Pertahan Maruah Islam dengan Hikmah, Bukan Emosi

Oleh: Mymuslimin.com

Pejabat Mufti telah mengeluarkan artikel yang membincangkan peranan masyarakat Islam apabila berdepan dengan video atau kandungan media sosial yang menghina agama. Ia menekankan bahawa walaupun kita wajib mempertahankan kesucian Islam, tindakan perlu mengikut etika syarak. Antara panduan utama yang dikemukakan:

  1. Elak membalas hinaan – Jangan memaki balik agama atau simbol agama lain kerana boleh mengundang balasan yang lebih buruk. “Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu.” (Surah al-An‘am:108)
  2. Bersabar – Menghadapi cercaan dengan sabar seperti dianjurkan dalam Surah al-Muzammil 73:10 yang bermaksud “Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik”.
  3. Balas keburukan dengan kebaikan – Surah Fussilat 41:34 menegaskan kelebihan memaafkan dan membalas dengan kebaikan. “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
  4. Tidak memviralkan – Menyebarkan video menghina agama memberi “rating” dan secara tidak langsung menyokong maksiat (Surah al-Ma’idah 5:2) “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”
  5. Lapor kepada pihak berkuasa – Menggunakan saluran undang-undang demi menjaga maslahah umat.

Kita juga turut mengingatkan bahawa ujian terhadap umat Islam tidak akan berhenti, namun cahaya Allah tetap terpelihara (Surah al-Taubah 9:32) yang bermaksud: “Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” Umat Islam diseru menampilkan akhlak mulia, mencontohi Rasulullah SAW yang melayani musuh dengan ihsan, seperti dalam kisah tawanan perang.

Dengan kehidupan harian kita bersulam dengan realiti media sosial, provokasi agama sering dijadikan bahan sensasi. Oleh kerana itu kita perlulah bijak menyeimbangkan tuntutan mempertahan kesucian Islam dengan prinsip sabar dan adab. Terdapat banyak nas-nas al-Quran yang menegaskan bahawa Islam menolak tindakan balas dendam atau penyebaran kebencian.

Pendekatan yang boleh diambil ialah dengan tidak memviralkan, melapor kepada pihak berkuasa, dan menunjukkan akhlak mulia untuk mengelakkan fitnah berpanjangan dan menonjolkan keindahan ajaran Islam kepada masyarakat bukan Muslim.

Maruah agama tidak semestinya dipertahan dengan kemarahan, tetapi dengan hikmah, sabar, dan keyakinan bahawa Allah SWT akan menyempurnakan agama-Nya. Di samping itu, setiap Muslim perlu memperkukuh ilmu agama, mendidik generasi muda tentang akhlak berdepan provokasi, serta memperbanyakkan doa agar mereka yang menghina diberi hidayah dan umat Islam diberi kekuatan.

Wallau’alam.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑