Teks Khutbah Jumaat (JAKIM): Halal Benteng Keutuhan Akidah

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُوا۟ مِمَّا فِى ٱلْأَرْضِ حَلَـٰلًۭا طَيِّبًۭا وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌ(١٦٨) 

 “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu..”

(Surah Al-Baqarah 2:168)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Takwa bukan hanya menjauhi larangan, tetapi memilih yang halal dalam setiap urusan hidup. Halal bukan sekadar label di bungkusan makanan bahkan ia adalah cermin iman, penanda taatnya seorang hamba kepada Tuhannya. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 168 yang dibacakan tadi bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu..” 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, 

Halal adalah benteng akidah dan penjaga hati. Setiap suapan makanan halal membawa ketenangan jiwa, sedang setiap rezeki haram menggelapkan hati. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tirmizi: “Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka neraka lebih utama baginya.” 

Oleh itu, halal bukan hanya apa yang masuk ke perut, tetapi apa yang kita hasilkan, jual, dan cari. Makanan halal menyuburkan iman, sementara rezeki haram memadamkan cahaya takwa. 

Dalam dunia moden yang penuh pilihan ini, cabaran halal semakin kompleks. Sehingga hari ini, lebih daripada 200 aduan berkaitan penyalahgunaan logo halal diterima oleh JAKIM setiap tahun termasuk produk tiruan dan penggunaan simbol yang mengelirukan. 

Di era digital pula, penipuan halal muncul di hujung jari, video masakan “viral” tanpa sumber, promosi makanan luar negara tanpa pensijilan, dan budaya “asalkan sedap, kita redah”. Ingatlah, Islam menuntut kita berhati-hati. Langkah seperti menyemak status halal melalui Portal Halal Malaysia adalah jihad pengguna moden. 

Dalam dunia yang menghalalkan segalanya atas nama trend, sikap berhati-hati menjadi benteng iman kita. 

Sidang Jumaat yang dikasihi, 

Kita sering melihat halal sebagai hukum makanan, sedangkan ia sebenarnya gaya hidup. Halal bermula dari pekerjaan yang jujur, gaji yang bersih, urus niaga tanpa penipuan, dan penggunaan teknologi tanpa unsur dosa. Menjaga halal dalam rezeki bukan hanya tanggungjawab peniaga, tetapi seluruh ummah. 

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima melainkan yang baik.” Halal dan toyyib bukan slogan industri, tetapi prinsip kehidupan. Apabila halal dijadikan budaya, ekonomi akan bersih, doa lebih mustajab, dan masyarakat hidup penuh barakah. 

Halal juga membentuk ekosistem ekonomi yang diberkati. Industri halal global kini dianggarkan bernilai lebih USD 3 trilion dan dijangka meningkat kepada USD 5 trilion menjelang 2030, dan Malaysia hari ini telah berada di depan menjadi peneraju dunia dalam pensijilan halal. 

Namun, keberkatan itu hanya akan kekal jika kita memelihara nilai kejujuran, amanah dan integriti dalam seluruh rantaian halal. Pengusaha mesti telus, pengguna mesti cakna, dan kerajaan mesti tegas. Kita tidak mahu menjadi masyarakat yang mengejar untung tetapi kehilangan berkat. Kerana rezeki yang tidak halal bukan sahaja mencemari perut, tetapi melemahkan doa, memadam keberkatan dan merosakkan generasi. 

Sidang Jumaat yang dikasihi, 

Halal bukan hanya untuk diri, tetapi untuk membina ummah. Rezeki halal membina rumah tangga sakinah, masyarakat jujur, dan negara yang aman. Sebaliknya, apabila halal dipermainkan akan menyebabkan kemudaratan kepada kehidupan. 

Dalam dunia digital juga, umat Islam perlu menjadi pengguna bijak dengan bukan hanya mengambil makanan yang halal, tetapi berfikir secara halal. Tonton yang bersih, kongsi yang baik, bekerja dengan jujur, dan belanjakan rezeki dengan penuh tanggungjawab. Inilah maksud sebenar hidup berprinsip dalam dunia tanpa sempadan. 

Marilah kita merenung firman Allah SWT dalam Surah al-Mu’minun ayat 51:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلرُّسُلُ كُلُوا۟ مِنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَٱعْمَلُوا۟ صَـٰلِحًا ۖ إِنِّى بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌۭ (٥١)

 “Wahai para Rasul! Makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” 

Ayat ini menegaskan hubungan erat antara halal dan amal soleh. Makanan yang halal melahirkan amal yang diterima; rezeki yang bersih membuka jalan kepada keberkatan hidup. Sebagai penutup khutbah, Marilah kita menilai kembali bagaimana kita mencari, membelanjakan dan menikmati rezeki. Jangan hanya halal pada makanan, tetapi juga halal pada niat dan cara hidup. Jadikan halal bukan sekadar label, tetapi prinsip yang membentuk keperibadian dan maruah. Sesungguhnya, rezeki yang halal itu sedikit pun lebih berharga daripada rezeki haram yang melimpah ruah. Kerana dari suapan yang halal lahir doa yang diterima, anak yang soleh, dan masyarakat yang diredhai Allah. 

Khutbah hari ini dirumuskan dengan tiga perkara: 

  1. Halal ialah cermin iman dan benteng akidah. Menjaga halal bermakna menjaga hati daripada kerosakan dan jiwa daripada noda.
  2. Halal ialah asas keberkatan dan kebahagiaan. Setiap rezeki halal membawa doa yang diangkat dan hidup yang tenang. 
  3. Halal ialah tanggungjawab bersama. Peniaga, pengguna, keluarga dan masyarakat mesti berganding bahu membina budaya halal sebagai identiti ummah.

Tarikh Dibaca: 28 Jamadilakhir 1447H / 19 Disember 2025 

Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑