Teks Khutbah Jumaat (Jakim): Tingkatkan Ilmu, Manfaatkan Waktu 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا۟ فِى ٱلْمَجَـٰلِسِ فَٱفْسَحُوا۟ يَفْسَحِ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَـٰتٍۢ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ(١١) 

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”

(Surah Al-Mujadalah 58:11) 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Takwa bukan sekadar menjaga larangan dan perintah-Nya, tetapi juga bagaimana kita memanfaatkan setiap detik kehidupan untuk menambah ilmu, beramal dengan hikmah dan menyebar manfaat kepada orang lain.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Mujadalah ayat 11 yang dibacakan khatib tadi bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.” 

Khutbah pada hari ini bertajuk: “Tingkatkan Ilmu, Manfaatkan Waktu”. 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, 

Ilmu adalah cahaya yang menerangi kehidupan. Dengan ilmu, manusia mengenal Tuhannya, memahami hakikat dunia, dan menunaikan amanah kehidupan dengan penuh makna. Tanpa ilmu, manusia akan mudah hanyut dalam kejahilan dan hawa nafsu.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Majah: “Menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap Muslim” Namun ilmu bukan sekadar hafalan atau kelulusan di atas kertas. Ilmu yang diberkati ialah ilmu yang melahirkan adab, menumbuhkan kasih, dan menjadikan manusia lebih tunduk kepada Allah.

Imam al-Ghazali pernah menegaskan: “Ilmu tanpa adab adalah kebinasaan dan adab tanpa ilmu adalah kesesatan” 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Masa adalah modal kehidupan. Setiap detik yang berlalu tanpa ilmu dan amal ialah kehilangan yang tidak dapat diganti. Apabila ilmu diabaikan dan masa disia-siakan, manusia akan kehilangan arah. Maka lahirlah kekeliruan dalam berfikir dan kekosongan dalam beriman. Hari ini kita melihat pelbagai fahaman dan ideologi cuba menyesatkan umat. Ada yang menolak fitrah, menormalisasi maksiat atas nama hak dan kebebasan, bahkan mempersenda hukum Allah yang suci. Semua ini berpunca daripada ilmu yang tidak berpaksikan iman dan akal yang tidak tunduk kepada wahyu. 

Dalam masa yang sama, gejala sosial semakin parah, kadar perceraian meningkat, keluarga kian longgar hubungan, dan kasih sayang hilang makna. Apabila rumah tangga runtuh, masyarakat turut goyah dan apabila masyarakat hilang panduan beragama, dosa dianggap budaya. Inilah saatnya kita kembali memperkukuh ilmu akidah dan kefahaman agama agar umat tidak hanyut dalam arus pemikiran songsang. Ilmu yang sahih ialah benteng iman, penyuluh hati, dan penyelamat keluarga serta ummah di masa depan. 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, 

Kita hidup dalam zaman maklumat yang laju, tetapi kefahaman yang semakin dangkal. Segala ilmu boleh dicapai di hujung jari, namun kebijaksanaan tidak datang tanpa mujahadah. Anak-anak kita mungkin cemerlang akademik, tetapi belum tentu kukuh adab dan rohaninya. Hari ini kadar celik digital negara sudah mencapai lebih 80%, namun yang kita bimbangkan, maklumat banyak, tetapi hikmah semakin kurang.

Ramai yang sibuk menggenggam gajet, tetapi tidak menggenggam masa untuk ilmu yang bermanfaat. Maka, cabaran zaman ini bukan kurang maklumat, tetapi hilang keupayaan menapis yang benar daripada yang sia-sia. Tanggungjawab mendidik generasi berilmu bukan hanya tugas sekolah, tetapi amanah seluruh ummah. Rumah ialah madrasah pertama, ibu bapa adalah guru pertama dan kasih sayang adalah asas pertama. Didiklah anak-anak dengan ilmu yang membina akal dan iman. Bimbing mereka agar tahu beza antara pintar dan beradab, antara pandai dan beriman. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Menghargai ilmu bukan sekadar membaca buku, tetapi membuka hati. Manfaatkan waktu bukan sekadar mengurus jadual, tetapi menilai makna kehidupan. Kita mesti berfikir apakah sumbangan ilmu kita kepada ummah? Apakah masa kita dihabiskan untuk membina sesuatu yang bermanfaat, atau hanya berlalu dalam kelalaian? 

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar merumuskan khutbah hari ini kepada tiga perkara;

  • Tingkatkan ilmu yang sahih dan beradab, kerana ilmu berpaksikan iman ialah cahaya yang memelihara akidah dan akhlak umat. 
  • Hargai masa dengan ilmu dan amal, kerana waktu yang disia-siakan melahirkan kekosongan iman dan kerosakan masyarakat. 
  • Didik generasi berilmu dan beriman sebagai amanah bersama, bermula dari rumah agar lahir masa depan ummah yang kukuh dan berakhlak. 

Marilah kita mendidik diri agar menghargai waktu dan mencintai ilmu. Ilmu tanpa amal adalah kegelapan, amal tanpa ilmu adalah kesesatan, dan waktu tanpa kedua-duanya adalah kerugian. Menginsafi diri bahawa kita bakal melangkah ke tahun 2026, inilah masa terbaik untuk bermuhasabah. Tahun yang berlalu menjadi cermin menilai sejauh mana ilmu telah diamalkan dan masa telah dimanfaatkan.

Jadikanlah tahun 2025 berlalu sebagai muhasabah untuk menjadikan tahun 2026 bermula dengan azam untuk menjadi hamba Allah yang lebih berilmu, berdisiplin dengan waktu dan lebih banyak memberi manfaat kepada ummah. Kerana di tangan umat yang berilmu dan berakhlak, di situlah terbinanya masa depan ummah kelak.

Tarikh Dibaca: 5 Rejab 1447H / 26 Disember 2025 

Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia 

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑