Seorang wanita bujang terjerat dalam hubungan dengan rakan sekerja yang sudah berkeluarga hingga sanggup bernikah di sempadan melalui sindiket tanpa dokumen sah. Apabila kehamilan berlaku dan tuntutan pendaftaran perkahwinan dibuat, lelaki tersebut kembali kepada isteri pertama. Wanita itu kemudiannya memfailkan saman atas dakwaan diabaikan, namun gagal membuktikan pernikahan yang sah. Mahkamah akhirnya memutuskan bahawa perkahwinan tersebut tidak wujud dan menghukumnya kerana memfailkan kes tanpa asas.
Beberapa persoalan timbul yang dijawab dengan tuntas oleh Pejabat Mufti Negeri Pulau Pinang. Mymuslimin.com meringkaskan beberapa persoalan yang telah dijawab seperti di bawah.
Apakah hukum jika seseorang berkahwin di sempadan Thailand lalu tidak mendaftarkan perkahwinan itu di Malaysia?
Perkahwinan yang sah di sisi syarak (memenuhi semua rukun dan syarat nikah) tetapi tidak didaftarkan di Malaysia adalah sah dari sudut agama, namun tidak sah dari sudut undang-undang dan pentadbiran negara selagi belum disahkan oleh Mahkamah Syariah.
Kegagalan mendaftar boleh menyebabkan pelanggaran peraturan pemerintah dan mengundang pelbagai masalah berkaitan hak kekeluargaan, pusaka dan status anak. Ia juga boleh dikenakan hukuman denda atau penjara di bawah undang-undang pentadbiran perkahwinan Islam negeri.
Apakah status perkahwinan jika wali digunakan ialah “wali hakim” yang dilantik oleh sindiket, bukan pihak berautoriti?
Perkahwinan yang dijalankan menggunakan wali hakim tidak bertauliah atau dilantik oleh sindiket tidak sah di sisi syarak dan undang-undang. Ini kerana hak perwalian hanya boleh dilaksanakan oleh wali nasab yang sah atau wali hakim yang mendapat tauliah rasmi daripada pihak berkuasa agama. Pasangan yang berkenaan wajib mengulangi akad nikah menggunakan wali yang sah bagi membetulkan status perkahwinan mereka.
Bagaimana pula kedudukan anak yang lahir daripada perkahwinan tidak sah di sisi undang-undang Malaysia?
Anak yang lahir daripada akad nikah yang kemudian didapati tidak sah (nikah fasid) dianggap lahir melalui persetubuhan syubhah. Dalam kerangka undang-undang negeri (seperti Seksyen 114 Enakmen Keluarga Islam Pulau Pinang), anak itu masih boleh dinisbahkan kepada bapa biologinya jika lahir dalam tempoh masa yang ditetapkan syarak. Namun, perkara ini perlu melalui proses pengesahan nikah (isbat nikah) di Mahkamah Syariah terlebih dahulu.
Jika perkahwinan itu tidak didaftarkan, adakah lelaki tersebut masih wajib menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami?
Jika perkahwinan tersebut sah di sisi syarak, maka suami tetap wajib melaksanakan tanggungjawabnya termasuk memberi nafkah kepada isteri dan anak. Kewajipan ini adalah tuntutan agama dan tidak gugur hanya kerana perkahwinan belum didaftarkan. Namun, tanpa pendaftaran rasmi, isteri sukar menuntut hak secara sah di mahkamah.
Apakah pandangan syarak tentang ugutan wanita terhadap lelaki atas alasan “mengabaikan tanggungjawab perkahwinan” sedangkan akad nikah mereka dipertikai kesahihannya?
Jika akad nikah tersebut batil atau tidak sah di sisi syarak (contohnya kerana wali tidak sah atau tiada saksi yang cukup), maka pernikahan itu tidak memberi kesan hukum seperti hak nafkah atau waris.
Oleh itu, sebarang tuntutan atau ugutan untuk menuntut tanggungjawab suami atas dasar akad batil tidak mempunyai asas hukum dan tidak diiktiraf oleh syarak.
Bolehkah wanita tersebut menuntut nafkah atau hak sebagai isteri sekiranya perkahwinan tidak sah atau tidak diiktiraf?
Wanita tidak berhak menuntut nafkah atau hak-hak isteri jika perkahwinan tersebut disabitkan sebagai tidak sah (batil). Namun, jika perkahwinan itu sah dari segi syarak tetapi belum didaftarkan, wanita boleh membuat permohonan pengesahan nikah (isbat nikah) di Mahkamah Syariah terlebih dahulu sebelum menuntut sebarang hak.
Apakah bentuk taubat dan jalan penyelesaian yang perlu dilakukan oleh wanita tersebut selepas terlibat dengan sindiket nikah haram dan menjadi pihak ketiga dalam rumah tangga?
Wanita tersebut hendaklah:
- Bertaubat dengan sungguh-sungguh (taubat nasuha) atas perbuatan yang menyalahi hukum.
- Menghentikan hubungan yang tidak sah bagi mengelakkan dosa berterusan.
- Memohon pengesahan nikah di Mahkamah Syariah jika ada asas syarak.
- Jika akad didapati batil, putuskan hubungan secara muktamad dan bina kehidupan baru yang halal.
- Langkah ini penting bagi menjaga maruah, keturunan (nasab) dan keselamatan hukum dalam kehidupan beragama.
Mengapa penting merujuk kes seperti ini kepada Mahkamah Syariah?
Mahkamah Syariah ialah pihak berautoriti dalam menentukan kesahihan sesuatu akad nikah. Semua pertikaian berkaitan status perkahwinan, wali, anak, dan hak-hak kekeluargaan mesti dirujuk kepada Mahkamah Syariah agar keputusan dibuat berdasarkan fakta dan hukum syarak yang sahih.
Pengesahan mahkamah bukan sahaja diiktiraf undang-undang, tetapi juga memastikan maqasid syariah – iaitu menjaga keturunan, maruah, dan keadilan dalam masyarakat Islam.
Wallahu’alam.
Leave a comment