Elak Berburuk Sangka: Tadabbur Surah Al-Hujurat 49:12

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ(١٢)

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

(Surah Al-Hujurat 49:12)

Akhlak Mukmin Bermula Dari Hati

Ayat ini bermula dengan panggilan:

“Wahai orang-orang yang beriman…” Ini tanda bahawa apa yang disebut selepas ini adalah syarat iman, bukan sekadar akhlak tambahan. Allah memulakan dengan hati, kerana dosa lidah dan perbuatan bermula dari bisikan dalam hati.

Jauhilah banyak prasangka

Tidak semua sangkaan dilarang, tetapi Allah melarang kebanyakan sangkaan, kerana:

  • Manusia mudah menyangka tanpa ilmu
  • Buruk sangka menghitamkan hati
  • Ia menjadi pintu dosa lain: marah, tuduhan, umpat

Sangka buruk adalah kejahatan yang senyap tetapi sangat merosakkan – merosakkan hubungan, ukhuwah dan keyakinan sesama Muslim.

Sebahagian sangkaan itu adalah dosa

Kenapa disebut “sebahagian”? Kerana ada prasangka yang dibenarkan, misalnya:

  • Berwaspada terhadap orang zalim
  • Mengambil pelajaran dari tanda yang jelas

Tetapi kebanyakan prasangka tidak berlandaskan bukti, dan itulah dosa.

Jangan mencari-cari kesalahan (tajassus)

Ini adalah kesalahan kedua setelah prasangka. Apabila hati mula bersangka buruk, manusia mula mencari bukti, kelemahan, kesilapan dan aib. Akhirnya muncullah tabiat menyelak kehidupan orang lain—status, mesej, gambar, cerita—padahal Allah melarang keras membuka aib manusia.

Sabda Nabi SAW:

“Barangsiapa mencari aib saudaranya, Allah akan bongkar aibnya walau di dalam rumahnya.”

Jangan mengumpat

Mengumpat adalah membicarakan sesuatu yang benar tetapi memalukan orang lain tanpa kehadirannya. Allah tidak sekadar menegah, tetapi menggambarkannya dengan gambaran paling jijik.

Adakah kamu suka makan daging saudaramu yang mati?

Ini adalah perumpamaan paling keras dalam al-Qur’an.

Mengumpat diibaratkan seperti makan daging manusia yang sudah mati dan manusia itu adalah “saudaramu”

Mengapa mati? Kerana orang yang ‘mati’  tidak dapat membela diri. Ayat ini juga memaksa kita merasa jijik, benci dan malu kerana perbuatan mengumpat seharusnya menimbulkan rasa jijik sebagaimana jijiknya membayangkan memakan daging mayat.

Dan bertakwalah kepada Allah

Taqwa dengan menjaga lidah, taqwa dengan membersihkan hati dan bertaqwa menghalang diri daripada mengikuti bisikan syaitan

Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang

Allah SWT menutup dengan pintu harapan kerana sebagai manusia, kita selalu tersilap, kita selalu terjebak prasangka dan umpat tetapi pintu taubat sentiasa terbuka

Syaratnya, perlulah kita berhenti, menyesali perbuatan tersebut, membetulkan hati dan menjaga lisan selepas bertaubat. Ayat ini mengajar bahawa kerosakan masyarakat bermula dari dosa hati, bukan dari perbuatan luaran semata-mata. Urutannya jelas iaitu bermula dengan buruk sangka, kemudian kita mula mencari-cari aib dan mengumpat. 

Penyelesaiannya juga jelas iaitu menjaga hati, menjaga mata, menjaga lisan dan kembali kepada taqwa (takut kepada Allah). Jika ayat ini diamalkan, hubungan keluarga, masyarakat, rakan kerja, komuniti dan ummah akan menjadi lebih tenang, bersih dan penuh kasih.

Wallahu a‘lam.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑