أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟ فَتَفْشَلُوا۟ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَٱصْبِرُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ(٤٦)
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantahbantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”.
(Surah Al-Anfal 8:46)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Tumpukan sepenuh perhatian pada khutbah ini dan janganlah sibuk dengan perkara lagha seperti bermain telefon bimbit. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT.
Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: ‘Bangkit Membela, Teguh Bersaudara’.
Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,
Hati kita berduka melihat penderitaan yang dialami oleh saudara-saudara kita di Palestin, khususnya di Gaza. Mereka dizalimi, diusir, dan dibunuh tanpa belas kasihan. Anak-anak, kaum wanita, orang tua terus menjadi korban kekejaman rejim Zionis Israel. Kehormatan penduduk Gaza terus dinodai, rumah, masjid, dan segala kemudahan lain dimusnahkan satu demi satu. Inilah kezaliman yang nyata, genosid yang dibuat secara terang-terangan dan jenayah kemanusiaan terancang yang “direstui” oleh pendukung Zionis Israel.
Situasi di Gaza kini semakin genting. Rejim Zionis Israel terus melakukan pembantaian terbesar sejak pendudukan haram mereka. Dengan “restu” kuasa besar, Israel kini galak menggempur habis-habisan wilayah Gaza. Gerak-geri mereka menunjukkan bahawa mereka tidak akan berhenti meratakan bumi Gaza daripada penduduknya dan memadamkannya terus dari peta dunia.
Misi mereka semakin jelas untuk merampas dan menguasai keseluruhan Gaza dan Palestin seluruhnya. Dengan itu, mereka terus membunuh dan menghancurkan penduduk Gaza sebanyak mungkin. Untuk rekod, angka korban di Gaza akibat serangan Israel kini telah melebihi 61 ribu orang, manakala lebih 150 ribu orang cedera sejak 7 Oktober 2023.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Setiap detik waktu yang berlalu hanya menambahkan jumlah kematian, penderitaan dan kehancuran sedangkan dalam tempoh itu juga, umat Islam terus diuji dengan perpecahan yang tak kunjung sudah. Inilah titik kelemahan umat. Sedangkan Allah SWT menyatakan bahawa kesatuan itulah kekuatan umat Islam sebagaimana dinyatakan dalam Surah alAnfaal ayat 46 yang dibacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantahbantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”.
Bagi penduduk Gaza, menyerah kalah bukanlah kemahuan mereka kerana itulah tanah tumpah darah mereka. Bahkan keimanan mereka semakin teguh meski dihenyak dan ditekan sehabis mungkin oleh rejim zionis Israel.
Hal keadaan mereka sama sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Ali Imran ayat 173 yang maksudnya: “Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami)”.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi,
Tidak cukup dengan peperangan, penduduk Gaza kini diancam pula dengan kebuluran. Sekatan bantuan kemanusiaan yang dibuat oleh rejim Israel merupakan langkah kecundang mereka dalam menghapuskan penduduk Gaza setelah kegagalan mereka dengan cara ketenteraan. Usaha mereka bermula dengan menyekat semua kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan harapan semua penduduk akan keluar dari wilayah berkenaan.
Kini, penduduk Gaza telah terputus bekalan makanan juga keperluan asas lain. Angka kematian disebabkan kebuluran pula semakin meningkat. Setakat ini menurut Kementerian Kesihatan Gaza, jumlah kematian akibat kekurangan zat makanan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 227 orang, termasuk 103 kanak-kanak. Maka, umat Islam wajib sedar dan bangkit memperjuangkan nasib penduduk Gaza dengan segala bentuk kekuatan yang ada. Inilah masanya untuk menghentikan segala kezaliman dengan kekuatan dari sudut penyampaian maklumat di media sosial, politik, ekonomi, diplomatik dan sebagainya. Inilah tanggungjawab kita terhadap saudara seiman dan pastinya di akhirat nanti ia akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
Membantu Palestin merupakan tuntutan iman. Pertolongan itu pula luas bentuknya, sama ada bantuan harta, makanan, ubat, pakaian, dukungan diplomasi, bahkan doa yang ikhlas pada setiap masa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 71: Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain”.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Dalam ruang lingkup perbahasan tentang kezaliman yang berlaku di Palestin, khatib juga mengambil ruang yang ada ini untuk menyeru dan mengingatkan saudara sekalian berkaitan isu buli. Sesungguhnya buli juga merupakan salah satu daripada bentuk kezaliman yang ditentang dalam Islam yang merosakkan maruah manusia. Ia turut dipandang sebagai tindakan yang membawa kerosakan yang besar dalam banyak aspek termasuk kesihatan emosi dan fizikal, bahkan boleh mengancam nyawa orang lain.
Maka oleh sebab itu, ia perlu dibasmi sehingga ke akar umbi. Setiap pihak memainkan peranan besar dalam usaha membanteras isu buli. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat bimbingan agama, perhatian yang cukup dan contoh teladan yang baik. Ibu bapa dan guru perlu sentiasa cakna terhadap sebarang perubahan atau keadaan yang berlaku terhadap anak-anak dan pelajar.
Pihak sekolah pula harus mewujudkan peraturan anti-buli, menyediakan kaunseling serta aktiviti berteraskan nilai murni. Masyarakat tidak boleh menormalisasikan budaya mengejek atau memalukan orang lain. Seterusnya kempen kesedaran dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan bagi membendung isu ini sehingga ke peringkat akar umbi. Paling penting, setiap individu mesti mendidik diri sendiri untuk menjaga lisan, mengawal emosi dan tidak menyakiti hati orang lain.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Mengakhiri khutbah, khatib tinggalkan beberapa pesanan;
Pertama: Rakyat Palestin terus dibantai rejim Zionis Israel dengan sokongan kuasa besar. Ribuan nyawa terkorban, puluhan ribu cedera, manakala rumah dan masjid musnah. Tujuan mereka jelas iaitu menghapuskan Palestin dari peta dunia.
Kedua: Membantu Palestin adalah tuntutan iman, sama ada melalui harta, doa, diplomasi atau apa sahaja bentuk usaha yang mampu menghentikan kezaliman.
Ketiga: Buli ialah kezaliman yang merosakkan maruah dan nyawa, wajib dibanteras oleh semua pihak, bermula dengan didikan diri agar tidak menyakiti orang lain. Yakinlah akan firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 42 yang bermaksud: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)”.
Tarikh Dibaca: 28 Safar 1447h / 22 Ogos 2025
Disediakan Oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment