Teks Khutbah Jumaat (JAKIM): Syukur Dan Sabar, Ujian Hamba Yang Beriman

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Tumpukan sepenuh perhatian pada khutbah ini dan janganlah sibuk dengan perkara lagha seperti bermain telefon bimbit. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT. Khutbah pada hari ini akan berbicara tentang; “Syukur dan Sabar, Ujian Hamba yang Beriman”.

Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,

Ketahuilah, sesungguhnya kekayaan dan kemiskinan bukanlah ukuran darjat atau kehinaan seseorang di sisi Allah. Kaya bukan bererti dimuliakan, miskin bukan bererti dihina. Tetapi kedua-duanya merupakan ujian daripada Allah SWT, untuk menilai siapakah antara hamba-Nya yang benar-benar beriman.

Orang miskin diuji dengan kefakiran. Sama ada mereka mampu untuk bersabar dalam kesempitan rezeki. Sama ada mereka mampu menahan diri daripada bertindak di luar batasan seperti mencuri, atau mengeluh terhadap takdir Ilahi. Manakala orang kaya pula diuji dengan harta. Sama ada mereka mampu bersyukur atas nikmat Allah, dan menggunakannya pada jalan kebaikan.

Allah SWT berfirman lagi dalam Surah al-Fajr ayat 15 dan 16:

فَأَمَّا ٱلْإِنسَـٰنُ إِذَا مَا ٱبْتَلَىٰهُ رَبُّهُۥ فَأَكْرَمَهُۥ وَنَعَّمَهُۥ فَيَقُولُ رَبِّىٓ أَكْرَمَنِ(١٥) وَأَمَّآ إِذَا مَا ٱبْتَلَىٰهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُۥ فَيَقُولُ رَبِّىٓ أَهَـٰنَنِ(١٦)

Maksudnya: “Maka berkenaan manusia, apabila Tuhan mengujinya lalu memuliaknnya dan memberikannya kesenangan, maka dia berkata, “Tuhanku telah memuliakanku.” Namun apabila Tuhan mengujinya lalu membataskan rezeki kepadanya, maka dia berkata, “Tuhanku telah menghinaku.”

(Surah al-Fajr 89:15-16)

Renungilah ayat ini wahai saudara-saudaraku. Allah menolak anggapan bahawa kaya itu semestinya mulia dan miskin itu hina. Bahkan kemuliaan sebenar seseorang hanya diukur melalui ketaatannya kepada Allah, bukan pada hartanya.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Apabila seseorang berada dalam kesempitan hidup, lalu dia bersabar, redha dan terus berusaha mencari rezeki yang halal, maka dia telah berjaya dalam ujiannya. Begitu juga apabila seseorang diberi kelapangan harta, lalu dia mensyukurinya dengan menunaikan zakat, membantu orang miskin, menyantuni anak yatim, dan menggunakan hartanya untuk ibadah dan membantu orang lain, maka dia juga berjaya dalam ujiannya.

Renungi hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Suhaib bin Sinan al-Rumi radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan keadaan seorang Mukmin! Sesungguhnya segala urusannya adalah kebaikan baginya. Jika dia mendapat nikmat, dia bersyukur, itu baik baginya. Dan jika dia ditimpa musibah, dia bersabar, itu juga baik baginya”.

Oleh itu, bukan soal berapa banyak yang kita miliki, tetapi bagaimana kita tetap mensyukuri dan memanfaatkan tiap-tiap nikmat yang diberi. Syukur itu bukan hanya pada lisan, tetapi pada tindakan. Orang yang bersyukur akan menjadikan nikmat sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Sidang Jemaah Yang Mulia,

Dalam dunia yang penuh perbandingan ini, kita sering memandang kepada mereka yang berada di atas kita dari sudut dunia baik pangkat, rumah, kereta, perniagaan dan sebagainya. Akibatnya, kita lupa mensyukuri nikmat yang kita ada.

Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripada kamu dan jangan melihat kepada orang yang lebih tinggi, agar kamu tidak meremehkan nikmat Allah ke atasmu”.

Lihatlah kepada yang tidak punya tempat tinggal, yang tidak mampu berjalan, yang diuji dengan penyakit atau kelaparan. Lihatlah pula kepada yang sedang diuji akidahnya, hilang iman, hilang tujuan hidup. Maka insaflah kita, betapa banyak nikmat yang kita lupakan.

Sidang Jemaah Yang Dicintai Allah,

Kita tidak tahu takdir apa yang menanti kita. Hari ini mungkin kita berada di atas, esok belum tentu. Ada orang miskin yang akhirnya menjadi jutawan, dan ada hartawan yang akhirnya merempat kerana lupa kepada Tuhan. Apa yang pasti, yang kekal dan tidak berubah ialah ganjaran yang Allah janjikan kepada hamba yang sabar dan bersyukur. Ingatlah bahawa ganjaran itu bukan sahaja di dunia, tetapi lebih utama lagi di akhirat.

Maka marilah kita berusaha menjadi hamba yang benar-benar bersyukur dan sabar. Bersyukur dengan memperbanyakkan ibadah, melaksanakan kebaikan, menjauhi larangan. Bersabar pula dengan tidak berputus asa, tidak mengeluh terhadap ketentuan Allah, serta yakin bahawa setiap ujian ada hikmahnya.

Kenangkan tiap-tiap nikmat yang kita kecapi baik nikmat Islam, nikmat hidup, nikmat sihat, nikmat beribadah, dan segalanya yang kita nikmati di dunia ini. Banyak atau sedikit yang diterima bukan ukuran. Bahkan Allah SWT memberi jaminan untuk menambahkan nikmat rezeki kepada hamba-hamba-Nya yang sentiasa bersyukur.

Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.

(Surah Ibrahim 14: 7)

Bersyukurlah jua dengan kemanan dan kemakmuran negara ini. Tiada pergolakan, kebuluran serta kelaparan seperti yang berlaku di bumi Palestin. Semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang sentiasa mensyukuri nikmat dan bersabar dalam ujian dan beroleh kemuliaan di sisi Allah SWT.

Justeru mengakhiri khutbah, ingatlah pesanan-pesanan ini;

Pertama: Kemuliaan bukan terletak pada kekayaan, dan kehinaan bukan terletak pada kemiskinan. Tetapi mulia dan hinanya kita ditentukan oleh takwa kepada Allah SWT.

Kedua: Rasulullah SAW mengajarkan kita agar melihat kepada mereka yang kurang bernasib baik, supaya kita lebih menghargai dan tidak meremehkan nikmat Allah. Dengan itu, kita akan lebih insaf dan sedar betapa banyak nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita.

Ketiga: Kita dituntut untuk menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dan sabar. Bersyukur dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah dan bersabar dengan redha serta yakin kepada hikmah ujian.

Renungkan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 152:

فَٱذْكُرُونِىٓ أَذْكُرْكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِى وَلَا تَكْفُرُونِ(١٥٢)

Maksudnya: “Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku)”.

(Surah al-Baqarah 2:152)

Tarikh Dibaca: 29 Muharam 1447H/25 Julai 2025
Disediakan oleh:  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑