Melawat Muzium Rembau: Warisan Raja Melewar

Oleh: MyMuslimin.com

Dibina pada awal 2000-an dan dibuka secara rasmi pada tahun 2004, Muzium Rembau merupakan replika istana asal tempat Raja Melewar — Yang di-Pertuan Besar pertama Negeri Sembilan — ditabalkan pada tahun 1773. Ia mempamerkan seni bina tradisional Negeri Sembilan yang sangat dipengaruhi oleh reka bentuk Minangkabau.

Unsur uniknya termasuk struktur rumah bertiang kayu yang ditinggikan untuk pengudaraan dan perlindungan daripada banjir, serta bumbung bertingkat yang melengkung ke atas, melambangkan identiti budaya. Susun atur bangunan mencerminkan perancangan ruang diraja Melayu, dengan serambi dan dewan utama yang ditinggikan di tengah.

Dalam muzium, pelawat boleh melihat pelbagai barangan tradisional – daripada pelamin, congkak, peralatan bertani sehinggalah alat muzik lama. Terasa seolah-olah kita melangkah masuk ke zaman silam. Yang menarik, masuk adalah percuma.

Namun begitu, Tak dapat nafikan bahawa muzium ini perlukan sentuhan baharu — lantai kayu yang lusuh, papan maklumat yang pudar, dan pencahayaan yang agak suram.

Berita baiknya, kerja-kerja menaik taraf kini sudah mula dijalankan. Dengan sedikit penambahbaikan, semoga Muzium Rembau akan lebih bersinar dan menarik minat lebih ramai pengunjung.

Kalau anda berada di sekitar Rembau, singgahlah sebentar. Sejarah Negeri Sembilan bermula di sini.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑