَّ ٱللَّهَ يُحۡدِثُ بَعۡدَ ذَٰلِكَ أَمۡرٗا
Maksudnya: “Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).”
[Surah al-Talaq 65:1]
Berkenaan tempat tinggal, pendapat muktamad dalam Mazhab Syafie adalah wajib untuk wanita beriddah kekal menetap di rumah perkahwinannya sepanjang tempoh iddah tersebut.
Dalil wajib menetap di rumah ini berdasarkan firman Allah SWT:
لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ
Maksudnya: Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai iddahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.
[Surah al-Talaq 65:1]
Hukum yang disebutkan di atas dikuatkan pula dengan kenyataan para fuqaha’ antaranya:
وتجب على المعتدة بالوفاة وبطلاق بائن أو فسخ ملازمة مسكن كانت فيه عند الموت أو الفرقة إلى انقضاء عدة ولها الخروج نهارا لشراء نحو طعام وبيع غزل ولنحو احتطاب لا ليلا ولو أوله خلافا لبعضهم لكن لها خروج ليلا إلى دار جاره الملاصق لغزل وحديث ونحوهما لكن بشرط أن يكون ذلك بقدر العادة وأن لا يكون عندها من يحدثها ويؤنسها على الأوجه وأن ترجع وتبيت في بيتها
Terjemahannya:”Wajib ke atas wanita yang sedang dalam ‘iddah kerana kematian suami, atau kerana talak bain atau fasakh, untuk menetap di rumah yang didiaminya ketika suaminya meninggal dunia atau ketika berlaku perpisahan, sehingga tamat tempoh iddahnya.
Diharuskan baginya keluar pada waktu siang untuk urusan seperti membeli makanan, menjual benang tenunan, atau mengutip kayu api – tetapi tidak dibenarkan keluar pada waktu malam, walaupun pada awal malam, menurut pendapat jumhur, walaupun terdapat khilaf.
Namun, diharuskan baginya keluar pada waktu malam ke rumah jiran bersebelahan, untuk urusan seperti memintal benang atau berbual, tetapi dengan syarat: Perbuatan itu tidak melebihi kebiasaan, Tidak ada orang lain yang menemaninya berbual di rumahnya, Dan dia kembali bermalam di rumahnya sendiri.” [Rujuk: Fath al-Mu’in, Hlm.527]
Menurut “Garis Panduan Beriddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami” yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia;
Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh Iddah Kematian Suami adalah seperti berikut:
Bagi wanita yang beriddah kerana kematian suami Islam telah menggariskan cara-cara tertentu sepanjang mereka berada dalam tempoh tersebut. Antara perkara-perkara yang mesti dipatuhi oleh mereka ialah:
a. Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
b. Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
c. Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja mendapatkan rawatan perubatan membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.
d. Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir tanah runtuh gempa bumi dan sebagainya mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.
e. Wajib berkabung sepanjang tempoh iddah. Oleh itu sepanjang dalam tempoh tersebut mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan. Termasuk dalam larangan berhias ini ialah:
i. Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang;
ii. Memakai barang-barang kemas walaupun sebentuk cincin gelang rantai dan barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas perak dan permata;
iii. Memakai wangi-wangian pada anggota badan rambut dan pakaian; dan
iv. Bersolek memakai celak berinai dan memakai minyak rambut serta perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat.
2. Perintah berkabung ini hanya dikhususkan kepada suruhan meninggalkan hiasan tubuh badan dan pakaian sahaja tidak termasuk hiasan tempat tinggal bilik tidur dan sebagainya.
3. Justeru walaupun wanita berkabung dilarang daripada berhias ini tidak bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga. Malah mereka wajib menjaga kebersihan dan kekemasan diri pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh iddah dan berkabung itu.
Justeru, wanita kematian suami yang ingin keluar rumah untuk tujuan kunjungan biasa dalam tempoh iddah juga termasuk dalam larangan yang disebutkan.
Adapun wanita kematian suami yang ingin keluar menziarahi keluarga yang sakit juga masih termasuk dalam larangan yang disebutkan. Larangan keluar ini adalah seperti yang dinyatakan oleh fuqaha’ dalam mazhab Shafie.
Kata Syeikh Qalyubi:
وَإِذَا لَمْ تَحْتَجْ لَمْ تَخْرُجْ أَصْلًا وَلَوْ لِعِيَادَةٍ أَوْ زِيَارَةٍ أَوْ تِجَارَةٍ أَوْ تَنْمِيَةِ مَالٍ
Maksudnya: “Dan jika dia (wanita yang sedang dalam tempoh berkabung) tidak berhajat (kepada sesuatu keperluan), maka dia tidak dibenarkan keluar langsung, sekalipun untuk menziarahi orang sakit, atau untuk menziarahi sesiapa pun, atau untuk berniaga, atau untuk mengembangkan hartanya.” [Rujuk Mugnil muhtaj, Jld.4, Hlm.56]
Namun melihat kepada situasi dan uruf yang berubah pada masa kini, kami berpendapat wanita yang sedang menjalani tempoh iddah kematian suami yang terpaksa keluar menziarahi keluarga terdekatnya yang sedang sakit adalah dibolehkan dengan syarat tertentu iaitu hanya dibenarkan keluar pada waktu siang dan sekadar keperluan sahaja. Apabila hajat telah dipenuhi, wanita tersebut hendaklah segera pulang ke rumah dan kebenaran keluar tersebut dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Keharusan ini juga turut disokong dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Dar Iftaʼ Al‑Urdun, No.3382 seperti berikut:
والأصل في المعتدة ملازمة بيتها طيلة فترة العدة. إلا أن بعض فقهاء المالكية أجازوا لها الخروج من بيتها في النهار ولو لغير حاجة؛ جاء في كتاب [منح الجليل 4/ 335] من كتب المالكية: “وللمعتدة من طلاق أو وفاة الخروج من مسكنها في قضاء حوائجها طرفي النهار: أي قرب الفجر وعقب الغروب إلى مغيب الشفق… ويجوز خروجها نهاراً ولو لغير حاجة… ولا تبيت إلا ببيتها”. وقد استدلوا على ذلك بحديث جابر رضي الله عنه أنه قال: طُلِّقَت خَالَتِي، فَأَرَادَت أَن تَجُدَّ نَخلَهَا، فَزَجَرَها رَجُلٌ أَن تَخرُجَ، فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ، فَقالَ: (بَلَى فَجُدِّي نَخلَكِ، فَإِنَّكِ عَسَى أَن تَصَدَّقِي، أَو تَفعَلِي مَعرُوفا) رواه مسلم، وبقول عبد الله بن عمر رضي الله عنهما أنه قال: “لا تَبِيتُ المُتَوَفَى عَنهَا زَوجُهَا، ولا المَبتُوتَةُ، إِلاَّ فِي بَيتِهَا” رواه مالك، وقول الصحابي فيما لا يحتمل الاجتهاد مقبول عند العلماء كافة، أما جمهور الفقهاء فلم يجيزوا للمعتدة الخروج من بيتها إلا لحاجة. وعليه، فلا نرى مانعاً من خروج المرأة المعتدة بقدر معتدل كعمل أو زيارة مهمة؛ بشرط أن ترجع وتبيت في بيتها الذي تعتد فيه، وأما السفر فليس لها ذلك. والله تعالى أعلم.
Terjemahannya: “Asal hukum bagi wanita yang berada dalam tempoh ‘iddah (edah) ialah dia wajib menetap di rumahnya sepanjang tempoh edah tersebut.
Namun, sebahagian fuqaha’ daripada mazhab Malikiyah membenarkan wanita dalam edah untuk keluar dari rumahnya pada waktu siang walaupun tanpa keperluan mendesak. Hal ini disebutkan dalam kitab Manh al-Jalil daripada kitab-kitab mazhab Maliki:
“Adalah dibenarkan bagi wanita dalam edah sama ada kerana talak atau kematian suami untuk keluar dari rumahnya bagi menyelesaikan urusan keperluannya pada waktu awal pagi (hampir subuh) dan selepas terbenam matahari hingga hilangnya cahaya merah (syafaq)… dan dibenarkan dia keluar pada waktu siang walaupun tanpa keperluan… namun dia tidak boleh bermalam kecuali di rumahnya.”
Mereka berhujah dengan hadis Jabir r.a., bahawa beliau berkata:
“Ibu saudaraku telah diceraikan, lalu dia ingin keluar untuk memetik buah tamarnya, maka seorang lelaki melarangnya daripada keluar. Lalu dia mengadu kepada Nabi SAW, lalu Baginda bersabda: ‘Ya, petiklah buah tamarmu, semoga engkau dapat bersedekah atau melakukan suatu kebaikan.’”
(Hadith riwayat Muslim)
Mereka juga berhujah dengan kata-kata Abdullah bin Umar r.a. bahawa beliau berkata: “Tidak boleh wanita yang kematian suami atau wanita yang ditalak dengan talak ba’in bermalam kecuali di rumahnya.” (Diriwayatkan oleh Imam Malik)
Dan telah diketahui bahawa kata-kata sahabat dalam perkara yang tidak melibatkan ijtihad adalah diterima oleh para ulama secara keseluruhan.
Namun demikian, jumhur (majoriti) para fuqaha’ tidak membenarkan wanita dalam edah untuk keluar dari rumahnya melainkan jika ada keperluan.
Oleh itu, tidak mengapa jika wanita dalam edah itu keluar secara sederhana bagi tujuan kerja atau lawatan yang penting, dengan syarat dia kembali dan bermalam di rumah tempat dia menjalani edah. Adapun keluar untuk musafir (perjalanan jauh), maka itu tidak dibenarkan baginya.
Wallahu ta‘ala a‘lam.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, menziarahi keluarga terdekat yang sakit seperti yang ditanyakan adalah dibenarkan dengan beberapa syarat:
- Ziarah dilakukan pada waktu siang.
- Tidak bermalam di rumah lain.
- Segera kembali ke rumah selepas selesai ziarah,
- Menjaga adab dan batas pergaulan sepanjang tempoh keluar.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman serta taufiq kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.
Wallahu’alam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment