Teks Khutbah Jumaat: Gerakan Era Baharu: Ancaman Halus Keimanan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

صِبْغَةَ ٱللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ صِبْغَةًۭ ۖ وَنَحْنُ لَهُۥ عَـٰبِدُونَ(١٣٨)

“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.”

(Surah Al-Baqarah 2:138)

Sidang Jemaah Jumaat Sekalian,

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas limpahan nikmat yang tidak terhitung. Bertakwalah kepada Allah SWT dengan beristiqamah mentaati segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Janganlah kita terus alpa dibuai nafsu yang sentiasa rapuh terhadap godaan syaitan yang tidak pernah lelah menyesatkan insan.

Di penghulu segala hari yang mulia ini, khatib ingin mengajak sidang jemaah menelusuri satu tajuk yang amat mustahak dalam menjaga kemurnian akidah umat iaitu: “Gerakan Era Baharu: Ancaman Halus Keimanan”.

Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,

Akidah merupakan teras utama yang menetapkan hala tuju, prinsip dan nilai dalam seluruh aspek kehidupan seorang Muslim. Akidah, sesuai maksudnya daripada perkataan Arab ‘aqada iaitu ‘ikat’ berperanan menetapkan kepercayaan dan mengukuhkan jati dirinya. 

Dengan akidah yang sahih, seorang Muslim mengenali Tuhannya, menyedari tujuan hidupnya dan menilai sesuatu berdasarkan neraca wahyu bukan semata-mata nafsu.

Mutakhir, Gerakan Era Baharu atau New Age Movement yang kini mula dikesan dan semakin kelihatan pengaruhnya dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Era Baharu atau New Age dengan maksud ‘zaman baharu kerohanian’ bagi menggantikan agama yang kononnya lebih terbuka, bebas serta inklusif berbanding agama-agama yang dianggap lapuk, kaku dan bersifat menghukum. 

Wal hasilnya, digabungkan pelbagai unsur mistik serta falsafah daripada pelbagai agama sehingga membentuk ‘ajaran kerohanian’ yang bebas tanpa Tuhan, ketenangan tanpa ibadah dan ‘kebenaran’ tanpa wahyu.

Gerakan ini tidak hadir secara terang-terangan sebagai agama baharu tetapi menyusup masuk melalui pendekatan motivasi kendiri, bengkel penyembuhan rohani, pengurusan stres, produk kesihatan alternatif, dan aktiviti pembangunan diri. Zahirnya kelihatan positif namun hakikatnya menyesatkan. 

Justeru, seorang muslim hendaklah berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 138 yang dibacakan di awal khutbah yang bermaksud: “(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.”

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Gerakan Era Baharu secara ringkas dapat difahami sebagai gerakan kerohanian moden yang mencampur aduk pelbagai kepercayaan dan menolak agama wahyu. Gerakan ini menawarkan ketenangan diri tanpa ibadah dan menggantikan Tuhan dengan rasa batin atau tenaga alam. 

Sifatnya yang longgar dan tidak formal menjadikannya mudah tersebar dalam pelbagai rupa sama ada individu mahupun kumpulan tertentu. Bahayanya Gerakan Era Baharu terhadap kaum Muslim dapat merosakkan teras akidah, syariat dan akhlak.

Gerakan Era Baharu merosakkan teras akidah kerana mempromosikan ajaran semua adalah satu (monisme) dan semua termasuk manusia serta alam adalah Tuhan (panteisme). Hal ini menatijahkan penyebaran fahaman pluralisme iaitu semua agama adalah benar dan setiap tokoh spiritual mewakili kebenaran yang sama. 

Fahaman ini jelas kufur kerana menafikan ajaran Tauhid dan ikrar seorang Muslim bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah SWT dan Muhammad SAW itu Rasulullah.

Selain itu, ianya merosakkan teras syariat dengan merendah-rendahkan hukum-hakam dalam Islam. Amalan ibadah seperti solat, puasa atau kewajipan syarak di sisi mereka tidak cukup menstabilkan mental, fizikal dan spiritual manusia. Bahkan ditambah dan digantikan dengan amalan alternatif lain seperti meditasi, visualisasi atau renungan dalam diri, aktiviti penyelarasan tenaga (aura atau chakra) dan kaedah ‘healing’ yang bertentangan dengan syariat Islam. 

Akar kepada penolakan ini adalah fahaman liberalisme yang menolak autoriti agama dan memberi kebebasan mutlak kepada individu dalam menentukan nilai berdasarkan rasa dan logik semata-mata.

Di samping itu, ianya merosakkan teras akhlak dan kerohanian Islam apabila mengajarkan konsep ‘ketuhanan dalam diri’ yang mana setiap individu mempunyai ‘cahaya ilahi’ dalam diri yang perlu dibebaskan. Fahaman ini bertunjangkan kefahaman murji’ah yang menolak konsep dosa serta pahala dan menganggap semua jalan hidup adalah sah selagi tidak menyakiti orang lain sekaligus menghapuskan sempadan antara halal dan haram. 

Maka, kita boleh lihat perbuatan syirik dan maksiat diadunkan terutamanya program-program yang bertemakan ‘Motivasi Islam’. Hilang ketakutan kepada Allah dan tercabut rasa malu melakukan perkara yang meruntuhkan akhlak.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Sesungguhnya, Islam ialah sistem hidup yang lengkap lagi sempurna merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Islam bukan sekadar memberi panduan dalam hubungan manusia dengan Tuhannya tetapi sesama manusia dan alam sekitarnya. Islam hadir memenuhi tiga keperluan asas manusia.

Pertama, aspek mental melalui akidah yang sahih intipatinya Enam Rukun Iman. 

Kedua, aspek fizikal melalui syariat yang mengatur ibadah intipatinya Lima Rukun Islam. Ketiga, aspek spiritual melalui konsep Ihsan iaitu penyuburan sifat kehambaan dengan kesedaran hidup bertuhan. Berhati-hatilah dan kembalilah bertaubatlah kepada Allah SWT jika kita pernah terlibat dengan program berunsur fahaman Gerakan Era Baharu. Rujuklah kepada pihak berkuasa agama dan para alim ulama di atas perkara yang tidak jelas. Jangan lagi kita terlibat apatah lagi setelah mengetahuinya. 

Takutlah dengan peringatan Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Huzaifah al-Yamani bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: 

“Fitnah (ujian) didatangkan kepada hati-hati, seperti tikar yang dianyam sehelai demi sehelai. Maka mana-mana hati yang menerima fitnah itu, akan dicatat padanya satu titik hitam. Dan mana-mana hati yang menolaknya, akan dicatat padanya satu titik putih. Sehingga hati terbahagi kepada dua jenis: satu hati yang putih bersih seperti batu licin, maka fitnah tidak akan membahayakannya selama langit dan bumi masih ada. Dan satu lagi hati yang hitam kelabu seperti cawan yang tertangkup, ia tidak lagi mengenal kebaikan dan tidak lagi menolak kejahatan, melainkan apa yang telah meresap ke dalam hawa nafsunya.””.

Tarikh Bacaan: 21 Safar 1447H | 15 Ogos 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑