Cara Sujud Sahwi 

Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada sifat lupa, termasuk ketika solat. Sujud sahwi ialah sujud tambahan yang dilakukan untuk menampung kekurangan akibat terlupa sunat ab’adh atau ragu-ragu tentang bilangan rakaat dalam solat.

Hukum Sujud Sahwi

Sujud sahwi hukumnya sunat. Ia dilakukan apabila seseorang terlupa sunat ab‘adh seperti tahiyat awal atau doa qunut, berdasarkan hadis daripada al-Mughirah RA. Sujud sahwi juga dilakukan apabila kita berasa ragu-ragu tentang bilangan rakaat, sebagaimana diterangkan dalam hadis Abu Sa’id al-Khudri RA.

Dari Abu Sa’id al-Khudri RA, di mana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

Jika salah seorang di antara kamu ragu dalam solatnya sehingga dia tidak tahu berapa rakaat yang telah dia lakukan, tiga rakaat atau empat rakaat. Maka hendaklah ia tepis keraguan itu dan ikutilah yang dia yakini. Setelah itu, hendaklah dia sujud dua kali sebelum salam. Jika ternyata dia mengerjakan lima rakaat, maka dia telah melengkapkan solatnya. Namun, jika dia mengerjakan empat rakaat, maka dua sujud tadi adalah penghinaan bagi syaitan.

(Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i RA)

Walaupun tidak wajib, ia sangat digalakkan kerana melengkapkan kekurangan solat.

Cara Melakukan Sujud Sahwi

  • Niat – Selepas tahiyat akhir, sebelum salam, niat untuk sujud sahwi.
  • Sujud Pertama – Takbir dan sujud sambil membaca: سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو Subhana man laa yanaamu wa laa yashu “Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa.”
  • Duduk antara dua sujud – Duduk seperti biasa.
  • Sujud Kedua – Sujud sekali lagi.
  • Salam – Kembali duduk tahiyat akhir dan beri salam seperti biasa.

Jika Tertinggal Rukun Solat

Sujud sahwi tidak menggantikan rukun yang tertinggal. Jika terlupa membaca al-Fatihah atau rukuk, rakaat itu tidak sah dan perlu diulang sepenuhnya sebelum salam. Selepas mengulang rakaat, barulah lakukan sujud sahwi.

Hikmah Sujud Sahwi

Sujud sahwi mengajar kita bahawa Allah Maha Penyayang dan menerima usaha hamba-Nya walaupun ada kekurangan. Ia menjadi cara untuk memperbaiki solat, memohon keampunan atas kealpaan, serta mengingatkan kita agar lebih khusyuk dalam ibadah. Semoga Allah menerima solat dan amalan kita.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑