Soalan
Jika seorang ibu susuan mempunyai 2 orang anak susuan dari dua keluarga yang berbeza, apakah hukum anak susuan daripada dua keluarga ini berkahwin?
Penjelasan
Sekiranya dua orang anak susuan menyusu daripada seorang ibu susuan yang sama sekurang-kurangnya lima kali penyusuan yang sempurna sebagaimana disyaratkan dalam Mazhab al-Syafi‘i, maka mereka dikira sebagai adik-beradik susuan.
Oleh itu, dua orang anak susuan daripada ibu yang sama haram berkahwin antara satu sama lain, kerana hubungan susuan menjadikan mereka mahram sebagaimana adik-beradik kandung.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Kesan Perubahan Status Sebagai Anak Susuan
Islam meletakkan penyusuan bukan sekadar sebagai pemakanan bayi, bahkan ia mewujudkan ikatan kekeluargaan yang sah di sisi syarak. Hubungan ini dinamakan sebagai mahram susuan. Ia membawa kesan yang besar dalam hukum-hakam seperti perkahwinan, aurat, khalwah, pewarisan, serta tanggungjawab sosial dalam masyarakat. Dalam nas al-Quran dinyatakan bahawa seorang lelaki diharamkan untuk bernikah dengan wanita yang menyusukannya seperti firman Allah:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَٰتُكُمْ وَعَمَّـٰتُكُمْ وَخَـٰلَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُ ٱلْأَخِ وَبَنَاتُ ٱلْأُخْتِ وَأُمَّهَـٰتُكُمُ ٱلَّـٰتِىٓ أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَـٰعَةِ وَأُمَّهَـٰتُ نِسَآئِكُمْ وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا۟ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَـٰٓئِلُ أَبْنَآئِكُمُ ٱلَّذِينَ مِنْ أَصْلَـٰبِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا۟ بَيْنَ ٱلْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا (٢٣)
Maksudnya: Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[Surah An- Nisa’ 4:23]
Ayat tersebut menerangkan hukum tahrīm al-raḍā‘ah, iaitu pengharaman perkahwinan melalui penyusuan. Seorang lelaki diharamkan berkahwin dengan wanita yang pernah menyusukannya (ibu susuan), begitu juga dengan mana-mana saudara perempuan sesusuan yang menyusu daripada wanita yang sama.
Kadar Susuan Yang Mengharamkan Perkahwinan
Menurut pendapat Mazhab al-Syafi‘i, kadar penyusuan yang mengharamkan perkahwinan ialah sekurang-kurangnya lima kali penyusuan yang sempurna. Penyusuan yang kurang daripada lima kali tidak mewujudkan hubungan mahram, kerana syarat kemahraman melalui susuan hanya ditetapkan apabila berlaku lima kali penyusuan yang terpisah-pisah dengan jelas.
Hukum ini berlandaskan hadis Nabi yang yang menyatakan bahawa
عن عمرة، أنها سمعت عائشة، تقول: – وهي تذكر الذي يحرم من الرضاعة قالت عمرة: فقالت: عائشة – «نزل في القرآن عشر رضعات معلومات، ثم نزل أيضا خمس معلومات»، حدثنا عبد الوهاب، قال: سمعت يحيى بن سعيد، قال: أخبرتني عمرة، أنها سمعت عائشة تقول بمثله
Maksudnya: Daripada ‘Amrah, bahawa beliau mendengar ‘Aisyah berkata – ketika beliau menyebut tentang perkara yang mengharamkan melalui penyusuan – ‘Amrah berkata: Lalu ‘Aisyah berkata: “Telah diturunkan di dalam al-Quran (ayat tentang) sepuluh kali penyusuan yang maklum, kemudian telah diturunkan pula (ayat tentang) lima kali penyusuan yang maklum.” Abdul Wahhab berkata: “Aku telah mendengar Yahya bin Sa‘id berkata: ‘Amrah telah memberitahuku bahawa beliau mendengar ‘Aisyah berkata sepertimana demikian.”
[Riwayat Imam Muslim No. hadis 3598]
Kadar penyusuan yang dikira sebagai satu kali penyusuan ialah apabila seorang bayi menyusu sehingga kenyang, kerana setelah kenyang, bayi akan berhenti dan menolak untuk terus menyusu. Apabila bayi kembali menyusu pada waktu yang lain, ia dianggap sebagai penyusuan yang terpisah. Justeru, lima kali penyusuan yang sempurna bermaksud lima kali bayi menyusu hingga kenyang pada lima waktu yang berbeza dengan pemisahan yang jelas antara setiap penyusuan.
Hubungan Anak Susuan dengan Ibu Susuan
- Ibu susuan menjadi mahram mu’abbad kepada anak susuan.
- Haram berkahwin antara anak susuan dengan ibu susuan.
- Aurat anak lelaki susuan dengan ibu susuan adalah seperti aurat anak kandung dengan ibu kandung.
Hubungan Anak Susuan dengan Bapa Susuan
- Suami kepada ibu susuan dikira sebagai bapa susuan walaupun tidak menyusukan secara langsung.
- Anak susuan haram berkahwin dengannya dan anak-anaknya.
Hubungan Anak Susuan dengan Anak-anak Susuan yang Lain
- Semua anak yang menyusu daripada seorang wanita yang sama dikira sebagai adik-beradik susuan.
- Mereka mahram sesama sendiri, maka haram berkahwin antara satu sama lain.
Islam mengharamkan perkahwinan antara adik beradik susuan. Hal ini kerana, sesuai dengan firman Allah:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمْ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ مِنْ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu.”
(Surah al-Nisa’ 4:23)
Hal ini juga berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas RA, sabda Rasulullah SAW:
يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ
Maksudnya: “Mereka yang haram dikahwini kerana keturunan, haram juga dikahwini dengan susuan.”
(Riwayat al-Bukhari, 2502 dan Muslim, 1447)
Berkata Sheikh Zainuddin Abd Aziz Al-Malibari di dalam kitab Iānatu al-Ṭālibīn ‘alā Ḥalli Alfāẓ Fatḥi al-Mu‘īn, nukilan beliau iaitu:
وتسرى الحرمة من الرضيع إلى أصولهما وفروعهما وحواشيهما نسبا ورضاعا
Maksudnya: Dan hukum pengharaman (nikah) kerana penyusuan menjalar daripada anak yang disusui kepada kedua-dua pihak ibu susuan dan bapa susuan iaitu Kepada ibu bapa atau datuk nenek mereka, keturunan (anak cucu) dan kerabat-kerabat mereka (seperti adik-beradik, bapa saudara, ibu saudara) , samada melalui hubungan nasab atau hubungan disebabkan penyusuan.
(Rujuk: I’anahTalibin, jld3, hlm. 288)
Pernikahan Fasid
Pernikahan dengan sebab penyusuan merupakan pernikahan yang fasid (rosak). Telah disebut oleh Imam Khatib al-Syirbini bahawa jika perkahwinan antara saudara susuan telah berlaku, maka perlu dilaksanakan pembubaran perkahwinan (fasakh). Antara nukilan beliau dalam karyanya adalah :
بِشَرْطِهِ السَّابِقِ (فُرِّقَ بَيْنَهُمَا) (وَلَوْ قَالَ زَوْجَانِ: بَيْنَنَا رَضَاعٌ مُحَرِّمٌ)
Maksudnya: “Jika suami dan isteri mengatakan bahawa di antara mereka ada hubungan susuan yang mengharamkan (mereka untuk berkahwin) berdasarkan syarat-syarat yang terdahulu maka mereka wajib dipisahkan.
(Rujuk: Mughni al-Muhtaj, jld.5,hlm 147)
Menurut Imam al-Syirbini lagi, fasakh untuk perkahwinan yang disebabkan oleh hubungan susuan perlu dilakukan dengan serta merta. Beliau berkata yang maksudnya: “Adapun fasakh nikah dengan sebab murtad, penyusuan dan kesusahan hidup (sehingga tidak mampu untuk memberi nafkah) perlu dilakukan dengan serta merta menurut persepakatan ulama sebagaimana juga khulu’. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, jld.4, hlm. 343)
Kesimpulan
Berdasarkan tafsiran Surah al-Nisa’ ayat 23, jelas bahawa seorang lelaki diharamkan berkahwin dengan wanita yang pernah menyusukannya (ibu susuan), begitu juga dengan mana-mana saudara perempuan sesusuan yang menyusu daripada wanita (ibu susu) yang sama. Perkahwinan yang berlangsung antara mereka dianggap sebagai perkahwinan fasid (rosak) menurut hukum syarak. Sehubungan itu, sebagaimana dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syirbini, sekiranya perkahwinan seperti ini berlaku, maka ia wajib dibubarkan melalui proses fasakh dengan segera.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.
Wallahu ‘alam
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment