Teks Khutbah Jumaat (Jakim): Tandus Iman, Kemarau Jiwa 

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةًۭ ضَنكًۭا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ أَعْمَىٰ(١٢٤)

“Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, maka baginya kehidupan yang sempit; dan pada hari Kiamat Kami akan bangkitkan dia dalam keadaan buta.” 

(Surah Taha 20:124)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa yang bukan sekadar pada lafaz, tetapi pada tindakan dan niat. Takwa yang menjadikan kita jujur dalam pekerjaan, beramanah dalam tanggungjawab, dan tenang dalam ujian.

Kita hidup di zaman yang serba maju, namun ramai yang berasa kosong. Teknologi berkembang, tetapi jiwa manusia semakin rapuh. Bangunan semakin tinggi, tetapi nilai semakin runtuh. Kita berhubung setiap detik melalui gajet, tetapi semakin jauh antara hati. Inilah yang dinamakan tandus iman dan kemarau jiwa iaitu apabila manusia kehilangan makna hidup walau dikelilingi nikmat yang melimpah. 

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Realiti ini bukan sekadar pemerhatian, tetapi disahkan oleh data. Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi 2023 mendapati seorang daripada tiga rakyat Malaysia dewasa mengalami tekanan atau keresahan jiwa. Kajian yang sama juga menunjukkan peningkatan kebimbangan terhadap kesihatan mental di Malaysia. Sekitar 1 daripada 20 orang dewasa mengalami simptom kemurungan, manakala 1 daripada 6 kanak-kanak atau remaja menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan mental. Lebih membimbangkan, kira-kira 424,000 remaja berumur antara 16 hingga 24 tahun dikenal pasti mengalami simptom kemurungan ringan hingga sederhana. 

Angka-angka ini bukan statistik kosong tapi ia tanda bahawa masyarakat moden sedang mencari ketenangan yang hilang. Kita semakin kaya, tetapi tidak semakin bahagia. Kita lebih sibuk, tetapi kurang berzikir. 

Kita pandai menguruskan projek dan perniagaan, tetapi gagal menguruskan hati sendiri. Allah SWT berfirman dalam Surah Taha ayat 124 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, maka baginya kehidupan yang sempit; dan pada hari Kiamat Kami akan bangkitkan dia dalam keadaan buta.” 

Ayat ini datang sebagai amaran lembut bahawa jiwa yang menjauh daripada Allah tidak akan pernah merasai kelapangan. Hati menjadi sempit, hidup terasa sesak, rezeki seakan tidak cukup, fikiran kacau semuanya bermula apabila zikir dan peringatan Allah ditinggalkan. 

Sidang Jumaat yang dimuliakan, 

Antara punca tandus iman ialah solat yang diabaikan. Solat bukan ritual rutin, tetapi sistem kawalan moral yang Allah tetapkan untuk menegakkan disiplin spiritual manusia. Apabila solat diringankan, hati akan hilang keseimbangan. Ramai yang rajin mengejar masa untuk kerja dan hiburan, tetapi tidak untuk solat berjemaah. Kita bimbang lewat mesyuarat, tetapi tidak bimbang lewat sujud. 

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Buraidah bin Al-Husaib RA yang bermaksud; “Perjanjian antara kami dan mereka ialah solat; sesiapa yang meninggalkannya, maka dia telah kufur.” 

Solat ialah indikator iman; apabila solat longgar, akhlak juga goyah, apabila solat tidak ditegakkan dengan sempurna, maka lahirlah generasi yang hilang rasa malu, lemah jiwanya dan longgar pegangan agamanya. 

Sidang Jumaat yang dikasihi, 

Punca kedua ialah dosa yang menjadi kebiasaan. Kita hidup dalam dunia tanpa sempadan moral di mana maksiat boleh berlaku dalam genggaman tangan. Gambar, kata dan hiburan yang menyalahi batas menjadi norma harian. Hati yang sentiasa diselubungi dosa akan hilang sensitiviti terhadap kebenaran. 

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Abu Hurairah RA yang berbunyi; “Apabila seseorang hamba melakukan dosa, maka satu titik hitam akan muncul di dalam hatinya.” Apabila dosa dilakukan tanpa rasa bersalah, hati akan menjadi gelap dan iman pun pudar. Hati yang gelap tidak akan mampu menerima cahaya kebenaran, ibarat tanah gersang yang tidak mampu menumbuhkan benih. 

Sidang Jumaat yang dimuliakan, 

Punca ketiga tandus iman ialah cinta dunia yang berlebihan. Kita sibuk memperindah rumah, tetapi melupakan penghuni sebenar hati. Kita berhabis tenaga mencari harta, tetapi lupa bahawa nilai sebenar bukan pada apa yang kita miliki, tetapi pada apa yang kita beri. 

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi; “Cinta dunia adalah punca segala kesalahan”. 

Kita tidak dilarang mencintai dunia, tetapi kita dilarang diperhambakan olehnya. Apabila cinta dunia menguasai hati, maka keikhlasan akan hilang, dan kemanusiaan akan mati perlahan-lahan. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Namun rahmat Allah itu luas. Walau hati tandus, Allah masih membuka peluang untuk kita kembali. Taubat adalah hujan rahmat yang menyegarkan tanah hati yang kering. Ia menumbuhkan semula harapan dan menghidupkan kembali nilai iman. 

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Furqan ayat 70: Maksudnya: “Maka mereka itulah yang akan digantikan Allah kejahatan mereka dengan kebaikan”. 

Betapa besarnya kasih Allah, dosa bukan sekadar diampunkan, bahkan ditukar menjadi pahala bagi mereka yang benar-benar kembali. Hati yang kembali kepada Allah pasti akan menemukan ketenangan yang tidak mampu diberi oleh dunia. Inilah hakikat bahagia yang dicari oleh jiwa-jiwa yang tandus. 

Sidang Jumaat yang dimuliakan, 

Untuk menyuburkan semula iman yang tandus, marilah kita hayati tiga perkara utama: 

Pertama: Tegakkan solat dengan penuh kesedaran. Solat bukan sekadar ibadah, tetapi sistem latihan rohani yang mengekang jiwa daripada maksiat dan kelalaian. 

Kedua: Jauhi dosa dan maksiat sama ada di dunia nyata mahupun dunia maya. Kawal pandangan, jaga perkataan, dan pelihara hati daripada kebiasaan dosa. 

Ketiga: Gunakan nikmat dunia sebagai jambatan ke akhirat. Dunia ini bukan musuh, tetapi alat untuk menzahirkan ketaatan. Jadikan kemewahan sebagai peluang untuk memberi dan berkhidmat, bukan sebagai lambang status. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Dalam suasana kita menyambut Bulan Keluarga Kebangsaan 2025, marilah kita insafi bahawa kekuatan iman bermula daripada keluarga yang berkasih sayang dan berakhlak. Keluarga yang subur dengan kasih bukan sahaja melahirkan generasi yang sejahtera jiwa dan tingkah laku, bahkan menjadi benteng pertama menentang gejala sosial yang menular. Justeru, kasih dalam keluarga mesti dipupuk dengan keimanan, komunikasi dan doa bersama agar rumahtangga menjadi ruang untuk berteduh, bukan medan untuk bergaduh.

Tarikh Dibaca: 30 Jamadilawal 1447h / 21 November 2025 
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑