Teks Khutbah Jumaat (Negeri Sembilan): Media Sosial, Amanah Atau Fitnah

ٱلْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ(٦٥)

Maksudnya: Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

(Yasin 36:65)

Sidang Juma‘at Yang Dirahmati Allah ‘azzawajalla, 

Bertaqwalah kepada Allah ‘Azzawajalla dengan mentaati perintah-Nya dan berusahalah meninggalkan perbuatan maksiat yang ditegah olehNya. Ketika khutbah sedang disampaikan, elakkan daripada berbual-bual dan menggunakan telefon bimbit agar keberkatan dan pahala Juma‘at tidak menjadi sia-sia. 

Khatib ingin menyeru seluruh Muslimin supaya menunaikan kewajipan berzakat dan melakukan amalan berwaqaf melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). 

Khatib juga ingin mengingatkan agar kita tidak melupakan saudara-saudara seagama kita di Palestin khususnya di Gaza yang terus menerus ditindas oleh musuhmusuh Allah SWT. Panjatkanlah doa tulus ikhlas buat mereka dan hulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing. 

Sidang Juma‘at Yang Berbahagia, 

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Media Sosial, Amanah Atau Fitnah”

Perkembangan teknologi maklumat yang pesat dan semakin canggih dewasa ini telah membuka ruang yang luas serta memudahkan capaian terhadap pelbagai maklumat dari serata pelosok dunia khususnya menerusi media sosial. Media sosial merujuk kepada wadah komunikasi dalam talian yang membolehkan pengguna menghasilkan kandungan, berkongsi maklumat serta berinteraksi secara maya dengan individu lain tanpa sempadan geografi. Antara contoh platform media sosial yang paling meluas penggunaannya ialah Facebook, YouTube, TikTok, Telegram dan Instagram. 

Malaysia tidak terkecuali daripada arus ini malah tergolong sebagai salah sebuah negara dengan kadar penggunaan media sosial tertinggi di Asia Tenggara. Menurut statistik, sekitar 70.2 peratus daripada jumlah penduduk negara ini aktif menggunakan media sosial yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang mahupun lokasi kediaman. 

Tidak dinafikan bahawa media sosial mempunyai kebaikan tersendiri yang mampu memperluas jaringan sosial serta membolehkan pengguna memperoleh informasi terkini dengan pantas dan cepat merangkumi seluruh dunia tanpa batasan. Selain itu, media sosial turut menjadi medium penting dalam bidang pendidikan dan berperanan sebagai saluran yang berkesan untuk memasarkan sesuatu produk menerusi kaedah promosi serta interaksi langsung bersama pelanggan. 

Di samping itu, terdapat juga keburukan yang perlu diberikan perhatian dalam penggunaan media sosial iaitu penyebaran fitnah dan berita palsu. Ramai pengguna berkongsi maklumat tanpa menyemak kesahihannya lalu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Ketagihan terhadap media sosial turut menjadi isu yang membimbangkan apabila seseorang menghabiskan terlalu banyak masa sehingga mengabaikan tanggungjawab utama yang lain. Begitu juga gejala buli siber semakin berleluasa dengan penghinaan yang mampu menjatuhkan maruah seseorang disertai dengan hantaran yang tidak beretika. 

Sidang Juma‘at Yang Dikasihi, 

Penggunaan media sosial menurut pandangan syarak tergolong dalam hukum harus, yakni diizinkan selagi tidak membawa kepada kemudaratan. Namun, keharusan ini bukanlah bersifat mutlak, bahkan berubah mengikut niat, tujuan dan cara penggunaannya. Seandainya media sosial digunakan untuk menyebarkan ilmu dan menggalakkan amar makruf maka pengguna akan beroleh ganjaran pahala. 

Sebaliknya, sekiranya dijadikan medan fitnah maka perbuatan tersebut tergolong dalam larangan syarak serta mendatangkan dosa. Maka benarlah bahawa media sosial seumpama pisau bermata dua apabila digunakan secara berhemah membawa kebaikan, tetapi jika disalah guna mengundang mudarat. 

Seperti peribahasa Melayu menyebut, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”, maka setiap perkongsian perlu ditimbang dengan akal dan iman agar tidak menyesal di kemudian hari. 

Setiap Muslim hendaklah sentiasa beringat bahawa segala status, komentar, gambar, video atau mesej yang dikongsi melalui media sosial tidak terlepas daripada pemerhatian Allah ‘Azzawajalla. Segala perbuatan yang zahir daripada jari-jemari yang menaip, mata yang melihat dan lidah yang berbicara melalui rakaman akan menjadi saksi di hadapan Allah SWT kelak. 

Hal ini sejajar dengan firman Allah SWT dalam surah Yasin, ayat 65 yang telah saya bacakan pada awal khutbah tadi, yang bermaksud: “Pada hari ini Kami tutup mulut mereka sambil tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan bersaksi terhadap apa yang mereka usahakan.”

Oleh yang demikian, penggunaan media sosial perlu dikawal serta disertai dengan garis panduan etika agar tidak disalahgunakan sehingga menjejaskan maruah diri dan masyarakat. Dalam hal ini, terdapat beberapa prinsip utama etika yang wajar dipatuhi oleh setiap pengguna.

Antara prinsip tersebut termasuklah

Pertama: Niat yang Ikhlas. Setiap tindakan dan amalan yang kita lakukan adalah berdasarkan niat. Dengan niat yang ikhlas kita akan melakukan sesuatu perkara semata-mata kerana Allah SWT. Insya-Allah, dengan niat tersebut, kita akan menggunakan media sosial ke arah kebaikan dan berdakwah kepada masyarakat. 

Kedua: Kesedaran bahawa setiap amalan akan dipertanggungjawabkan. Setelah meluruskan niat, seseorang hendaklah menyedari bahawa setiap perbuatan yang dilakukan, termasuklah apa yang dikongsi dan ditulis dalam media sosial, akan dihisab di hadapan Allah SWT. Segala kelakuan, walau sekecil zarah, tidak akan terlepas daripada catatan malaikat. Firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8 menegaskan yang maksudnya: “Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun seberat zarah, maka dia akan melihatnya. Sesiapa yang melakukan kejahatan walaupun seberat zarah, maka dia akan melihatnya.” 

Ketiga: Menjauhi fitnah dan sebarang bentuk kekeliruan. Setiap bahan yang ingin dikongsikan dalam media sosial hendaklah diteliti dengan cermat agar tidak mengandungi unsur fitnah yang boleh menimbulkan salah faham atau kekacauan dalam masyarakat. Fitnah dan tohmah merupakan perbuatan yang amat keji di sisi Islam dan sering kali membawa kemudaratan yang besar bukan sahaja kepada individu, malah boleh meruntuhkan institusi, memecahbelahkan ummah dan menggugat kestabilan negara. 

Keempat: Menjaga akhlak dalam berkomunikasi. Dalam setiap bentuk komunikasi, sama ada melalui penulisan mahupun pertuturan dalam media sosial, asas utama ialah akhlak. Setiap kata yang ditulis atau diucapkan perlulah berlandaskan adab serta dijauhi daripada unsur penghinaan, cercaan atau kata-kata kesat yang berupaya mencetuskan ketegangan. Islam amat menekankan kepentingan tutur kata yang indah serta sopan santun dalam berinteraksi, hatta dalam ruang maya yang sering kali dianggap bebas. 

Kelima: Menjaga waktu agar tidak disia-siakan. Dalam era digital yang serba pantas ini, masa mudah terbuang tanpa disedari apabila terlalu asyik melayari media sosial. Kealpaan ini sering kali mengakibatkan kelalaian dalam menunaikan kewajipan seperti ibadah, pekerjaan dan pencarian ilmu. Islam amat menekankan kepentingan pengurusan masa yang berhemah, malah menyifatkan mereka yang membazirkan masa dalam perkara yang tidak bermanfaat sebagai golongan yang rugi. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al- ‘Asr yang bermaksud: 

Maksudnya: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali golongan yang beriman dan beramal soleh, serta mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. 

Sidang Juma‘at Yang Dihormati, 

Kesimpulannya, media sosial merupakan wadah yang boleh menjadi saham menuju syurga andai digunakan untuk menyebarkan kebaikan, menyampaikan nasihat serta menyeru norma yang selari dengan ajaran Islam. Sebaliknya, platform yang sama juga boleh menjadi titian menuju ke neraka sekiranya disalah guna untuk menyebarkan maklumat palsu dan memfitnah. 

Sebagai penutup, marilah kita melakukan muhasabah diri. terhadap segala perlakuan dan penggunaan media sosial yang telah kita lakukan. Bertanyalah pada hati “media sosial berjaya mendekatkan diri kepada Allah SWT atau menjauhkan kita daripada rahmat-Nya? Adakah setiap perkongsian yang dibuat menjadi penyumbang kepada pahala atau hanya menambah beban dosa? Adakah hubungan sesama insan dipererat atau sebaliknya mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat? 

Jika selama ini kita terleka dan tersasar daripada landasan etika yang digariskan oleh Islam, marilah kita kembali bertaubat dan beriltizam menggunakan media sosial sebagai wadah dakwah, silaturahim dan penyebaran nilai murni. Semoga segala usaha kita dipandang oleh Allah SWT sebagai amalan soleh yang diterima di sisiNya. 

Marilah kita mengamalkan doa yang dinukilkan oleh Imam Nawawi dalam kitab al-Azkar semoga kita terlindung daripada azab neraka: 

اَلَّهُمَّ إِنِّيْ أََسْأَلُكَ ا لْجنَّةَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon syurga-Mu dan aku berlindung daripada neraka-Mu.”

Tarikh Dibaca: 29 Muharam 1447H/25 Julai 2025
Disediakan oleh:  Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑