Teks Khutbah Jumaat (JAKIM): Menghidupkan Sunnah, Menyuburkan Ummah 

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا(٢١)

 “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang terbaik (iaitu) bagi orang yang sentiasa mengharap keredhaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat dan banyak menyebut serta mengingati Allah (dalam masa susah dan senang)”.

(Surah Al-Ahzab 33:21)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Tunaikan segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Takwa itu bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi kesedaran yang membimbing di setiap langkah kita mengikut ajaran Islam dan Rasul-Nya. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 21 yang dibacakan khatib di awal khutbah tadi bermaksud:  “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang terbaik (iaitu) bagi orang yang sentiasa mengharap keredhaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat dan banyak menyebut serta mengingati Allah (dalam masa susah dan senang)”. 

Ayat ini menjadi panduan asas bahawa kejayaan umat bergantung pada sejauh mana kita menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh hidup yang nyata. 

Khutbah hari ini bertajuk: “Menghidupkan Sunnah, Menyuburkan Ummah”. 

Sidang jemaah yang dikasihi, 

Sunnah adalah setiap yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan), sifat khuluqiyyah, sifat khalqiyyah dan kehidupan baginda SAW samada sebelum perutusan Baginda SAW menjadi rasul. Hadis Nabawi atau sunnah Rasulullah SAW bukan hanya warisan, tetapi sistem hidup yang membentuk peradaban. Ia bukan sekadar pakaian dan amalan ritual, tetapi meliputi seluruh dimensi kehidupan daripada cara berfikir, berurusan, memimpin hingga membina kasih sesama manusia. 

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat al-Hakim yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara; kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagimana kamu berpegang kepada keduanya iaitulah Kitab Allah dan Sunnah RasulNya”. 

Dua sumber inilah yang menjadi nadi umat Islam. Jika berpaut kepada al-Quran tanpa hadis atau sunnah, agama tidak akan sempurna; berpaut pada sunnah tanpa al-Quran, maka hilanglah panduan dan pedoman hidup. 

Maka keduanya mesti dihidupkan seiringan dan serentak agar iman terpelihara dan kehidupan terarah. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Menghidupkan sunnah bererti mengembalikan cara hidup Rasulullah dalam diri dan masyarakat. Sunnah Baginda bukan sekadar senyuman atau cara berpakaian, tetapi adab dalam menegur, hikmah dalam berdakwah, dan kasih dalam memimpin. 

Dalam rumahtangga, baginda SAW mengajar kasih sayang dan tolak ansur. Dalam muamalat, menuntut kejujuran dan keadilan. Dalam kepimpinan, Baginda SAW mengajar amanah dan tanggungjawab. Setiap sunnah yang diamalkan, menyuburkan jiwa dan menyatukan masyarakat. 

Namun, pada zaman ini, ramai yang memandang ringan terhadap sunnah. Ada yang mempertikai sunnah tanpa ilmu dan ada pula yang menganggap sunnah tidak lagi relevan dalam dunia moden. Sedangkan kekuatan umat Islam terdahulu lahir daripada kecintaan dan ketaatan terhadap sunnah Rasulullah SAW. 

Sidang jemaah yang dikasihi, 

Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 158: “Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kalimah-kalimah-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah dia (Rasulullah SAW) supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”. 

Menghidupkan sunnah bermaksud menegakkan adab di tengah budaya kasar, menegakkan jujur di tengah penipuan, menegakkan kasih di tengah kebencian, dan menegakkan iman di tengah kekeliruan. Sunnah bukan hanya pakaian luaran, tetapi pakaian hati yang membentuk akhlak dan keperibadian. 

Sidang Jumaat yang dikasihi, 

Kita hidup di zaman yang mana maklumat agama mudah tersebar, namun tidak semuanya benar. Realitinya, hadis palsu dan riwayat yang lemah kerap dikongsi tanpa semakan, sekaligus mencetuskan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan umat. Justeru, menjadi tanggungjawab besar kita untuk mendepani cabaran ini dengan mendalami ilmu daripada sumber yang sahih dan berguru. 

Usaha serius ke arah menghidupkan semula budaya ilmu ini sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dan agensi-agensi agama yang lain. 

Penganjuran Majlis  Khutbah Jumaat Menghidupkan Sunnah, Menyuburkan Ummah 4 Samā’ al-Hadīth adalah satu tradisi mulia yang menyambung sanad ilmu daripada Rasulullah SAW hingga ke ulama masa kini. Majlis ini bukan sekadar perhimpunan ilmiah semata-mata, tetapi ia adalah simbol cinta terhadap sunnah serta bukti bahawa umat Islam di Malaysia terus memuliakan hadis Nabi sebagai panduan hidup dan sumber hukum yang murni. 

Menghidupkan sunnah juga bermakna menzahirkan kasih kepada Rasulullah SAW dengan mencontohi akhlaknya. Baginda seorang yang lembut tutur katanya, tegas pada prinsipnya, adil terhadap semua, dan sentiasa mengasihi umatnya. Jika sunnah ini kembali mewarnai masyarakat, pasti akan lahir semula generasi berilmu, beradab serta berjiwa rahmah dan inilah asas membina ummah yang subur. 

Sebagai penutup khutbah, marilah kita menginsafi bahawa, menghidupkan sunnah bukanlah pilihan sampingan, tetapi kewajipan seorang Muslim yang mencintai Rasulullah SAW. Sunnah yang dihidupkan akan menyuburkan kasih dalam keluarga, kejujuran dalam masyarakat dan keberkatan dalam negara. 

Umat yang mencintai sunnah adalah umat yang dipelihara Allah daripada kehancuran jiwa dan kerosakan nilai. 

Sebagai penutup, marilah kita merumuskan khutbah hari ini dengan tiga perkara: 

  • Al-Quran dan hadis ialah sumber hukum dan pedoman hidup yang wajib menjadi rujukan utama bagi setiap Muslim. 
  • Umat Islam mesti berhati-hati dalam menyebarkan hadis dan memastikan ia sahih daripada sumber berautoriti. 
  • Cinta kepada Rasulullah SAW bukan hanya semata pada lafaz selawat, tetapi pada nilai akhlak dan contoh teladan yang telah Baginda tunjukkan sebagai panduan. 

Tarikh Dibaca: 7 Jamadilakhir 1447H / 28 November 2025 
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑