Oleh: Mymuslimin.com
Di Lenggeng, Negeri Sembilan, terselit satu hidangan tradisi yang semakin jarang ditemui tetapi masih mampu memikat selera, Nasi Lemak Ikan Sembilang. Berbeza daripada nasi lemak kebiasaan yang dihidangkan bersama ayam goreng atau sambal sotong, keistimewaan nasi lemak di sini terletak pada penggunaan ikan sembilang, sejenis ikan sungai yang terkenal dengan rasa lemak manis dan isi yang lembut.
Nasi Lemak Ikan Sembilang dihidangkan bersama ikan sembilang masak lemak yang dimasak dengan bunga kantan, menghasilkan aroma yang wangi dan rasa yang cukup seimbang. Satu kelainan yang benar-benar wajar dicuba. Bagi yang kurang berani mencuba ikan sembilang, pilihan lauk lain tetap tersedia seperti ayam goreng, rendang, paru dan sebagainya. Namun, kerana namanya sendiri “ikan sembilang”, kami mencuba juga sepinggan. Ternyata tidak mengecewakan cuma perlu sedikit berhati-hati dengan tulang ikan, terutama bagi yang kurang biasa menikmati ikan sungai.
Selain nasi lemak, pelbagai lauk lain dan kuih-muih turut ditawarkan, dan di hadapan gerai terdapat jualan ayam percik yang sememangnya patut dicuba, rasanya memang sedap dan berbaloi.
Gerai Nasi Lemak Ikan Sembilang ini terletak di tepi sungai yang airnya jernih dan suasananya cukup mendamaikan. Mungkin tidak seglamor kafe hipster di bandar besar, namun dari segi rasa, hidangannya benar-benar menepati selera orang kita, ringkas, tradisional dan penuh nostalgia.





Leave a comment