ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ (٤١)
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.
(Surah Al Hajj 22:41)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Tumpukan sepenuh perhatian pada khutbah ini dan janganlah sibuk dengan perkara lagha seperti bermain telefon bimbit. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: ‘Jiwa Merdeka, Ummah Perkasa’.
Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,
Mensyukuri nikmat kemerdekaan merupakan tuntutan agama kerana ia termasuk dalam nikmat besar yang Allah SWT kurniakan kepada umat dan negara. Kemerdekaan yang dikurniakan Allah ini membuka peluang untuk mengatur kehidupan berlandaskan agama, membangun masyarakat, dan memelihara maruah bangsa. Hal ini selari dengan firman Allah SWT, Surah al-Hajj, ayat 41 yang bermaksud:
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.
Kesan daripada nikmat kemerdekaan amat banyak. Ia memberi kestabilan dan keamanan yang membolehkan rakyat hidup aman tanpa peperangan atau kekacauan, memberikan kebebasan beribadah tanpa sekatan, membuka ruang untuk membangunkan ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan sosial, memelihara maruah bangsa, serta menguatkan persaudaraan sesama rakyat demi tujuan bersama. Nikmat ini juga membolehkan umat Islam membina kekuatan rohani dan jasmani dengan acuan sendiri tanpa campur tangan pihak luar.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Dalam mendefinisikan kemerdekaan sejati, Rasulullah SAW memberikan kayu ukur yang berbeza daripada pandangan umum. Kemerdekaan sering kita fahami dalam konteks fizikal. Tidak dijajah, diseksa dan berasa aman meneruskan hidup seharian. Negara kita kini bakal menyambut hari kemerdekaan yang ke-68. Kalaulah erti merdeka yang kita fahami sekadar tidak dijajah bermakna perjuangan sudah selesai. Teruskan hidup bersenang-lenang dan tidak perlu berusaha lebih kerana kita sudah merdeka.
Adakah itu sahaja erti kemerdekaan? Sedangkan erti sebenar kemerdekaan dalam Islam ialah kebebasan hakiki untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT dan mengatur kehidupan mengikut panduan wahyu. Ia merupakan pembebasan jiwa daripada belenggu kehinaan bergantung kepada manusia, dan sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Esa. Kemerdekaan yang paling agung ialah kemerdekaan akidah, yang membolehkan kita berpegang teguh kepada kebenaran tanpa rasa takut atau terpengaruh.
Sikap tidak berputus asa membangunkan dan mempertahan kemuliaan diri ialah hasil tawakal kita kepada Allah SWT. Mereka yang bergantung kepada Allah sebulat hati merupakan insan yang tekun dan tidak lelah berjuang. Ciri-ciri orang yang merdeka ini diungkapkan dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam an-Nasa’i daripada Abu Sa’id al-Khudri radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang berusaha untuk berdikari (tidak bergantung kepada manusia), Allah akan mengkayakannya. Sesiapa yang berusaha menjaga kehormatan dirinya (tidak meminta-minta), Allah akan menjaganya. Dan sesiapa yang berusaha untuk berasa cukup, Allah akan mencukupkannya. Dan sesiapa yang meminta-minta padahal dia mempunyai harta seharga satu uqiyah (setara 40 dirham), maka sesungguhnya dia telah bersungguh-sungguh (meminta-minta)”.
Hadis ini membuka mata kita bahawa kemerdekaan yang sejati adalah kemerdekaan jiwa daripada kebergantungan mutlak kepada makhluk. Keagungan seorang mukmin terletak pada keyakinannya bahawa Allah SWT sahaja tempat memohon pertolongan dan rezeki. Kemerdekaan inilah yang melahirkan insan yang berprinsip, berani, dan berintegriti. Ia merupakan asas kepada pembangunan sebuah negara yang berdaulat, yang warganya tidak mudah tunduk kepada tekanan luar dan sentiasa berdiri teguh di atas kebenaran.
Hadirin Muslimin Yang Dimuliakan,
Jiwa yang benar-benar merdeka ialah jiwa yang bebas daripada segala bentuk perhambaan selain kepada Allah SWT. Untuk mencapainya, umat Islam perlu membebaskan diri daripada pengaruh ideologi yang bercanggah dengan ajaran Islam dengan menjadikan al-Quran dan sunah sebagai panduan utama hidup.
Realiti hari ini menunjukkan bahawa walaupun negara kita telah mencapai kemerdekaan fizikal sejak tahun 1957, namun dari sudut pemikiran, budaya, dan gaya hidup, sebahagian masyarakat masih belum benar-benar merdeka. Kita masih berdepan dengan pengaruh ideologi asing yang bercanggah dengan Islam seperti sekularisme, liberalisme, dan hedonisme yang melalaikan.
Budaya hiburan melampau, penggunaan media sosial tanpa kawalan, dan penularan maklumat yang merosakkan akidah menjadi cabaran besar kepada keutuhan moral bangsa. Sedangkan Allah SWT berfirman dalam Surah Yunus Ayat 32:
فَذَٰلِكُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمُ ٱلْحَقُّ ۖ فَمَاذَا بَعْدَ ٱلْحَقِّ إِلَّا ٱلضَّلَـٰلُ ۖ فَأَنَّىٰ تُصْرَفُونَ(٣٢)
Maksudnya: “Maka yang demikian (sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya; sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan dari kebenaran?”.
(Surah Yunus 10:32)
Dalam membangunkan ummah MADANI yang berjiwa merdeka, setiap pihak perlu memainkan peranan yang saling melengkapi. Puncanya harus bermula daripada rumah dicorak oleh ibu bapa. Institusi kekeluargaan yang mantap akan menyumbang kepada masyarakat menjadi ekosistem yang memupuk nilai saling menghormati, tolong-menolong dan menjaga keamanan. Manakala pemimpin-pemimpin mesti menjadi contoh dalam integriti, keadilan, dan keberanian mempertahankan prinsip Islam, melaksanakan dasar berasaskan nilai MADANI. Apabila semua pihak melaksanakan tanggungjawab ini, lahirlah ummah yang benar-benar merdeka jiwanya, kukuh imannya, tinggi ilmunya, dan sejahtera kehidupannya.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Menutup bicara, khatib ingin merumuskan khutbah kepada beberapa intipati ini:
Pertama: Kemerdekaan hakiki dalam Islam bukan hanya bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi membebaskan jiwa, akal, dan hati daripada segala bentuk penghambaan selain kepada Allah.
Kedua: Penjajahan moden ialah penjajahan pemikiran. Ancaman ideologi sesat, fanatisme sempit, budaya hedonisme, dan fahaman sekularisme, yang perlu kita tangani dengan pendidikan, perpaduan, dan pegangan teguh kepada al-Quran dan Sunnah.
Ketiga: Kekuatan ummah MADANI hanya dapat dibina apabila seluruh rakyat dan pemimpin melaksanakan peranan masing-masing dengan berpaksikan keadilan, amanah, dan nilai Islam, demi memastikan kemerdekaan ini kekal terpelihara dan memberi kesejahteraan kepada semua.
Hayatilah firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 103:
وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءًۭ فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًۭا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍۢ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ(١٠٣)
Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”.
(Surah Ali Imran 3:103)
Tarikh Dibaca: 5 Rabiulawal 1447H / 29 Ogos 2025
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment