وَقُلِ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَن شَآءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَآءَ فَلْيَكْفُرْ ۚ إِنَّآ أَعْتَدْنَا لِلظَّـٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا ۚ وَإِن يَسْتَغِيثُوا۟ يُغَاثُوا۟ بِمَآءٍۢ كَٱلْمُهْلِ يَشْوِى ٱلْوُجُوهَ ۚ بِئْسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتْ مُرْتَفَقًا(٢٩)
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.
(Surah Al-Kahf 18:29)
Kadang-kadang kita lupa bahawa hidup ini sebenarnya tentang pilihan. Allah SWT sudah menunjukkan kebenaran dengan terang, jelas, tanpa perlu dipaksa. Tetapi Allah SWT juga tetap memberikan kita ruang untuk memilih: mahu beriman atau mahu menolak iman, mahu dekat dengan-Nya atau mahu berpaling.
Ayat ini bukan ayat “buatlah apa kau suka”, tetapi ayat peringatan kepada manusia.
Manusia itu bebas membuat pilihan tetapi dengan pilihan itu juga ada natijahnya.
Jika kita memilih iman, ia menuntut usaha, perubahan, dan mujahadah.
Jika kita berpaling daripada jalan yang benar, Allah SWT tidak rugi apa-apa, yang rugi hanyalah kita yang pasti akan menanggung akibatnya, di dunia dan di akhirat.
Tazkirah ini mengingatkan kita bahawa hidup ini bukan tentang apa yang kita dapat, tetapi tentang jalan mana yang kita pilih dan ke mana ia akan membawa kita.
Allah SWT telah menunjukkan pintu hidayah-Nya, dan sebagai hamba-Nya, kita hanya diminta melangkah dan memilih kebenaran. Wallahu’alam.
Leave a comment