Teks Khutbah Jumaat (JAKIM): Wabak Jiwa, Racun Ummah

وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ وَتُدْلُوا۟ بِهَآ إِلَى ٱلْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا۟ فَرِيقًۭا مِّنْ أَمْوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ (١٨٨)

“Dan janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan cara yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui salahnya.” 

(Surah Al-Baqarah 2:188)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya, jauhilah larangan-Nya, dan hidupkanlah rasa takut kepada-Nya dalam setiap urusan. Khutbah pada hari ini bertajuk “Wabak Jiwa, Racun Ummah”. 

Umat Islam hari ini berdepan wabak yang lebih dahsyat daripada virus yang menyerang tubuh. Ia bukan menular melalui udara, tetapi melalui hati yang tamak, lidah yang menipu dan tangan yang khianat. Inilah wabak jiwa, penyakit rohani dan moral yang menghakis nilai, mencemar maruah, dan meruntuhkan keimanan bangsa. 

Kita menyaksikan betapa manusia semakin bijak mencipta teknologi, namun semakin kehilangan kendali terhadap dirinya. Dunia bertambah maju, tetapi jiwa semakin gersang. Kita membina pencakar langit, tetapi lupa membina akhlak dan harga diri. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan cara yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui salahnya.” 

Rasulullah SAW pula mengingatkan dalam hadis riwayat at-Tirmizi, daripada Kaab bin Ujrah RA yang maksudnya: “Sesungguhnya tidak tumbuh setiap daging dari harta yang haram, melainkan api neraka adalah lebih utama (untuk menyeksanya)”. 

Sidang Jumaat yang dimuliakan, 

Wabak ini kini menjalar dalam pelbagai bentuk; rasuah, penipuan, salah guna kuasa dan ketamakan. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), negara kita menanggung kerugian sekitar RM277 bilion akibat kebocoran dan rasuah antara tahun 2018 hingga 2023. Sementara Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula merekodkan lebih 33,000 kes penipuan siber dengan kerugian melebihi RM1.22 bilion pada tahun 2024. Angka ini bukan sekadar laporan tahunan, tetapi ia adalah isyarat bahawa masyarakat ini sedang sakit. 

Kita mungkin kaya harta, tetapi miskin jiwa. Kita mungkin bebas berbelanja, tetapi terpenjara dalam keresahan. Punca utama wabak ini ialah hati yang kosong daripada iman. Apabila manusia memutuskan hubungan dengan Allah, maka hilanglah malu, runtuhlah amanah dan padamlah cahaya petunjuk. 

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari: “Dalam tubuh manusia ada seketul daging; apabila ia baik, baiklah seluruh tubuh; apabila ia rosak, rosaklah seluruh tubuh. Itulah hati”. Hati yang kotor akan mencari seribu alasan untuk menipu, tetapi hati yang hidup akan menangis walau terlintas niat jahat di fikiran. 

Sidang Jumaat yang dimuliakan, 

Undang-undang boleh menghukum, tetapi hanya iman boleh menyembuhkan. Integriti yang sejati bukan dilahirkan oleh polisi, tetapi oleh hati yang takut kepada Tuhan. Pemimpin yang beriman tidak akan menjual kebenaran walau digoda kemewahan. Pekerja yang beriman tidak akan menipu walau tiada siapa memerhati. Rakyat yang beriman tidak akan mengambil hak orang lain walau peluang terbuka di depan mata. 

Bersempena Bulan Integriti Nasional 2025, marilah kita fahami bahawa integriti bukan sekadar slogan pentadbiran, tetapi asas kelangsungan tamadun. Bangsa yang kehilangan amanah akan binasa walau ekonominya maju. Negara yang makmur dengan dosa akan hancur walau undang-undangnya kuat. Wabak jiwa ini bukan hanya melanda pejabat dan pentadbiran, tetapi turut menular ke dalam rumah tangga. 

Apabila nilai kasih sayang dan tanggungjawab hilang, maka keluarga akan retak dan masyarakat akan kehilangan arah. Rumah yang sepatutnya menjadi taman rahmah berubah menjadi ladang keresahan. Ingatlah, keluarga yang beriman akan melahirkan masyarakat yang beramanah. Bapa menjadi pelindung dan pembimbing, ibu menjadi penyayang dan pendidik, anak-anak menjadi penyejuk mata dan penenang hati. Inilah benteng sebenar ummah, bukan tembok undang-undang, tetapi rumah tangga yang dipenuhi iman. 

Sidang Jumaat yang dikasihi, 

Sebagai rumusan khutbah hari ini, marilah kita hayati tiga inti utama: 

  • Pertama: Rasuah dan tamak adalah racun yang membunuh jiwa sebelum membinasakan bangsa. 
  • Kedua: Integriti lahir daripada iman; apabila iman mati, nilai akan hilang. 
  • Ketiga: Bangunkan keluarga dan masyarakat dengan kasih, amanah dan taqwa kerana di situlah imunisasi sebenar terhadap wabak moral. Bangunkan semula iman, suburkan integriti, kerana di situlah penawar bagi segala wabak jiwa dan racun ummah.

Tarikh Dibaca: 23 Jamadilawal 1447H / 14 November 2025 
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑