Tazkirah Surah Ali Imran ayat 180: Jangan Kedekut!

وَلَا يَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ هُوَ خَيْرًۭا لَّهُم ۖ بَلْ هُوَ شَرٌّۭ لَّهُمْ ۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا۟ بِهِۦ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ(١٨٠) 

Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?

(Surah Ali Imran 3:180)

Harta itu amanah, bukan milik mutlak kita

Ayat ini menegaskan bahawa apa sahaja harta yang kita miliki adalah pinjaman Allah, bukan kepunyaan mutlak kita. Kita hanya pemegang amanah. Sebab itu Allah menegur golongan yang enggan berkongsi harta, enggan membayar zakat, atau kedekut membantu orang lain. Mereka menyangka dengan menyimpan harta dan menjadi kedekut mereka akan selamat.

Hukuman “dikalongkan” – gambaran azab yang sangat berat

Allah menggambarkan azab yang sangat jelas, “Mereka akan dikalongkan dengan apa yang mereka bakhilkan.”

Ulama tafsir menjelaskan bahawa harta yang disimpan tanpa menunaikan haknya akan menjadi ular, belenggu, atau bara api lalu melilit leher mereka pada hari kiamat, dan simpanan yang dijaga ketat di dunia menjadi penyeksaan di akhirat.

Ini menunjukkan bahawa setiap sen yang tidak dizakatkan atau tidak disalurkan kepada haknya akan menjadi beban di akhirat.

Pemilik sebenar segala-galanya hanyalah Allah

Ayat ini menyambung dengan pengingat sangat halus: “Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan langit dan bumi.”

Bila kita mati, harta yang kita “kedekutkan” itu tidak ikut bersama dan ia akan berpindah kepada orang lain. Kerana hakikatnya, semua manusia akan kembali kepada Allah, Pemilik sebenar.

Allah Maha Mengetahui setiap perbuatan – besar atau kecil

“Dan Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.”

Ini merupakan peringatan bahawa Allah SWT tahu siapa yang memberi secara ikhlas,  siapa yang menahan rezekinya daripada orang memerlukan, siapa yang memberi dalam diam, dan siapa yang kedekut walaupun mampu dan Allah mengetahui isi hati pemberi, bukan sekadar jumlah sedekah.

Ayat ini mengajar kita bahawa Allah menilai bukan hanya perbuatan fizikal, tetapi niat yang tersembunyi.

Pengajaran Besar Ayat Ini

Janganlah kita takut  akan jatuh miskin apabila memberi kerana hakikatnya, kita sedang menyelamatkan diri di akhirat.

Rezeki yang dikeluarkan sebagai sedekah itulah yang kekal dan rezeki yang ditahan akan hilang di dunia, dan menjadi azab di akhirat. Apa yang kita simpan belum tentu jadi milik kita, tetapi apa yang kita beri itulah yang benar-benar kekal untuk kita.

Ayat Ali ‘Imran 180 ini adalah peringatan untuk menyucikan hati daripada sifat bakhil dan cinta dunia.  Ia mengingatkan bahawa harta bukan ukuran mulia, tetapi cara kita menggunakannya.

Semoga Allah menjadikan kita hamba yang pemurah, ringan tangan, dan tidak takut memberi kerana yakin bahawa setiap pemberian adalah pelaburan untuk akhirat dan setiap sedekah adalah pendingin api neraka. Wallahu’alam

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑