Teks Khutbah Jumaat (WP): Rasulullah Suri Tauladan, Kunci Kebangkitan Insan

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا(٢١) 

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat suri teladan yang baik bagi sesiapa yang mengharap keredaan Allah dan hari akhirat serta banyak mengingati Allah.”

(Surah Al-Ahzab 33:21)

Sidang Jemaah Jumaat Sekalian,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Di hari Jumaat yang penuh kemuliaan ini, bersama-sama kita memberikan sepenuh perhatian terhadap apa yang akan disampaikan. Tinggalkan perbuatan sia-sia semasa khutbah. Mudah-mudahan mendapat manfaat.

Sempena kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, khatib ingin mengajak sidang jemaah sekalian menzahirkan kecintaan kita kepada sosok mulia ini dengan menelusuri khutbah yang bertajuk: “Rasulullah Suri Tauladan, Kunci Kebangkitan Insan”.

Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,

Saban tahun Maulidur Rasul diraikan dengan penuh syukur di negara kita. Namun perlu kita insafi, sambutan ini bukanlah semata-mata dengan perarakan, qasidah atau cuti umum setahun sekali. Hakikat sebenar Maulidur Rasul ialah sentiasa menyemarakkan cinta kita kepada Rasulullah SAW.

Sewajarnya perayaan Maulidur Rasul dijadikan sebagai momentum merenung dan mencontohi peribadi Baginda sebagai tauladan terbaik.

Di samping itu, dengan merenung kembali sirah Baginda SAW kita akan insafi bahawa perubahan hakiki terletak pada individu dan jalinan sosial yang kuat, kerana Rasulullah SAW adalah pemimpin yang membina masyarakat dengan roh kesatuan yang harmoni. 

Sepertimana yang disebut di awal khutbah tadi dari Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat suri teladan yang baik bagi sesiapa yang mengharap keredaan Allah dan hari akhirat serta banyak mengingati Allah.”

Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,

Rasulullah SAW pembawa cahaya hidayah dan contoh tauladan yang memimpin insan menuju kebangkitan. Jika kita benar mengaku cintakan Baginda SAW, buktinya terletak sejauh mana kita mengamalkan sunah Baginda. Usah bincang untuk membina sebuah peradaban yang hebat jikalau bilangan mereka yang bersolat berjemaah di masjid hanya boleh dibilang dengan jari. Hal ini disebabkan sebuah tamadun yang hebat dibina bermula daripada diri sendiri.

Mari kita lihat pula bagaimana zuhudnya Nabi. Hati Baginda sentiasa subur dengan syukur atas setiap rezeki. Tidak pula mengeluh dengan ujian yang ditempuhi. Sedangkan Baginda pemimpin negara dan sosok agung pilihan Allah SWT sebagaimana hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari daripada Sayidatina Aisyah radiyallahuanha menceritakan yang maksudnya: “Sejak Nabi Muhammad SAW tiba di Madinah, keluarga Baginda tidak pernah kenyang makan roti gandum tiga malam berturut-turut sehinggalah Baginda wafat.”

Muslimin yang dimuliakan Allah,

Rahmat kepada seluruh alam. Itulah sifat yang digambarkan oleh Allah SWT kepada junjungan Rasulullah SAW. Al-Quran berjalan yang disifatkan para sahabat itu menyebarkan kasih dan sayangnya kepada semua golongan.

Sebagai seorang ayah lihat bagaimana Baginda mendidik anak-anak dengan kasih sayang, memimpin keluarga dengan sabar dan menjadi pelindung kepada mereka yang lemah. Bayangkan betapa bahagianya keluarga yang diterajui seorang ayah yang mengikut sunah.

Selain itu, Baginda yang merupakan majikan bahkan pemimpin negara merupakan tauladan terbaik untuk diikuti. Sepanjang kehidupan Baginda SAW tidak pernah pekerja ditindas dan dizalimi, bahkan kehidupan mereka bertambah baik. Testimoni Anas bin Malik radiyallahuanhu sebagaimana diriwayatkan Imam al-Bukhari, menceritakan sepanjang 10 tahun berkhidmat kepada Nabi SAW, tidak pernah diherdik, dipersalahkan apatah lagi disindir.

Masalah umat yang kita lalui hari ini berpunca kerana jauhnya kita daripada sirah Nabi SAW. Kerapkali berita meruntun jiwa seperti pelajar dipukul di asrama hingga cedera dan maut akibat perbuatan buli, turut menjadi paparan media. Gejala ini bukan sekadar berlaku di sekolah, malah menular ke universiti, tempat kerja, bahkan dalam rumahtangga. Ada kalanya pelaku bukan lagi anak kecil, tetapi orang dewasa yang tanpa sedar turut menjadi pembuli, dengan kata-kata yang menghina dan perbuatan yang menyakitkan.

Bukankah hal ini bertentangan dengan akhlak Baginda Rasulullah SAW?

Bagaimana mampu ummah ini bangkit jika kasih sayang digantikan dengan kebencian dan kezaliman sesama insan?

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Rasulullah SAW ialah insan pilihan yang Allah jadikan sebagai teladan dan contoh kepada kita sebagai manusia untuk diteladani dalam segenap aspek. Tidak hanya berkait dalam urusan amal ibadah semata-mata, bahkan dalam seluruh juzuk kehidupan. Oleh sebab itulah Nabi SAW diutuskan tidak tahu membaca dan menulis. Bukan seorang penyair dan penyihir yang memukau manusia. 

Setiap pertuturan mahupun tingkah langkah Baginda hanyalah daripada apa yang diwahyukan Allah SWT sebagaimana firman Allah melalui

Surah an-Najm ayat 3 hingga 4:

وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلْهَوَىٰٓ(٣) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْىٌۭ يُوحَىٰ(٤)

Maksudnya: “Sesungguhnya dia tidak bertutur di atas hawa nafsunya akan tetapi dia bertutur di atas dasar wahyu”.

(Surah An-Najm 53:3-4)

Justeru itu, tiada pedoman lain yang perlu kita turuti melainkan Kitabullah dan semua yang Baginda tinggalkan. Justeru, jika benar-benar kita sayangkan Rasulullah SAW, marilah kita hidupkan sunahnya dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar urusan.

Wahai para ayah dan suami, pimpinlah keluarga kalian dengan al-Quran dan sunah. Wahai para pemimpin, pimpinlah rakyatmu dengan penuh amanah.

Wahai para pekerja, tunaikan kerja dengan keikhlasan. Wahai para pelajar, teguhkan adab seiring ilmu. Hakikatnya kesemua ini adalah jalan kebangkitan insan. Inilah kunci kebangkitan ummah!

Tarikh Bacaan: 12 Rabiulawal 1447H/ 5 September 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑