وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَـٰكُمْ أُمَّةًۭ وَسَطًۭا لِّتَكُونُوا۟ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًۭا ۗ وَمَا جَعَلْنَا ٱلْقِبْلَةَ ٱلَّتِى كُنتَ عَلَيْهَآ إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ ٱلرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ ۚ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُ ۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَـٰنَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٌۭ رَّحِيمٌۭ(١٤٣)
“Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) sebagai umat yang pertengahan (ummatan wasatan), agar kamu menjadi saksi ke atas sekalian manusia, dan Rasul (Nabi Muhammad SAW) pula menjadi saksi ke atas kamu. Dan Kami tidak menjadikan kiblat yang engkau menghadapnya dahulu, melainkan sebagai ujian untuk Kami mengetahui siapakah yang benar-benar mengikuti Rasul dan siapa pula yang berpaling. Dan sesungguhnya (perubahan arah kiblat itu) amat berat kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah. Dan Allah tidak akan mensia-siakan iman kamu (solat kamu yang dahulu menghadap ke Baitulmaqdis). Sesungguhnya Allah Maha Belas Kasihan lagi Maha Penyayang terhadap manusia.”
(Surah Al-Baqarah 2:143)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT, semoga kita beroleh rahmat dan kasih-Nya. Laksanakan apa yang diperintah dan tinggalkan segala ditegah. Berikan tumpuan kepada bicara khutbah, hindari perkara-perkara lagha agar kita dikurniakan ganjaran solat Jumaat yang sempurna.
Mari kita dengar dan hayati khutbah hari ini bertajuk, “Menyulam Kemuliaan Dalam Kesederhanaan”.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Islam ialah agama rahmat yang berlandaskan kesederhanaan dan keseimbangan. Dalam setiap sudutnya, ada hikmah titik pertengahan yang perlu difahami dan dihayati. Inilah yang jelas dipaparkan dalam firman Allah SWT yang menjadi mukadimah khutbah, menerusi Surah al-Baqarah ayat 143, bermaksud:
“Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) sebagai umat yang pertengahan (ummatan wasatan), agar kamu menjadi saksi ke atas sekalian manusia, dan Rasul (Nabi Muhammad SAW) pula menjadi saksi ke atas kamu. Dan Kami tidak menjadikan kiblat yang engkau menghadapnya dahulu, melainkan sebagai ujian untuk Kami mengetahui siapakah yang benar-benar mengikuti Rasul dan siapa pula yang berpaling. Dan sesungguhnya (perubahan arah kiblat itu) amat berat kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah. Dan Allah tidak akan mensia-siakan iman kamu (solat kamu yang dahulu menghadap ke Baitulmaqdis). Sesungguhnya Allah Maha Belas Kasihan lagi Maha Penyayang terhadap manusia.”
Para Tetamu Allah Yang Diberkati,
Menurut para mufassir antaranya Imam al-Tabari dan Ibn Kathir, maksud ummatan wasatan ialah umat yang adil, seimbang, tidak melampau dalam agama dan tidak cuai terhadap tanggungjawab syariat. Umat Islam dijadikan sebaik-baik umat kerana membawa pendekatan yang menyatukan antara dunia dan akhirat, jasmani dan rohani, serta ilmu dan amal. Justeru, mereka layak menjadi saksi kepada umat lain.
Konsep wasatiyyah ini mengajar kita untuk menjauhi sikap ‘ghuluw’ – melampau atau ‘tafrith’ – terlalu bermudah-mudah. Bayangkan sebuah gelas yang penuh dengan air, tidak melimpah dan tidak juga kurang daripada sukatannya – itulah wasatiyyah! Ia bukan sekadar prinsip, tetapi asas dalam semua aspek kehidupan: akidah, ibadah, muamalah, pergaulan dan juga dalam menyampaikan dakwah.
Namun malangnya, hari ini kita melihat terlalu banyak pertelagahan berlaku dalam kalangan umat Islam. Bercakap dengan kasar, menuduh tanpa ilmu, menyalahkan sesama sendiri bahkan memperlekehkan orang yang tidak sependapat. Sebahagiannya datang daripada golongan terpelajar, agamawan, juga pengguna media sosial yang ghairah menghukum. Adakah ini cerminan sebenar umat yang dijanjikan sebagai umat pertengahan?
Adakah ini wajah agama yang disifatkan oleh Rasulullah SAW? Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya agama ini mudah. Dan tidaklah seseorang itu melampaui batas dalam beragama melainkan dia akan dikalahkan. Maka lakukanlah dengan tepat, atau hampir tepat (yakni bersederhanalah), dan bergembiralah (dengan janji kurniaan ganjaran).”
Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa kesederhanaan bukan kelemahan, tetapi tanda kematangan iman. Kita bukan diajar menjadi jumud tanpa pendirian, dan bukan pula melampau hingga mencetuskan kebencian. Wasatiyyah menuntut kita memahami, berdialog dengan adab, menegur dengan kasih sayang, dan menyatukan umat dalam hikmah. Inilah titik pertengahan yang menjadi neraca kemuliaan umat ini.
Para tetamu Allah yang dimuliakan,
Perbezaan pandangan dalam kalangan ulama bukan perkara baharu. Bahkan para sahabat Nabi SAW sendiri berbeza pandangan dalam beberapa isu, namun mereka tetap menjaga adab, ukhuwah dan tidak saling menghina. Lihatlah bagaimana para ilmuwan Islam semisal Imam al-Syafi‘i dan Imam Ahmad bin Hanbal saling menghormati perbezaan. Inilah wasatiyyah dalam berbeza, bukan menyerang dan mencela. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’ ayat 135:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ بِٱلْقِسْطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمْ أَوِ ٱلْوَٰلِدَيْنِ وَٱلْأَقْرَبِينَ ۚ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًۭا فَٱللَّهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلْهَوَىٰٓ أَن تَعْدِلُوا۟ ۚ وَإِن تَلْوُۥٓا۟ أَوْ تُعْرِضُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًۭا(١٣٥)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Nisa’ 4:135)
Kita perlu berlaku adil walaupun terhadap diri sendiri. Jangan mudah menyebarkan fitnah serta memusuhi saudara seislam hanya kerana perbezaan kecil. Kembalilah kepada prinsip wasatiyyah, sentiasa mengambil hikmah titik pertengahan, dan menjadikan kesederhanaan sebagai jalan untuk membina masyarakat yang aman, berilmu dan saling menghormati.
Sejajar tututan itu, berikut perincian tindakan yang perlu kita lakukan:
Pertama, membangun kefahaman agama secara seimbang. Umat Islam perlu kembali kepada sumber ilmu yang sahih; al-Quran dan al-Sunnah, dengan bimbingan para ulama yang muktabar. Kefahaman agama yang benar akan mencegah sikap melampau dan kelalaian.
Kedua, menyemai akhlak ketika berbeza pandangan. Perbezaan bukan alasan untuk bermusuhan. Kita diajar beradab dalam perbezaan: tidak melabel, tidak memfitnah, dan tidak menjatuhkan maruah.
Ketiga, Mengamalkan pendekatan rahmah dalam dakwah dan kehidupan. Dakwah yang berhikmah, ibadah yang tenang, dan komunikasi yang berhemah akan menanamkan kesederhanaan dalam hati umat.
Semoga Allah SWT menjadikan kita umat yang bersatu dan sentiasa mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam berinteraksi, berdakwah dan menangani perbezaan.
Tarikh Bacaan: 26 Rabiulawal 1447H | 19 September 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment