Nazar dalam Islam – Panduan, Syarat dan Kesilapan yang Perlu Dielakkan

Oleh: Mymuslimin.com

Nazar merupakan satu janji atau ikrar seseorang kepada Allah SWT untuk melakukan sesuatu apabila hajatnya tercapai. Dalam Islam, nazar bukan sekadar lafaz, tetapi satu komitmen yang membawa implikasi hukum. Oleh itu, umat Islam perlu memahami dengan jelas apakah bentuk nazar yang sah, yang dituntut, dan yang tidak digalakkan agar tidak menjerumuskan diri ke dalam kesusahan yang tidak perlu.

Apakah Itu Nazar?

Nazar ialah iltizam (komitmen) seseorang untuk melakukan suatu amalan sebagai ibadah kepada Allah SWT. Namun, tidak semua perkara boleh dijadikan nazar. Hanya nazar yang melibatkan amalan ketaatan (qurbah) sahaja yang dikira sah dan mengikat.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia melaksanakannya. Dan sesiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat, maka janganlah dia melakukannya.”
(Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menjadi asas bahawa nazar hanya sah jika ia melibatkan ketaatan kepada Allah.

Nazar yang Sah dan Wajib Ditunaikan

Antara contoh nazar yang sah ialah:

  • Bernazar untuk berpuasa sunat
  • Bersedekah
  • Solat sunat
  • Membaca al-Quran
    Iktikaf

Jika nazar seperti ini dilafazkan, maka wajib ditunaikan apabila syaratnya tercapai.

Allah SWT berfirman:

يُوفُونَ بِٱلنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًۭا كَانَ شَرُّهُۥ مُسْتَطِيرًۭا(٧)

Maksudnya: (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.

(Surah Al-Insan 76:7)

Ayat ini menunjukkan bahawa menunaikan nazar yang sah adalah sifat orang beriman.

Nazar yang Tidak Sah dan Tidak Mengikat

Nazar yang melibatkan perkara harus seperti:

  • Tidak memotong rambut
  • Tidak makan makanan tertentu
  • Tidak tidur di tempat tertentu

adalah tidak sah dan tidak mengikat. Oleh itu, jika seseorang melanggar nazar seperti ini, tidak dikenakan kaffarah.Para ulama menyebut bahawa perbuatan harus seperti makan, tidur, atau memotong rambut tidak tergolong dalam ibadah, maka ia tidak layak dijadikan nazar.

Kesilapan Lazim dalam Bernazar

Antara kesilapan yang sering berlaku ialah:

  • Bernazar tanpa ilmu
  • Bernazar ketika emosi atau terdesak
  • Menjadikan perkara yang menyusahkan diri sebagai nazar
  • Menganggap semua nazar wajib ditunaikan walaupun melibatkan perkara harus

Islam tidak menggalakkan umatnya membebankan diri dengan nazar yang boleh menyukarkan kehidupan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

لَا تَنْذِرُوا فَإِنَّ النَّذْرَ لَا يُغْنِي مِنَ الْقَدَرِ شَيْئاً وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنَ الْبَخِيلِ

Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.

Riwayat Muslim (1640)

Taatlah kepada Allah sejak awal dengan hati yang ikhlas dan rela, bukan semata-mata kerana mengharapkan balasan atau ganjaran tertentu. Hakikatnya, sebahagian manusia cenderung mengaitkan ketaatan dengan nazar yang bergantung kepada tercapainya manfaat atau terhindarnya mudarat. Sikap sebegini mencerminkan sifat kedekut dalam beribadah, seseorang hanya terdorong untuk taat apabila ada pulangan yang dijanjikan, seperti kesembuhan daripada penyakit atau tercapainya hajat tertentu, bukan kerana kecintaan dan ketundukan yang tulus kepada Allah.

Penutup

Kesimpulannya, nazar bukanlah amalan yang dianjurkan secara mutlak, tetapi ia menjadi wajib ditunaikan jika melibatkan ketaatan dan telah dilafazkan. Umat Islam disarankan agar berhati-hati sebelum bernazar, memahami hukumnya, dan tidak menjadikan nazar sebagai jalan untuk menyulitkan diri sendiri. Sebaiknya, perbanyakkan doa dan tawakal kepada Allah tanpa perlu mengikat diri dengan janji yang tidak perlu.

WaAllahu a‘lam.

Bacaan lanjut: 

Bernazar Tanda Orang Bakhil?

Hukum Bernazar Tidak Memotong Rambut

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑