Oleh: MyMuslimin.com
Masjid Jamek Cina Muslim Klang yang terletak di Bandar Botanik merupakan hasil inisiatif bersama Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), dan agensi-agensi kerajaan lain. Cadangan pembinaan masjid bercirikan seni bina Cina ini mula digerakkan sejak 2017 dan diperkenankan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, pada 7 Mei 2019.
Dibina di atas tanah seluas 2.98 ekar milik JAIS, masjid ini mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah. Kos pembinaan dianggarkan sebanyak RM30 juta, dengan pembiayaan daripada Kerajaan Selangor serta sumbangan awam yang dikumpul oleh MACMA.
Uniknya, masjid ini tidak menggunakan kubah seperti kebiasaan masjid-masjid tempatan, sebaliknya menampilkan elemen seni bina tradisional Cina seperti jubin khas, kaligrafi Cina dan menara bergaya klasik. Reka bentuknya diinspirasikan sepenuhnya daripada Masjid Besar Xi’an di Shaanxi, China – antara masjid tertua di China yang dibina sejak 742M sewaktu Dinasti Tang dan diperbaharui pada zaman Dinasti Ming.
DYMM Sultan Selangor sendiri menitahkan agar reka bentuk asal yang dipersembahkan pada 2018 dikaji semula. Baginda mengarahkan delegasi negeri bersama arkitek utama, Muhammad Ridha Lua, ke China pada Mac 2019 untuk meneliti seni bina masjid di sana. Hasil kajian kes ini membawa kepada rekaan semasa yang berjaya menjiwai keindahan serta nilai budaya masyarakat Muslim Cina.
Selain ruang solat, masjid ini turut dilengkapi perpustakaan, bilik kuliah, restoran dan kemudahan komuniti, menjadikannya bukan sahaja pusat ibadah, malah simbol integrasi budaya dan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.










Masjid Jamek Cina Muslim Klang
Lot 157828, Jalan Langat, Taman Desawan Dua,
41200 Klang, Selangor
Leave a comment