وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ(٧٧)
Dan berbuat baiklah (ihsan) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu melakukan kerosakan di bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.
(Surah Al-Qasas 28:77)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Takwa bukan hanya pada lafaz, tetapi pada amal dan tindakan yang memelihara diri daripada dosa serta membawa manfaat kepada sesama manusia. Orang bertakwa ialah mereka yang berbuat baik kerana Allah, walau tiada siapa melihatnya kerana inilah hakikat ihsan yang menjadi inti kepada keindahan Islam.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 77 yang dibacakan khatib tadi bermaksud: “Dan berbuat baiklah (ihsan) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu melakukan kerosakan di bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.
Mimbar hari ini membawakan khutbah bertajuk: “Ihsan Tanpa Batasan”.
Sidang Jemaah yang dikasihi,
Ihsan adalah sifat tertinggi dalam Islam, mengangkat manusia menjadi hamba yang sedar akan pandangan Allah dalam setiap amalnya.
Ketika Jibril alaihissalam bertanyakan kepada Nabi tentang maksud ihsan, Baginda SAW bersabda yang membawa maksudnya: “…anda menyembah atau mentaati Allah seolah-olah anda melihatnya, sekiranya anda tidak melihatnya sesungguhnya Allah melihat anda”.
Ihsan menjadikan seorang mukmin bukan sahaja berbuat baik kepada Allah melalui ibadah, tetapi juga kepada manusia melalui kasih, tolong-menolong dan belas kasihan. Ihsan tidak terhad kepada ibadah, bahkan ia meliputi tutur kata, pekerjaan, perkhidmatan awam dan hubungan sosial.
Apabila ihsan menjadi budaya, masyarakat akan hidup saling memahami dan memuliakan antara satu sama lain.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Salah satu bentuk ihsan yang dituntut ialah memperlakukan setiap insan dengan adil dan kasih, tanpa mengira kemampuan fizikal atau kedudukan sosial. Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Laporan 2025, terdapat lebih 646,000 orang berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia. Di sebalik angka itu, tersimpan ribuan kisah perjuangan manusia yang berusaha mengekalkan maruah dan mencari ruang untuk berdikari.
Mereka bukan beban kepada masyarakat, tetapi ujian kepada sejauh mana kita memahami makna kemanusiaan yang sebenar. Dalam sebuah hadis Riwayat al-Bukhari, Nabi SAW bersabda: “Tidaklah kamu ini mendapat pertolongan dan rezeki melainkan disebabkan orang-orang lemah dalam kalangan kamu”.
Hadis ini mengingatkan kita bahawa setiap insan, termasuk yang diuji dengan kekurangan, membawa keberkatan kepada masyarakat apabila diraikan dengan ihsan. Maka jadikanlah kehadiran mereka sebagai peluang untuk kita berbuat baik, bukan sekadar menunjukkan simpati, tetapi mewujudkan sistem dan ruang agar mereka dapat hidup bermaruah dan berperanan.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Dalam memperluas makna ihsan, kita juga perlu menzahirkan kasih dan hormat kepada wanita. Islam mengangkat martabat wanita dengan penuh kemuliaan sebagai ibu yang redhanya membawa anaknya ke syurga, sebagai isteri yang menjadi penenang hati, dan sebagai anak perempuan yang membawa keberkatan rumah tangga.
Bersempena Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2025, marilah kita merenung tanggungjawab ini dengan penuh kesedaran.
Menurut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 7,116 kes keganasan rumah tangga direkodkan pada tahun 2024, dan lebih 6,400 kes lagi sehingga Oktober 2025. Islam menolak segala bentuk kekerasan dan penghinaan terhadap wanita. Kekuatan seorang lelaki bukan diukur pada kekasaran, tetapi pada kelembutan yang menenangkan dan tanggungjawab yang meneguhkan.
Rumah tangga seharusnya menjadi taman rahmah, bukan gelanggang kemarahan. Apabila ihsan dijadikan asas dalam rumah tangga, maka lahirlah suasana penuh kasih, hormat dan keselamatan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita menyedari bahawa ihsan adalah nilai sejagat yang memelihara maruah manusia, menyatukan masyarakat dan membawa keberkatan negara. Ihsan kepada yang lemah mencerminkan empati, ihsan kepada wanita menunjukkan kasih dan hormat, ihsan kepada masyarakat menzahirkan tanggungjawab sosial. Inilah nilai yang menjadi asas masyarakat yang dicita-citakan Islam iaitu masyarakat yang kuat bukan kerana kuasa, tetapi kerana kasih dan belas ihsan.
Dalam suasana dan cuaca yang tidak menentu ini juga, mimbar ingin menyeru seluruh jemaah agar menzahirkan ihsan dengan keprihatinan terhadap saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan musibah banjir di beberapa negeri. Hulurkan bantuan semampu yang boleh sama ada tenaga, harta atau doa. Inilah masa untuk membuktikan kasih sesama
Bagi mereka yang terkesan, bersabarlah dan berdoalah semoga Allah menggantikan kehilangan dengan kebaikan dan keselamatan yang berpanjangan.
Sebagai penutup khutbah, marilah kita menginsafi bahawa masyarakat yang berihsan adalah masyarakat yang dicintai Allah, diberkati rezekinya dan dilindungi negaranya.
Khutbah hari ini dirumuskan dengan tiga perkara:
- Ihsan adalah inti kepada keindahan Islam iaitu sebagai tanda ketakwaan dan keimanan yang tulus kepada Allah SWT.
- Ihsan mesti dizahirkan dalam tindakan: menghormati OKU, memuliakan wanita dan menjaga masyarakat daripada kezaliman.
- Kekerasan dan keganasan adalah bertentangan dengan semangat ihsan. Bahkan Islam menyeru kasih sayang, keadilan dan penghormatan sesama insan.
Tarikh Dibaca: 14 Jamadilakhir 1447H | 5 Disember 2025
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment