يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ(١٣)
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)”.
(Surah Al-Hujurat 49:13)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Tumpukan sepenuh perhatian dan janganlah sibuk dengan apa-apa jua perkara lagha yang boleh mengalihkan tumpuan daripada khutbah ini. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT.
Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: ‘Hidup Bermanfaat, Selamat Dunia Akhirat’.
Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin menyeru saudara-saudara sekalian untuk terus bermunajat dan memohon pertolongan kepada Allah SWT agar memberi pertolongan kepada penduduk Palestin yang dianiaya teruk oleh rejim zionis Israel. Sesungguhnya tiada daya dan upaya kita melainkan dengan mengharapkan pertolongan dan kekuatan Allah SWT jua.
Setiap tahun pada 16 September, kita menyambut Hari Malaysia sebagai mengingati detik bersejarah penubuhan negara tercinta ini pada tahun 1963. Tarikh ini bukan sekadar perayaan biasa, bahkan ia melakar lembaran penting penyatuan negeri-negeri Malaya, Sabah dan Sarawak dalam satu gagasan bernama Malaysia. Walaupun Singapura turut menyertai pada awalnya sebelum keluar pada tahun 1965, peristiwa ini tetap menjadi titik tolak lahirnya sebuah negara berdaulat yang kita nikmati pada hari ini.
Gagasan penubuhan Malaysia bermula dengan matlamat mahu menyelamatkan wilayahwilayah seperti Sabah, Sarawak dan Singapura daripada ancaman komunis, serta menyatukan Tanah Melayu dengan jiran sekitarnya di bawah satu payung kedaulatan. Usaha ini bukanlah mudah, kerana ia melalui banyak perbincangan, perundingan dan penentangan. Namun akhirnya, dengan kerjasama para pemimpin dan rakyat, lahirlah Perjanjian Penubuhan Malaysia yang ditandatangani pada 1963. Inilah bukti bahawa perpaduan dan muafakat mampu melahirkan kekuatan sebuah negara.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Generasi terdahulu telah berjuang membentuk negara ini dengan penuh pengorbanan, maka kini tanggungjawab mempertahankannya terletak di bahu kita semua. Kunci utama ialah bersatu padu dalam kepelbagaian bangsa, budaya dan bahasa yang merupakan anugerah Allah untuk kita saling mengenali, bukan bermusuhan.
Dalam masa yang sama, kita dituntut untuk saling membantu, meringankan kesusahan orang lain, agar masyarakat hidup dalam suasana harmoni dan penuh rahmat. Kita juga perlu berusaha menjadi warganegara yang memberi manfaat kepada orang lain dan negara dalam apa sahaja bidang yang diceburi. Elakkan daripada terlibat dengan perkara sia-sia, apatah lagi yang boleh menimbulkan perpecahan.
Jika ada pihak cuba menyalakan api permusuhan, hadapilah dengan bijak dan serahkan kepada pihak berkuasa. Sesungguhnya, memelihara keamanan dan keharmonian tanah air adalah tanda syukur kita atas nikmat Allah.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Nasihat yang saya sampaikan tadi sebenarnya tidak lari daripada saranan yang telah dikemukakan oleh Baginda SAW. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar radhiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Manusia yang paling dicintai oleh Allah ialah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh”.
(Hadis riwayat Imam at-Tabarani)
Begitu juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahuanhu bahawa “Nabi SAW melalui sekelompok orang yang sedang duduk. Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kamu, orang yang terbaik antara yang terburuk dalam kalangan kamu?” Mereka pun terdiam. Rasulullah SAW pun mengulangi pertanyaan tersebut sampai tiga kali. Kemudian mereka pun menjawab, “ya, wahai Rasulullah! Beritahu kepada kami siapakah orang yang terbaik antara yang terburuk antara kami”. Rasulullah SAW kemudian bersabda, “Manusia terbaik antara kamu ialah yang diharapkan kebaikannya dan orang lain berasa aman dari gangguannya. Manusia terburuk antara kamu ialah yang tidak diharapkan kebaikannya dan orang lain juga tidak berasa aman dari gangguannya”.
(Sunan at-Tirmidzi)
Hadis-hadis ini mengajar kita bahawa sebagai anggota masyarakat dalam sebuah negara seperti Malaysia, kita mestilah berusaha menjadi orang yang paling bermanfaat kepada orang lain. Orang yang paling dicintai oleh Allah ialah mereka yang memberi manfaat kepada manusia. Dalam konteks negara kita Malaysia, manfaat ini boleh diluaskan kepada usaha membina kesatuan nasional, iaitu dengan kita menghargai kepelbagaian dan bekerjasama untuk kemajuan bersama.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)”.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Kita beriman bahawa setiap perkara yang dilakukan ketika di dunia akan diperhitungkan di akhirat nanti. Setiap satunya akan memberi dampak sama ada ganjaran yang baik atau balasan yang sangat pedih. Saya ingin membawakan satu lagi hadis yang dapat dihubungkaitkan dengan pembicaraan khutbah hari ini.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari tiada naungan selain naungan-Nya ialah: 1. Pemimpin yang adil, 2. Pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Allah SWT, 3. Seorang lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, 4. Dua orang yang saling mengasihi kerana Allah; mereka bertemu dan berpisah kerana Allah, 5. Seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan (untuk berzina), lalu dia berkata: Sesungguhnya aku takut kepada Allah, 6. Seorang lelaki yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya, 7. Dan seorang lelaki yang mengingati Allah dalam keadaan bersendirian lalu menitis air matanya”.
(Hadis muttafaqun ‘alaih)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita teruskan usaha menjadi warganegara bermanfaat, terutamanya dalam mewarisi keamanan dan kedaulatan tanah air tercinta. Mulakan dari perkara kecil, sama ada dengan mengalihkan sampah atau halangan di jalanan, membantu jiran tetangga, menyokong dan melibatkan diri dalam program-program kemasyarakatan, serta menghindari perpecahan dan perseteruan. Ingatlah, negara yang kuat dibina atas asas kesatuan dan manfaat yang diperkuatkan antara satu sama lain.
Justeru mengakhiri khutbah, beberapa rumusan dapat dibuat;
Pertama: Mempertahankan kedaulatan negara ialah tanggungjawab bersama iaitu dengan cara hidup bersatu padu dalam kemajmukan, saling membantu dan meringankan kesusahan, menjadi warganegara yang bermanfaat, serta menjauhi perkara sia-sia dan provokatif.
Kedua: Hidup bermasyarakat menuntut setiap kita cakna terhadap orang di sekeliling dan antara amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah membuat orang lain berasa selamat dan bahagia.
Ketiga: Jadilah warganegara yang memberi manfaat walau dengan sekecil-kecil perkara kerana tiap-tiap sesuatu itu akan dihisab di akhirat nanti.
Renungkan firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 77; Maksudnya:
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.
Tarikh Dibaca: 19 Rabiulawal 1447h / 12 September 2025
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment