Soalan
Beberapa tahun yang lalu, seorang jemaah berlepas dari Kuala Lumpur ke Jeddah dengan tujuan bertemu suami yang bekerja di Jeddah. Itu merupakan kunjungan pertama ke Arab Saudi. Mengikut perancangan asal, umrah hanya akan ditunaikan selepas beberapa hari berada di Arab Saudi.
Namun, semasa penerbangan KL–Jeddah, anak kapal membuat pengumuman bahawa penumpang yang ingin menunaikan umrah perlu berniat di miqat. Tanpa berfikir panjang dan dalam keadaan kurang pengetahuan, jemaah tersebut berniat: “Sahaja aku menunaikan umrah kerana Allah Taala.”
Di dalam pesawat yang sama, niat tersebut dibatalkan kerana mengikut rancangan awal, jemaah ingin bertemu suami terlebih dahulu sebelum menunaikan umrah di Makkah. Pada waktu itu, pengetahuan tentang tempat dan masa yang betul untuk berniat masih terbatas.
Soalan yang dikemukakan adalah:
- Adakah pembatalan niat tersebut di atas penerbangan diterima, memandangkan difahamkan bahawa niat umrah tidak boleh dibatalkan?
- Jika pembatalan niat tidak diterima:
a. Adakah perlu membayar dam? Segala kesalahan kecil dan besar telah dilakukan kecuali membunuh binatang. Kesalahan besar seperti hubungan kelamin dengan suami juga berlaku berulang kali, namun jumlah tepat tidak diingati.
b. Adakah dam perlu dibayar bagi setiap kali kesalahan dilakukan? Contohnya, jika hubungan kelamin berlaku 5 kali, adakah dam perlu dibayar 5 kali?
c. Jika tetap diwajibkan membayar dam, ini mungkin melibatkan hampir keseluruhan wang simpanan. Adakah terdapat keringanan dalam hal ini?
Penjelasan
Apabila seseorang telah berniat ihram secara sah sama ada bagi haji atau umrah, maka dia telah dikira berada dalam keadaan berihram yang sah dan tertakluk di atasnya segala larangan ihram. Keadaan ini tidak boleh dibatalkan sesuka hati, walaupun seseorang itu menarik balik niatnya atau berhenti melakukan manasik selepas itu. Maka, membatalkan niat ihram tidak dianggap sah dari sudut syarak.
Justeru, seseorang yang sudah berniat ihram tetaplah berada dalam hukum ihram walaupun dia berniat membatalkannya. Larangan-larangan ihram tetap tertakluk ke atasnya dan dia wajib menyempurnakan manasiknya atau membayar dam jika melanggarnya.
- Perbuatan persetubuhan (hubungan intim) adalah suatu yang dilarang ketika ihram dan apabila ia dilakukan dengan sengaja tanpa sebarang paksaan dan dalam keadaan mengetahui keharamannya maka haji atau umrahnya menjadi fasid dan wajib bagi mereka untuk meneruskan baki ibadah-ibadah haji dan Umrah yang belum terlaksana lagi. Seterusnya segera mengqadakan (mengantikan kembali) Haji dan Umrah (pada kali kedua).
- Dalam keadaan telah berlaku persetubuhan antara suami isteri dan memenuhi syarat-syarat yang telah disebutkan di atas maka hanya suami yang dikenakan Dam (Tertib dan Ta’dil). Tertib bermaksud melaksanakan satu persatu secara tertib dengan tidak boleh diganti atau dipilih dengan yang lain kecuali tidak terdaya melakukan yang sebelumnya. Maksud Ta’dil ialah apabila seseorang itu tidak berkuasa menyembelih binatang, maka ia hendaklah menggantikan dengan makanan dan jika tidak berkuasa juga, maka hendaklah digantikan dengan puasa. Selain itu, kedua-dua (suami dan isteri) perlu memohon keampunan daripada Allah SWT jua hendaknya.
- Sekiranya seseorang yang telah berniat umrah melakukan jimak dalam keadaan tidak tahu (jahil) bahawa dia masih berada dalam ihram atau menyangka niat batalkannya sah (seperti soalan penanya), maka dia tidak dikenakan Dam kerana larangan ini dimaafkan bagi pelaku yang jahil atau terlupa.
- Seandainya rukun haji atau umrah dengan niat yang tersebut tidak disempurnakan setelah berlakunya persetubuhan tersebut dan si pelaku hanya sedari kesalahannya pada masa kini dan masih belum menyempurnakan haji atau umrah tersebut atau dengan haji dan umrah yang berikutnya maka diwajibkan melaksanakan Dam Ihsar bagi membebaskan diri dari larangan ihram dan mengqada haji dan umrah pada masa akan datang.
- Adapun jika pelaku dalam keadaan jahil melakukan larangan ihram yang bersifat الإتلاف (merosakkan), seperti mencabut rambut, memotong kuku, membunuh binatang buruan atau merosakkan tumbuhan tanah haram, maka tetap wajib dikenakan Dam sekalipun dalam keadaan jahil dan tidak mengetahui hukumnya.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Pendahuluan
Setiap sesuatu ibadah memerlukan kepada niat berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Umar al-Khattab RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang akan mengikut apa yang diniatkan”.
[Riwayat Muslim, No.1907]
Oleh yang demikian, sesuatu ibadat hendaklah diniatkan bagi membezakannya dengan satu perbuatan yang dianggap sebagai adat kebiasaan. Manakala dalam perkara hal berkaitan ihram, sesiapa yang telah berniat ihram, maka haram baginya melakukan perkara larangan ihram. Antara larangan-larangan setelah berihram tersebut adalah seperti yang disebutkan Habib Hasan Ibn Ahmad al-Kaff seperti berikut:
محرمات الإحرام هي : سَتْرُ الرأس ولُبْسُ المُحيط للرَّجُل، وستْرُ الوَجْهِ ولُبْسُ القُفَازَيْنِ للمرأة، وإزالة الشعر والظُّفْر، والطيب، والجماع، ودهن الرأس واللحية، والصَّيْدُ، وقطْعُ نَبَاتِ الحَرمِ الرَّطْب
Terjemahannya: “Larangan-larangan ihram adalah menutup kepala, memakai pakaian berjahit bagi lelaki, menutup muka dan memakai sarung tangan bagi wanita, berwangi-wangian, bersetubuh, memakai minyak pada rambut dan janggut, memburu dan mencabut atau membinasakan tumbuhan di tanah Haram.”
[Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah, Hlm.503]
Perbezaan Niat Haji Dan Umrah Berbanding Ibadat Lain
Niat ihram bagi ibadah haji atau umrah memiliki kedudukan yang istimewa dan berbeza dengan niat dalam ibadah-ibadah lain. Hal ini kerana, apabila seseorang telah meniatkan ‘niat ihram’ secara sah sama ada bagi haji atau umrah, maka dia telah terikat dengan segala tuntutan serta larangan ihram. Keadaan ini tidak gugur hanya dengan niat untuk membatalkannya, bahkan menurut pandangan para fuqaha, niat membatalkan ihram tidak memberi sebarang kesan syarak.
Sehubungan dengan ini, Imam Suyuthi menjelaskan:
نَوَى قَطْعَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ لَمْ يَبْطُلَا بِلَا خِلَافٍ، لِأَنَّهُ لَا يَخْرُجُ مِنْهُمَا بِالْإِفْسَادِ
Terjemahannya:”Sesiapa yang berniat untuk memutuskan ibadah haji atau umrah, maka keduanya tidak terbatal – tanpa khilaf (di kalangan ulama) – kerana seseorang tidak keluar daripada ihram dengan melakukan perkara yang merosakkan ibadah tersebut”
[Rujuk Al-ashbah wal nazair, Hlm.38]
Dalam keterangan lain disebut:
رَفْضُ الإِْحْرَامِ: هُوَ تَرْكُ الْمُضِيِّ فِي النُّسُكِ بِزَعْمِ التَّحَلُّل مِنْهُ قَبْل إِتْمَامِهِ. وَرَفْضُ الإِْحْرَامِ لَغْوٌ بِاتِّفَاقِ الْعُلَمَاءِ، وَلاَ يَبْطُل بِهِ الإِْحْرَامُ، وَلاَ يَخْرُجُ بِهِ عَنْ أَحْكَامِهِ
Terjemahannya: “Menolak (membatalkan) ihram ialah meninggalkan pelaksanaan ibadah (haji atau umrah) dengan sangkaan telah keluar darinya sebelum disempurnakan. Dan penolakan ihram ini adalah suatu perbuatan sia-sia menurut ijmak ulama; ia tidak membatalkan ihram dan tidak juga mengeluarkan seseorang daripada segala hukum hakamnya.”
[Rujuk al-Mawsū‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, Juz.3, Hlm.177]
Hukum Memasuki Mekah Tanpa Ihram
Hukum memasuki Mekah untuk tujuan menziarahi suami atau keluarga dibincangkan oleh para ulama. Imam Mawardi menyebut:
وَالضَّرِبُ الثَّالِثُ: أَنْ يَدْخُلَ مَكَّةَ لِغَيْرِ هَذَيْنِ الْأَمْرَيْنِ إِمَّا مُتَوَطِّنًا أَوْ قَادِمًا إِلَى وَطَنٍ أَوْ تَاجِرًا أَوْ زَائِرًا فَهَلْ يَلْزَمُهُ الْإِحْرَامُ لِدُخُولِهَا بِنُسُكٍ مِنْ حَجٍّ أَوْ عُمْرَةٍ أَمْ لَا؟ عَلَى قَوْلَيْنِ:
أَحَدُهُمَا: قَالَهُ فِي الْإِمْلَاءِ أَنَّهُ اسْتِحْبَابٌ وَلَيْسَ بِوَاجِبٍ وَبِهِ قَالَ مَالِكٌ لقوله – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ – لِلْأَقْرَعِ بْنِ حَابِسٍ حِينَ قَالَ أَحَجَّتُنَا هَذِهِ لِعَامِنَا أَمْ لِلْأَبَدِ فَقَالَ: ” لَا بَلْ لِلْأَبَدِ ” فَدَلَّ عَلَى أَنَّ مَا
سِوَى حَجَّةِ الْإِسْلَامِ وَعُمْرَتِهِ لَا يَلْزَمُ بِالشَّرْعِ لِمَا رُوِيَ عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ دَخَلَهَا حَلَالًا بِغَيْرِ إِحْرَامٍ وَلِأَنَّهُ مِمَّنْ أُسْقِطَ فَرْضُ نسكه فجاز أن يدخلها حلال كَالْحَطَّابِينَ.
وَالْقَوْلُ الثَّانِي: وَهُوَ الصَّحِيحُ قَالَهُ فَيَ الْأُمِّ وَمُخْتَصَرِ الْحَجِّ أَنَّ الْإِحْرَامَ لِدُخُولِهَا وَاجِبٌ لِقَوْلِهِ تَعَالَى: {لاَ تُحِلُّوا شَعَائِرَ اللهِ وَلاَ الشَهْرَ الْحَرَامَ وَلاَ الهَدْيَ وَلاَ القَلائِدَ وَلاَ آمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامِ) {المائدة: ٢) يَعْنِي: قَاصِدِينَ فَمَنَعَ مِنَ الْعُدُولِ عَنْ قَصْدِ الْبَيْتِ لِمَنْ دَخَلَ الْحَرَمَ وَحَظَرَ تَحْلِيلَ ذَلِكَ بِتَرْكِهِ
Terjemahannya: “Seseorang yang masuk ke Makkah bukan kerana dua sebab di atas (bukan kerana peperangan atau kerap memasuki Mekah) seperti:
ingin menetap (muqīm), pulang ke kampung halamannya,berdagang,menziarahi (sahabat/kerabat)dan seumpamanya. Dalam hal ini, terdapat dua pandangan ulama:
Pandangan pertama seperti yang disebut oleh al-Shāfi‘ī dalam al-Imlā’, bahawa masuk ke Makkah dengan ihram hanyalah sunat, bukan wajib. Ini juga pandangan Imam Mālik. Mereka berdalilkan sabda Nabi SAW kepada al-Aqra‘ bin Hābis ketika ditanya: “Adakah haji ini hanya untuk tahun ini, atau selamanya?” Baginda bersabda: “Bahkan untuk selama-lamanya.” Maka, ini menunjukkan bahawa selain daripada Haji Islam dan Umrah Islam, tidak wajib ihram untuk masuk ke Makkah.
Mereka juga berdalilkan dengan perbuatan ‘Abdullāh bin ‘Umar رضي الله عنهما yang pernah masuk ke Makkah dalam keadaan halal tanpa ihram. Dan juga kerana orang yang telah menunaikan fardu haji atau umrah, dianggap telah gugur kefarduan nusuknya (ibadah haji/umrah), maka diharuskan baginya untuk masuk ke Makkah dalam keadaan halal, sepertimana yang diharuskan kepada para penebang kayu (الحطابين).
Pandangan kedua (dan ini yang ṣaḥīḥ menurut al-Shāfi‘ī dalam al-Umm dan Mukhtaṣar al-Ḥajj):
Wajib berihram jika ingin masuk ke Makkah, berdasarkan firman Allah:
“Janganlah kamu melanggar syi‘ar-syi‘ar Allah, bulan haram, binatang hadyu dan binatang yang dikalungi, serta orang-orang yang menuju ke Baitul Haram.”
(Surah al-Mā’idah 5:2)
Maka Allah melarang seseorang yang telah memasuki Tanah Haram daripada berpaling (berubah tujuan) daripada maksud menuju ke Baitullah, dan Dia mengharamkan menghalalkan (membolehkan) perbuatan itu dengan cara meninggalkannya (yakni: dengan tidak berihram). [Rujuk Al-hawi al-kabir, Jld.4, Hlm.240]
Larangan-larangan Ihram
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff di dalam kitabnya menyatakan : “Di antara larangan-larangan ihram adalah menutup kepala, memakai pakaian berjahit bagi lelaki, menutup muka dan memakai sarung tangan bagi perempuan, berwangi-wangian, bersetubuh, memakai minyak pada rambut dan janggut, memburu dan mencabut atau membinasakan tumbuhan di tanah Haram”. [Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah, Hlm. 502]
Larangan-larangan ihram antara yang diberi keuzuran dan tidak diberi keuzuran kepada pelakunya terbahagi kepada dua bahagian seperti berikut:
أقسام محرمات الإحرام (من ناحية العذر) : منها ما يعذر فيها الناسي والجاهل : وهو ما كان على سبيل الترفه (التزين) كالطيب والجماع ولبس المحيط وستر الوجه والرأس والدهن ، فلا تجب عليهم الفدية.
منها ما لا يعذر فيها : وهو ما كان من باب الإتلاف : كإزالة الشعر والظفر وقتل الصيد وقطع الشجر فتجب عليه الفدية وإن كان ناسياً أو جاهلاً.
Terjemahannya: ”Larangan-larangan ihram yang diberikan keuzuran bagi orang yang lupa atau jahil (tidak tahu hukum) adalah larangan-larangan yang berkaitan dengan kesenangan atau perhiasan diri (التَّرَفُّه), seperti: memakai wangian (الطيب), melakukan jima‘ (الجماع), memakai pakaian yang berjahit menutupi tubuh (لبس المحيط), menutup muka dan kepala (ستر الوجه والرأس), serta menggunakan minyak pada badan atau rambut (الدهن).
Maka sesiapa yang melakukan perkara-perkara ini dalam keadaan lupa atau jahil, tidak diwajibkan ke atasnya membayar fidyah.
Kedua, larangan-larangan yang tidak diberikan keuzuran (tetap berdosa dan dikenakan fidyah walaupun lupa atau tidak tahu) Iaitu larangan-larangan yang tergolong dalam kategori merosakkan atau memusnahkan sesuatu (الإتلاف), seperti: mencabut atau mencukur rambut (إزالة الشعر), memotong kuku (الظفر), membunuh binatang buruan (قتل الصيد), serta memotong pokok atau tumbuhan di tanah haram (قطع الشجر).
Maka sesiapa yang melakukannya, walaupun secara terlupa atau tidak tahu hukum, tetap dikenakan fidyah. [Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah, Hlm. 502]
Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-28 Musim Haji 1433 Hijrah membincangkan beberapa perkara dan memutuskan antaranya seperti berikut:
“KESALAHAN MASA LAMPAU RUKUN HAJI DAN UMRAH”
(1) Penjelasan berkaitan kesalahan masa Iampau berkaitan rukun haji atau umrah yang tidak sempurna semasa mengerjakan ibadat tersebut dan hanya disedari pada masa ini. la adalah seperti berikut:
- Tidak sempurna haji dan umrah
- Masih berada dan terikat dengan larangannya
Perhatian:
- Melaksanakan Dam Ihsar bagi membebaskan diri dari larangan ihram
- Menyempurnakan rukun haji dan umrah yang belum selesai secepat mungkin (berdasarkan kemampuan)
Merujuk perbincangan dalam Kitab Bahrui Wafl, jenis larangan tersebut terbahagi kepada beberapa keadaan di bawah:
1. Larangan yang berunsur semata-mata membinasa seperti memburu, membunuh binatang buruan walau di mana berada dan bagi kes menebang pokok hanya di Tanah Haram Makkah.
- Dikenakan dam, tidak disyaratkan mengetahui haram dan tidak disyaratkan sengaja.
2. Larangan yang berunsur bersedap-sedap semata-mata seperti memakai bau-bauan atau pakaian atau menyapu minyak pada rambut.
- Dikenakan dam jika dilakukannya dengan sengaja dan mengetahui haram.
3. Larangan yang berunsur binasa dan bersedap yang mana unsur binasa melebihi bersedap seperti memotong kuku dan rambut.
- Dikenakan dam, tidak disyaratkan mengetahui haram dan tidak disyaratkan sengaja
Jika unsur bersedap (taraffuh) melebihi binasa (itlaf) seperti muqadimah persetubuhan dan Jima’
Dikenakan dam, dan berdosa jika dilakukan dengan mengetahui haram dan sengaja.
[Rujuk https://www.tabunghaji.gov.my/ms/haji/bimbingan/resolusi-muzakarah-haji-0 ]
Kesimpulan
Berdasarkan keterangan yang telah lalu, dapat disimpulkan beberapa perkara dalam menjawab persoalan yang diajukan,
- Seseorang yang telah berniat di hatinya ihram bagi umrah, maka dia telah berada dalam keadaan berihram dan terikat dengan segala hukum dan larangan ihram. Niat untuk membatalkan ihram sama ada disebabkan kesukaran atau sebab-sebab lain tidak menggugurkan status ihram, dan tidak menyebabkan dia bebas daripadanya.
- Sekiranya seseorang yang telah berniat umrah melakukan jimak dalam keadaan tidak tahu (jahil) bahawa dia masih berada dalam ihram atau menyangka niat batalkannya sah, maka dia tidak dikenakan Dam. Ini kerana jima‘ termasuk dalam larangan ihram kategori التَّرَفُّه (perhiasan dan kenikmatan), yang dimaafkan bagi pelaku yang jahil atau terlupa.
- Namun jika pelaku dalam keadaan jahil melakukan larangan ihram yang bersifat الإتلاف (merosakkan), seperti mencabut rambut, memotong kuku, membunuh binatang buruan atau merosakkan tumbuhan tanah haram, maka tetap wajib dikenakan Dam kerana unsur kerosakan tetap berlaku dan tidak diberi keuzuran pada sudut hukum.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman serta taufiq kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.
Wallahua’lam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment