Teks Khutbah Jumaat (Jakim):  Pahlawan Negara – Syuhada Yang Tidak Dilupakan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَمَن جَـٰهَدَ فَإِنَّمَا يُجَـٰهِدُ لِنَفْسِهِۦٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِىٌّ عَنِ ٱلْعَـٰلَمِينَ(٦)

Bermaksud: “Dan sesiapa yang berjuang (pada jalan Allah), maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun) daripada sekalian makhluk”.

(Surah Al-Ankabut 29:6)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Tumpukan sepenuh perhatian pada khutbah ini dan janganlah sibuk dengan perkara lagha seperti bermain telefon bimbit. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT. 

Khutbah pada hari ini akan berbicara tentang; “Pahlawan Negara – Syuhada Yang Tidak Dilupakan”.

Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin menyeru sidang Jemaah sekalian untuk terus memanjatkan doa pertolongan kepada Allah SWT agar melindungi, menyelamatkan dan memberi kemenangan kepada penduduk Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka. Sesungguhnya doa dari kita semua adalah senjata yang paling ampuh boleh kita salurkan kepada mereka dan hanya kepada Allah SWT jualah tempat yang selayaknya kita memohon pertolongan.

Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,

Pada hari ini, kita memperingati Hari Pahlawan iaitu hari yang membawa makna besar dalam sejarah negara kita. Ia bukan sekadar peringatan tahunan, tetapi satu seruan untuk kita mengenang pengorbanan para pejuang yang telah menumpahkan darah dan keringat demi kemerdekaan dan keamanan yang kita nikmati hari ini.

Islam tidak memandang ringan peranan seorang pahlawan. Seorang pahlawan dalam Islam bukan hanya mereka yang mengangkat senjata di medan perang, tetapi sesiapa sahaja yang berjuang mempertahankan agama, tanah air, maruah dan kebenaran, maka dia adalah pejuang yang mulia di sisi Allah SWT.

Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam al-Tirmidzi daripada Sa’id bin Zaid radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya, dia mati syahid. Sesiapa yang mati kerana mempertahankan darahnya, dia mati syahid. Sesiapa yang mati kerana mempertahankan agamanya, dia mati syahid. Dan sesiapa yang mati kerana mempertahankan keluarganya, dia mati syahid”.

Inilah penghormatan tinggi yang diberikan Islam kepada mereka yang berkorban demi masyarakat, demi tanah air dan demi keselamatan umat. Dalam sejarah Islam juga, tercatat ramai yang dikenali sebagai pahlawan antaranya Rasulullah SAW sendiri, juga para sahabat seperti Khalid al-Walid, Salahuddin al-Ayyubi, dan ramai lagi. Mereka ialah contoh pahlawan sejati yang berjuang dengan iman dan keikhlasan.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Kita tidak harus lupa bahawa keamanan yang kita kecapi hari ini merupakan hasil keringat dan darah para pahlawan yang sanggup berkorban sejak dari zaman penjajahan Portugis, Belanda, British dan Jepun, sehinggalah ke era darurat menentang komunis.

Mereka berjuang bukan untuk nama, bukan juga untuk kemewahan. Ramai antara mereka gugur sebagai syuhada, disemadikan di tanah sunyi tanpa pusara yang dikenal. Tetapi Allah Maha Mengetahui dan tidak pernah mensia-siakan pengorbanan hamba-Nya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ankabut ayat 6:

وَمَن جَـٰهَدَ فَإِنَّمَا يُجَـٰهِدُ لِنَفْسِهِۦٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِىٌّ عَنِ ٱلْعَـٰلَمِينَ(٦)

Bermaksud: “Dan sesiapa yang berjuang (pada jalan Allah), maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun) daripada sekalian makhluk”.

(Surah Al-Ankabut 29:6)

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,

Hari ini, perjuangan belum selesai. Musuh tidak lagi datang dengan senjata, tetapi dengan racun pemikiran, perpecahan kaum, keruntuhan moral dan kebencian terhadap agama. Maka menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, untuk menjadi benteng terakhir mempertahankan negara dan ummah daripada kehancuran.

Kita mesti menyemai nilai patriotisme dan kesedaran agama kepada anak-anak kita. Jangan biarkan generasi akan datang buta sejarah, lupa jasa pahlawan dan memandang ringan pengorbanan masa lalu.

Cintailah negara ini. Pertahankannya dari anasir kebencian, perpecahan dan kemaksiatan. Kerana jika negara ini hancur, di manakah lagi tempat anak cucu kita berteduh?

Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,

Mari kita sama-sama mendoakan para pahlawan negara dari peringkat awal hinggalah ke saat ini. Moga Allah merahmati mereka, mengangkat darjat mereka sebagai syuhada, dan memberikan kekuatan kepada kita untuk menjadi pewaris perjuangan yang ikhlas dan setia.

Marilah juga kita tanamkan satu azam untuk menjadi umat yang mencintai agama dan tanah air. Kita bukan sekadar pembaca kepada sejarah, tetapi pewaris kepada perjuangan. Mari kita buktikan kecintaan itu dengan tetap taat kepada Allah, menjaga keharmonian, dan menghindari fitnah serta permusuhan. Jangan sia-siakan pengorbanan para pahlawan. Jangan khianati tanah air ini. Jadilah umat yang benar-benar membela Islam dan negara, bukan merosakkannya dari dalam.

Sidang Jemaah Sekalian,

Justeru mengakhiri khutbah pada hari ini, renungkan beberapa intipati ini;

Pertama: Islam tidak memandang ringan peranan seorang pahlawan kerana sesiapa sahaja yang berjuang mempertahankan agama, tanah air, maruah dan kebenaran, maka dia adalah pejuang yang mulia di sisi Allah SWT.

Kedua: Perjuangan mempertahankan negara dan agama belum berakhir dan kini ia menuntut kewaspadaan terhadap ancaman pemikiran dan keruntuhan nilai.

Ketiga: Kita semua pewaris kepada perjuangan para pahlawan dalam mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara kita.

Renungkanlah firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 111:

إِنَّ ٱللَّهَ ٱشْتَرَىٰ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلْجَنَّةَ ۚ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّۭا فِى ٱلتَّوْرَىٰةِ وَٱلْإِنجِيلِ وَٱلْقُرْءَانِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِۦ مِنَ ٱللَّهِ ۚ فَٱسْتَبْشِرُوا۟ بِبَيْعِكُمُ ٱلَّذِى بَايَعْتُم بِهِۦ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ(١١١) 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”.

(Surah at-Taubah 9:111)

Tarikh Dibaca: 7 Safar 1447H/1 Ogos 2025
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑