Soalan
Apakah hukum seorang isteri yang sudah tidak mempunyai rasa cinta terhadap suaminya? Bagaimanakah cara untuk memulihkan hubungan apabila isteri sudah hilang perasaan, sedangkan melihat wajah suami pun sudah tiada keinginan? Isteri telah menyatakan hasrat untuk berpisah, namun si suami menolak kerana katanya masih menyayangi dan ingin mempertahankan rumahtangga.
Dalam keadaan seperti ini, persoalannya: adakah hubungan yang hambar tanpa kasih sayang ini masih wajar diteruskan? Apakah pandangan agama dan bagaimana cara terbaik untuk mencari jalan keluar secara berhemah dan berlandaskan syariah?
Penjelasan
Wa’alaikumussalam.
Rasa tidak puas hati atau tawar hati terhadap pasangan adalah suatu hal yang lumrah dalam kehidupan berumah tangga. Namun, perasaan ini perlu ditangani dengan bijaksana agar tidak menjejaskan hak dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada suami dan isteri.
Sebagai langkah awal, pasangan disarankan untuk berbincang secara baik dan berhikmah dalam usaha mengenal pasti punca sebenar serta mencari penyelesaian terhadap sebarang perselisihan yang timbul. Jika masalah berkenaan masih berlarutan dan tidak menemui jalan keluar, pasangan dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat secara bersemuka daripada pihak yang berautoriti seperti Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri yang terdekat.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Perkahwinan dalam Islam ialah satu ibadah yang merupakan sunnah Rasulullah SAW. Tujuan pernikahan disyariatkan oleh Allah SWT adalah untuk memberikan ketenangan kepada pasangan suami isteri serta membolehkan mereka hidup berkasih sayang dan saling mengasihani antara satu sama lain.
Perkahwinan juga adalah salah satu daripada tanda kebesaran Allah SWT dalam memperlihatkan keagungan hikmah dan keluasan rahmatNya dalam menyusun kehidupan manusia dengan penuh kasih dan sayang. Firman Allah SWT:
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
[Surah al-Rum 30:21]
Justeru, bagi mencapai matlamat sebuah perkahwinan yang sejahtera dan harmoni, setiap pasangan suami isteri hendaklah memahami serta menunaikan hak dan tanggungjawab yang telah ditetapkan ke atas mereka masing-masing.
Antara hak-hak suami yang mesti dilunaskan oleh isteri, secara ringkasnya adalah:
- Mentaati suami.
- Menjaga kehormatan suami dan menutup segala aibnya.
- Menjaga perasaan suami.
- Mentadbir rumah tangga suami.
- Memelihara anak-anak suami.
Kemudian, hak-hak isteri yang mesti dilunaskan oleh suami adalah:
- Memberikan mahar.
- Memberi nafkah zahir dan batin.
- Memelihara kesucian isteri dan menutup segala aibnya.
- Mendidik isteri dan membimbingnya dalam mentaati perintah Allah SWT.
[Rujuk Hak Suami Isteri dalam Perkahwinan Islam: Analisis Menurut Fiqh, Rekayasa- Journal of Ethics, Legal dan Governance, Vol. 4, hlm. 35-52]
Perselisihan Dalam Rumah Tangga
Menjadi satu lumrah dalam sesebuah ikatan perkahwinan untuk melalui pelbagai fasa kehidupan, ada masanya dihiasi dengan kebahagiaan dan ketenangan, namun ada kalanya diuji dengan perselisihan dan kesulitan.
Dalam menghadapi perselisihan atau kesulitan yang berlaku, suami dan isteri hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian bersama. Segala usaha ini seharusnya berpandukan kepada panduan dan kaedah yang telah digariskan oleh syarak.
Komunikasi yang baik merupakan kunci utama dalam penyelesaian sebarang perselisihan. Maka, dinasihatkan kepada pasangan suami isteri untuk berbincang secara hikmah dan beradab bagi mendapatkan kata sepakat agar isu tersebut dapat diselesaikan secara baik.
Namun, sekiranya perbincangan tersebut tidak dapat menyelesaikan perselisihan yang berlaku, maka Islam membuka ruang untuk melibatkan pihak ketiga dalam membantu untuk menamatkannya. Firman Allah SWT:
وَإِنۡ خِفۡتُمۡ شِقَاقَ بَيۡنِهِمَا فَٱبۡعَثُواْ حَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهِۦ وَحَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصۡلَٰحٗا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيۡنَهُمَآۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرٗا
Maksudnya: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuanNya.”
[Surah an-Nisa’ 4:35]
Berbalik kepada mafhum ayat ini, sekiranya perselisihan berlanjutan, maka adalah disarankan kepada pasangan suami isteri untuk melibatkan pihak ketiga misalnya ahli keluarga, kaunselor atau pihak yang berautoriti bagi membantu menamatkan perselisihan yang berlaku.
Dalam konteks Pulau Pinang, Bahagian Undang-undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang atau Pejabat Agama Islam terdekat merupakan pihak yang berautoriti yang boleh dirujuk untuk membantu meredakan dan menyelesaikan perselisihan yang berlaku melalui khidmat nasihat atau sesi kaunseling yang disediakan mengikut kesesuaian perselisihan yang berlaku antara pasangan suami isteri.
Kesimpulan
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, berdasarkan kepada penghujahan yang dikongsikan, maka dapat disimpulkan bahawa berlakunya ketidakpuasan hati atau rasa tawar hati kepada pasangan merupakan lumrah dalam kehidupan berumah tangga. Namun, perasaan tersebut hendaklah ditangani dengan cara yang bijaksana agar hak dan tanggungjawab antara suami isteri tidak diabaikan.
Justeru, dinasihatkan kepada pasangan suami isteri untuk duduk berbincang secara baik dan berhikmah untuk mencari punca dan penyelesaian kepada perselisihan yang berlaku.
Namun, sekiranya ia masih berlanjutan tanpa sebarang penyelesaian, maka pihak kami mencadangkan agar dapatkan nasihat secara bersemuka daripada Bahagian Undang-undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang atau Pejabat Agama Daerah yang berdekatan.
Semoga Allah SWT mengekalkan kebahagiaan, kasih sayang, rahmat dan mahabbah dalam perkahwinan yang dibina. Amin.
Wallahu’aklam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment