Zihar Tidak Didengari Isteri

Soalan

Adakah jatuh hukum zihār sekiranya seorang suami tanpa sengaja menyamakan anggota privasi isterinya dengan ibunya (ibu kandung suami)? Lafaz tersebut diucapkan dengan lafaz yang jelas (ṣarīḥ), namun dalam keadaan sangat perlahan sehingga isterinya tidak mendengar atau menyedarinya. Suami tersebut juga tidak berniat untuk menziharkan isterinya, sebaliknya ia terlepas cakap dalam keadaan tidak berhati-hati. Apakah hukum dalam situasi seperti ini?

Penjelasan

Dalam isu zihar, hukum hanya terpakai apabila terdapat lafaz yang jelas (ṣarīḥ) atau lafaz kināyah yang disertakan dengan niat menziharkan isteri. Jika seorang suami menyamakan anggota isterinya dengan anggota mahram (seperti ibunya) tetapi tanpa niat menziharkan, maka tidak terjatuh hukum zihar, walaupun lafaz itu diucapkan secara perlahan dan tidak didengari oleh isteri. Hal ini kerana niat adalah penentu utama bagi lafaz kināyah, manakala bagi lafaz ṣarīḥ yang diucapkan tanpa niat untuk zihar, ia tetap tidak dikira sebagai zihar menurut pandangan yang muktamad dalam Mazhab Syafi‘i.

Oleh itu, dalam situasi yang tuan tanyakan — iaitu lafaz keluar tanpa sengaja, diucapkan perlahan, tidak didengari oleh isteri, serta tanpa niat untuk menziharkan — maka tidak jatuh hukum zihar. Namun begitu, suami hendaklah berhati-hati menjaga lisan agar tidak mengucapkan perkataan yang boleh membawa kepada kekeliruan hukum syarak.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda serta para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari kiamat.

Pengenalan

Dari sudut bahasa, zihār diambil daripada perkataan “الظَّهْر” (belakang), kerana bentuk asal lafaznya ialah apabila seorang suami berkata kepada isterinya: “Engkau bagiku seperti belakang ibuku.”

Pada zaman Jahiliah, zihar dianggap sebagai talak. Suami menggunakan lafaz ini apabila dia membenci isterinya tetapi tidak mahu menceraikannya. Akibatnya, isteri tergantung: tidak halal untuk disetubuhi, tetapi tidak bebas untuk berkahwin dengan lelaki lain. Ia merupakan bentuk kezaliman yang berleluasa ketika itu.

Dari sudut syarak, zihar bermaksud:

“Suami menyamakan isterinya yang bukan dalam talak bain dengan seorang wanita yang haram dikahwini selama-lamanya dengannya.” (Lihat: al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, jld. 3, hlm. 352).

Hukum Zihar

Syariat Islam kemudian datang memperbetulkan hukum tersebut. Zihar tidak lagi dianggap talak, tetapi sebagai satu lafaz haram yang dikenakan kaffarah jika suami ingin kembali menyetubuhi isterinya. Hikmah ini menunjukkan keadilan Islam dalam menjaga hak wanita serta memastikan institusi rumah tangga terpelihara.

Lafaz Zihar

Lafaz Ṣarīḥ (jelas)

Zihar berlaku apabila suami menyamakan anggota aurat atau anggota badan zahir isterinya dengan anggota badan mahram yang haram dinikahi, khususnya anggota yang menjadi tempat keseronokan seksual (talazzuz) seperti kaki, peha, mulut, kulit dan seumpamanya.

Syeikh Shihabuddin al-Ramli menyebut yang maksudnya: “Bahawa perkataan suami kepada isteri ‘Engkau seperti tangannya, perut, dada’ dan seumpamanya, daripada setiap anggota yang tidak disebut kerana kemuliaan, maka ia dikira zihar, kerana anggota tersebut diharamkan untuk keseronokan seksual.” (Lihat: Nihayah al-Muhtaj ila Syarh Minhaj, jld. 7, hlm. 2).

Lafaz Kināyah (tidak jelas)

Jika suami menyamakan isterinya dengan mahram pada anggota yang melambangkan kemuliaan seperti wajah atau mata, maka ia dianggap kinayah dan hanya jatuh zihar jika disertai dengan niat menziharkan.

Al-Khatib al-Syirbini menyatakan yang bermaksud: “Seperti katanya (suami): ‘Engkau seperti ibuku’, atau ‘seperti ruhnya’, atau ‘seperti wajahnya’, maka itu menjadi zihar jika suami berniat zihar, yakni niat isterinya seperti belakang ibunya yang haram disetubuhi. Namun, jika dia niat memuliakan, maka tidak berlaku zihar kerana lafaz ini digunakan untuk tujuan kemuliaan dan penghormatan. Begitu juga tidak berlaku zihar jika lafaz itu mutlak tanpa niat, menurut pandangan yang asah.” (Lihat: Mughni al-Muhtaj, jld. 5, hlm. 31).

Anggota Dalaman atau yang Terpisah

Syeikh al-Bujairimi menjelaskan, tidak dihukumkan zihar jika suami menyamakan anggota dalaman (seperti hati, limpa, paru-paru) atau anggota yang boleh dipisahkan (seperti rambut, kuku, susu, suara) kerana ia bukan anggota tempat talazzuz. (Lihat: Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, jld. 4, hlm. 13).

Aplikasi pada Soalan Penyoal

Dalam situasi yang ditanyakan:

  • Suami terlepas cakap dengan lafaz ṣarīḥ menyamakan anggota privasi isterinya dengan anggota ibunya.
  • Namun lafaz itu sangat perlahan, sehingga tidak didengari oleh isteri.
  • Paling penting, suami tidak berniat menziharkan isterinya.

Maka berdasarkan pandangan muktamad Mazhab Syafi‘i, tidak jatuh hukum zihar kerana syarat niat tidak wujud. Lafaz ṣarīḥ sekalipun, jika tidak disertakan niat menziharkan, ia tidak dihukumkan sebagai zihar.

Kesimpulan

Berdasarkan huraian di atas, lafaz yang terucap secara tidak sengaja, perlahan hingga tidak didengari, dan tanpa niat menziharkan isteri tidak menyebabkan jatuh hukum zihar. Walau bagaimanapun, suami hendaklah menjaga lisan dan menghindari ucapan yang boleh mendatangkan kekeliruan atau mengguris perasaan isteri.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang benar kepada kita dalam urusan agama dan melindungi kita daripada tergelincir dalam perkara yang dimurkai-Nya.

Wallāhu a‘lam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑