Teks Khutbah Jumaat (JAKIM):  Antara Dua Jari Baginda

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

ٱقْتَرَبَتِ ٱلسَّاعَةُ وَٱنشَقَّ ٱلْقَمَرُ(١)

 Telah dekat datangnya saat itu (kiamat), dan telah terbelah bulan.

(Surah Al-Qamar 54:1)

Para tetamu Allah yang dimuliakan,

Marilah sama-sama kita memohon kekuatan untuk bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa, dengan berusaha melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, walaupun kadangkala diri terasa lemah dan sering terleka.

Izinkan khatib memohon dengan penuh rendah hati, agar kita semua dapat memberikan sepenuh perhatian kepada khutbah ini. Jauhilah sebentar perkara yang melalaikan seperti berbual-bual atau memeriksa telefon bimbit, agar hati kita benar-benar hadir bersama kalam peringatan ini.

Ayuh, kita hayati khutbah hari yang indah ini yang bertajuk “Antara Dua Jari Baginda.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Peredaran dunia sememangnya pantas dan kita sendiri menyaksikannya. Saban hari pelbagai bentuk kemajuan diperkenalkan sehingga kita tidak terkejar mengikuti perkembangan terkini. Dipecahkan pula sempadan-sempadan negara dengan globalisasi menyebabkan maklumat-maklumat seantero dunia mampu dicapai hanya dengan satu klik sahaja. Begitulah gambaran betapa cepatnya masa yang kita sedang lalui ketika ini.

Kebanyakan kita menjadi alpa dek sibuk mengejar bayang-bayang keseronokan dunia hingga terlupa satu perkara yang pastinya berlaku. Khatib ingin mengajak Jemaah sekalian merenung kembali firman Allah SWT di dalam Surah al-Qamar ayat pertama yang dibacakan di awal khutbah: “Telah dekat datangnya saat itu (kiamat), dan telah terbelah bulan.”

Jelas isyaratnya, kejadian Baginda SAW membelah rembulan yang berlaku sekitar 1400 tahun yang lalu telah menjadi antara tanda-tanda hampirnya waktu kedatangan kiamat. Kejadian ini bukan sekadar cerita- cerita dongeng dalam buku menjadi penyedap bicara. Bukan juga kisah-kisah seram untuk menakutkan anak-anak. Kiamat itu hakikat besar yang pastinya berlaku. Kita semua sedang melangkah ke arahnya sedikit demi sedikit setiap hari.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Sahl bin Sa’d radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Jarak diutusnya aku dan hari Kiamat seperti dua (jari) ini.” Baginda memberikan isyarat dengan kedua jarinya (jari telunjuk dan jari tengah), lalu merenggangkannya.”

Sedekat itu, bukannya satu jarak yang panjang. Bukan dua kilometer, bukan dua meter bahkan bukan dua sentimeter, tetapi hanya sedekat dua ruas jari! Maka sesungguhnya, wahai saudara-saudaraku yang dikasihi, kiamat itu bukan lagi jauh. Ia sedang menghampiri dan menjengah kita.

Wahai Muslimin yang dikasihi sekalian,

Kita tidak akan faham makna kehidupan jika kita tidak mengimani hari kiamat. Hanya dengan menyedari bahawa hidup ini akan berakhir, barulah kita tahu apa yang patut kita kejar dan apa yang patut kita tinggalkan. Kiamat bukan sekadar “mati”. Ia adalah permulaan kehidupan yang sebenar.

Hari di mana bumi ini dihancurkan, langit digulung. Gunung-ganang beterbangan seperti kapas. Lautan meluap-luap kepanasan. Bintang-bintang berguguran dan manusia akan dipersoal satu persatu. Lihatlah bagaimana reaksi para sahabat radiallahuanhum tatkala mereka mendengar ayat-ayat al-Quran atau sabdaan Nabi SAW yang menceritakan akan kedahsyatan hari kiamat dan azab Allah. Air mata mereka lantas mengalir kerana takutkan Allah SWT. 

Hayati juga kisah para ulama seperti Abdullah bin Mubarak yang suatu hari dalam perjalanan ke Syam. Sewaktu bermalam di dalam khemah pelitanya terpadam dengan tiba-tiba, apabila dinyalakan semula terlihat air mata membasahi pipi hingga janggutnya kerana kegelapan yang tiba-tiba itu mengingatkan beliau akan hari kiamat. Allahu akbar.

Lalu, apakah persediaan kita menuju hari yang amat dahsyat itu? Tepuk dada, tanyalah iman yang ada pada diri masing-masing.

Wahai hamba Allah yang dimuliakan,

Dunia ini tidak kekal. Ia hanya tempat persinggahan. Kita tidak akan selama-lamanya di sini walau berapa panjang usia kita. Umpama sebuah kapal yang sedang berlayar dan singgah sebentar untuk mengambil barang dagangan,setelah selesai ia pun beredar pergi. Begitulah hakikat kehidupan kita di atas dunia ini. Terlalu singkat dan pantas. Maka, persiapkanlah diri dengan amal soleh sebagai bekalan buat kehidupan akhirat yang pasti tiba. Sebagai persediaan kita menghadapi hari kiamat hendaklah kita mempertingkat keimanan kita. Hanya iman yang tulus sahaja akan menjamin keselamatan kita di sana kelak.

Selain itu, tunaikan ibadah fardu seperti solat lima waktu dengan penuh ikhlas dan taat. Ibadah bukan sekadar memenuhi tuntutan syariat, tetapi sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah dan menyucikan hati daripada sifat mazmumah. Gandakan amal jariah seperti bersedekah secara berterusan, mewakafkan harta, menyebarkan ilmu yang bermanfaat, serta mendidik anak-anak agar menjadi insan yang soleh dan sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya.

Marilah kita bermuhasabah. Apakah kita bersedia menghadapi hari yang dahsyat itu? Ayuh, pada saat ini, kita kembali kepada Allah. Perbanyakkan taubat, amal soleh, dan jauhi maksiat. Dekatkan diri dengan al-Quran dan majlis ilmu. Jadikan dunia ini tempat untuk menyemai benih-benih kebaikan, agar kita menuai hasilnya di akhirat kelak. Semoga dengan itu, Allah SWT melindungi kita daripada fitnah kiamat, memudahkan urusan kita di padang mahsyar, dan menempatkan kita di syurga bersama orang-orang yang beriman.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Hayatilah tiga kesimpulan utama yang perlu kita genggam kemas dalam hati, agar khutbah ini bukan hanya didengar dengan telinga, tetapi masuk ke dalam jiwa. 

  1. Kiamat itu benar dan pasti. Maka persiapkanlah diri dengan amal soleh sebagai bekalan akhirat yang kekal abadi. 
  2. Bersegeralah memohon keampunan Allah SWT atas setiap dosa dan noda. Itulah anugerah yang paling berharga. 
  3. Hitunglah diri, lihat apa yang telah kita persiapkan untuk akhirat. Itu lebih baik sebelum tibanya masa hitungan amal oleh Allah SWT, Tuhan Yang Maha Adil. Pasti kelak menyesal yang tiada tara.

Hayati firman Allah SWT melalui Surah ‘Abasa, ayat 34-37 sebagai renungan kita bersama:

يَوْمَ يَفِرُّ ٱلْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ(٣٤) وَأُمِّهِۦ وَأَبِيهِ(٣٥) وَصَـٰحِبَتِهِۦ وَبَنِيهِ(٣٦) لِكُلِّ ٱمْرِئٍۢ مِّنْهُمْ يَوْمَئِذٍۢ شَأْنٌۭ يُغْنِيهِ(٣٧) 

Bermaksud: “Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, Dan ibunya serta bapanya, Dan isterinya serta anak-anaknya, Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.

(Surah ‘Abasa 80:34-37)

Tarikh Bacaan: 4 Rabiulakhir 1447H | 26 September 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑