وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ (١٠٧)
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.
(Surah Al-Anbiya’ 21:107)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Tumpukan sepenuh perhatian dan janganlah sibuk dengan apa-apa jua perkara lagha yang boleh mengalihkan tumpuan daripada khutbah ini. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT.
Bersempena memperingati kelahiran junjungan besar, Rasulullah SAW, maka khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: ‘Bukan Cinta Biasa’.
Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,
Kini kita berada di bulan Maulid, bulan kelahiran insan termulia, junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Baginda bukan sekadar seorang nabi, bahkan anugerah terbesar dan rahmat teragung yang Allah kurniakan, bukan sahaja kepada umat manusia, tetapi kepada seluruh alam semesta.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiyaa’ ayat 107: Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.
Tanpa hadirnya Baginda, nescaya kita masih merangkak-rangkak dalam gelap kekufuran. Justeru, kelahiran Rasulullah SAW ialah nikmat yang wajib disyukuri kerana dengan kedatangan Baginda, kita dapat mengenal jalan kebenaran, membezakan antara halal dan haram, serta dipimpin menuju keredhaan Allah SWT.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Cinta kepada Baginda SAW bukanlah cinta biasa. Bahkan inilah cinta luar biasa yang memimpin kita ke syurga bersama Baginda yang dikasihi. Ketahuilah, bahawa kesempurnaan iman seseorang tidak akan tercapai sehingga dia mencintai Nabi Muhammad SAW melebihi segala-galanya.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiyallahuanhu bahawa Baginda SAW bersabda yang maksudnya:
“Tidak sempurna iman salah seorang daripada kamu sehingga aku lebih dia cintai daripada ayahnya, anaknya, dan seluruh manusia”.
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Cinta kepada Rasulullah SAW bukan sekadar kata-kata di bibir, tetapi cinta yang sebenar berbentuk ketaatan. Seseorang yang benar-benar mencintai Baginda akan meneladani sunnahnya, mengutamakan petunjuknya, berakhlak dengan akhlaknya, serta rela meninggalkan segala yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya.
Al-Qadhi ‘Iyadh pernah menyatakan: “Orang yang benar-benar mencintai sesuatu, pasti akan mengutamakannya. Demikianlah cinta kepada Nabi SAW, ia terlihat pada teladan, ketaatan, dan adab”.
Begitu juga kata Imam Ibnu Rajab, bahawa cinta sejati akan menjadikan hati kita cinta kepada apa-apa yang Allah dan Rasul cintai, dan benci terhadap apa-apa yang Allah dan Rasul benci. Namun, amatlah menyedihkan pada hari ini, ramai yang mendakwa cinta kepada Rasulullah SAW, tetapi amal perbuatan mereka bercanggah dengan ajaran Baginda. Ingatlah, cinta tanpa ketaatan hanyalah dakwaan kosong, sedang cinta yang sejati ialah mengikuti jejak langkah Baginda Nabi SAW.
Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,
Hari ini, ramai anak muda lebih mengenali artis dan pempengaruh media sosial berbanding mengenali Nabi dengan terperinci. Mereka mampu menghafal bermacam lagu, tetapi meninggalkan zikir-zikir yang diajar Nabi. Ibadah solat pula diremehkan dan dipandang ringan sedangkan itulah perhatian yang sangat berat diberikan oleh Rasulullah SAW bahkan ketika menjelang wafatnya Baginda.
Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib radhiyallahuanhu bahawa Baginda SAW mengucapkannya dalam nada tersekat-sekat sambil menahan sakit, “(Peliharalah) solat! (Peliharalah) solat! Dan bertakwalah kepada Allah terhadap (hambahamba) yang dimiliki oleh tangan kamu”.
(Hadis riwayat Abu Dawud, Ahmad)
Lebih parah, dosa-dosa yang dibenci Rasulullah kini dianggap biasa, maksiat sudah menjadi budaya, dusta menjadi halwa telinga, zina dan homoseksual kian berleluasa bahkan menjadi perniagaan yang tidak malu diiklankan.
Amar makruf dan nahi mungkar pula semakin dipandang asing dan dibebankan pula pada bahu-bahu agamawan sedangkan hakikatnya ia tanggungjawab setiap umat. Namun, ingatlah bahawa masih ada jalan pulang. Iaitu dengan kembali kepada al-Quran dan sunnah Baginda. Umat akan bangkit apabila solat dihidupkan, al-Quran dibiasakan, anak-anak dibesarkan dengan iman, dan ukhuwah sesama Muslim dipererat.
Solusinya bukan mengejar dunia, tetapi memperkukuh iman dan takwa. Janganlah mudah berasa lemah atau berpecah-belah. Selagi kita berpegang teguh dengan petunjuk Nabi SAW, selagi itu kita akan kembali mulia, sebagaimana janji Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 139. “Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman”.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Sesungguhnya, kita harus mengaku bahawa amalan kita terlalu sedikit, sedangkan dosa-dosa kita menggunung tinggi. Maka kita sangat berharap kepada syafaat junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada hari akhirat kelak. Hari di mana manusia kebingungan mencari pertolongan, sedang dosa-dosa sendiri bagaikan beban yang menghimpit dada.
Namun, persoalan yang wajar kita renungkan ialah, apakah kita benar-benar layak mendapat syafaat Baginda SAW? Baginda yang siang malam berdoa untuk umatnya, yang menitiskan air mata demi keselamatan kita, sedangkan kita di dunia ini sering meremehkan seruan dan peringatan Baginda, bahkan ada yang meninggalkan sunnahnya.
Andai benar kita menginginkan syafaat Nabi SAW, buktikanlah cinta itu dengan ketaatan. Hidupkan sunnah Baginda dalam ibadah, akhlak dan kehidupan seharian. Janganlah kita menjadi umat yang hanya mengharap syafaat, tetapi tidak pernah berusaha membuktikan kesetiaan dan kecintaan kepada Baginda.
Justeru, menutup bicara, saya ingin tinggalkan beberapa pesanan yang tulus ini;
Pertama: Kelahiran Rasulullah SAW adalah rahmat terbesar yang tanpanya kita akan sesat dalam kegelapan, dan dengannya kita mengenal kebenaran dan dipimpin ke jalan Allah SWT.
Kedua: Marilah kita memperbaharui cinta kepada Rasulullah SAW dengan taat dan setia, moga akhirnya kita berhimpun bersama Baginda di syurga yang abadi. Perbanyakkan berselawat kepadanya kerana orang yang paling dekat dengan Rasulullah SAW ialah orang yang paling banyak berselawat.
Ketiga: Kita mengharap syafaat Rasulullah SAW, namun ia hanya layak diperoleh dengan membuktikan cinta melalui ketaatan dan menghidupkan sunnah Baginda.
Buktikan kecintaan kita kepada Baginda Rasulullah SAW dengan mentaati perintahnya dan meninggalkan tegahannya selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 31: Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
Tarikh Bacaan: 12 Rabiulawal 1447H/ 5 September 2025M
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment