Soalan
Apakah cara yang betul untuk melupuskan kertas yang mengandungi nama Allah SWT dan Rasulullah SAW, tetapi tidak mengandungi ayat al-Quran atau hadis? Adakah kaedah pelupusannya sama seperti mushaf al-Quran, atau terdapat cara lain? Jika tulisan tersebut dipadam menggunakan cecair penanggal dakwat, adakah kertas itu masih perlu dibakar atau dilupuskan dengan cara tertentu?
Penjelasan
Pada asasnya, tulisan yang mengandungi nama Allah SWT atau Rasul-Nya hendaklah diperlakukan dengan penuh penghormatan bagi menjaga kemuliaan lafaz tersebut. Oleh itu, kaedah pelupusan yang bertujuan mengelakkan penghinaan atau pencemaran adalah dituntut dalam Islam.
Sekiranya tulisan tersebut dipadam atau dihilangkan sepenuhnya menggunakan bahan seperti cecair penanggal dakwat sehingga tidak lagi kelihatan atau boleh dibaca, maka tujuan menjaga kehormatan nama Allah telah tercapai dan kertas tersebut tidak lagi dihukum sebagai mengandungi lafaz suci. Dalam keadaan ini, tidak wajib lagi untuk membakar atau menanamnya.
Walau bagaimanapun, jika seseorang memilih untuk membakar atau menanam kertas tersebut sebagai langkah berhati-hati dan bagi lebih menjaga adab terhadap kalimah suci, maka perbuatan tersebut adalah harus dan termasuk dalam sikap memuliakan syiar agama.
Justeru, pelupusan kertas yang mengandungi nama Allah atau Rasul-Nya boleh dilakukan dengan apa jua cara yang memastikan tulisan tersebut tidak lagi boleh dibaca atau disalahgunakan, sama ada melalui pembakaran, penanaman, atau penghapusan tulisan, selagi mana tujuannya adalah untuk menjaga kehormatan kalimah tersebut.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Kewajipan Memelihara Kemuliaan Kalimah Suci
Islam meletakkan kedudukan yang tinggi terhadap kalimah suci, khususnya nama Allah SWT dan Rasulullah SAW, serta lafaz-lafaz yang mengandungi ayat al-Quran. Firman Allah SWT:
وَلِلَّهِ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ فَٱدۡعُوهُ بِهَاۖ وَذَرُواْ ٱلَّذِينَ يُلۡحِدُونَ فِيٓ أَسۡمَٰٓئِهِۦۚ سَيُجۡزَوۡنَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ
Maksudnya: Dan Allah mempunyai nama- nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.
[Surah al-A’raaf: 180]
Imam al-Ghazali dalam kitabnya telah menjelaskan bahawa:
اعْلَم أَن هَذَا الإسم أعظم أَسمَاء الله عز وجل التِّسْعَة وَالتسْعين لِأَنَّهُ دَال على الذَّات الجامعة لصفات الإلهية كلهَا حَتَّى لَا يشذ
Maksudnya: Ketahuilah bahawa nama ini adalah yang paling agung di antara 99 nama Allah SWT, kerana ia menunjukkan Zat yang merangkum semua sifat ketuhanan sehingga tidak ada satu pun sifat yang terasing daripadanya. [Rujuk: al-Maqsad al-Asna, jld. 1, hlm. 61]
Setiap kalimah ini wajib dipelihara kesuciannya daripada sebarang bentuk penghinaan, pencemaran atau perbuatan yang menjejaskan kemuliaannya, sama ada secara sengaja mahupun tidak. Hal ini demikian kerana, memuliakan syiar-syiar Allah SWT termasuk dalam tuntutan iman dan tanda ketakwaan seorang Muslim.
Firman Allah SWT:
ذَٰلِكَۖ وَمَن يُعَظِّمۡ شَعَٰٓئِرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقۡوَى ٱلۡقُلُوبِ
Maksudnya: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.
[Surah al-Hajj: 32]
Justeru, para ulama turut membahaskan secara terperinci perbuatan-perbuatan yang dianggap sebagai penghinaan terhadap kalimah suci. Imam Syihabuddin Ahmad al-Qalyubi dalam kitabnya:
قوله: (كإلقاء مصحف بقاذورة) بالفعل، أو بالعزم، والتردد فيه، ومسه بها كإلقائه فيها، وألحق بعضهم به وضع رجله عليه، ونوزع فيه، والمراد بالمصحف ما فيه قرآن، ومثل المصحف الحديث، وكل علم شرعي، أو ما عليه اسم معظم، ولا بد في غير القرآن من قرينة تدل على الإهانة، وإلا فلا.
Maksudnya: Beliau berkata: (seperti mencampakkan mushaf ke dalam tempat kotor), sama ada dilakukan secara perbuatan, niat atau dengan rasa ragu-ragu terhadap perbuatan itu. Dan menyentuh mushaf dengan najis adalah seperti mencampakkannya ke dalamnya. Sebahagian ulama turut menyamakan perbuatan meletakkan kaki di atasnya dengan perbuatan tersebut, namun perkara ini diperselisihkan. Yang dimaksudkan dengan mushaf ialah segala sesuatu yang mengandungi al-Quran. Begitu juga dihukumkan seperti mushaf ialah kitab hadis, dan setiap ilmu syarie atau apa-apa yang tertulis padanya nama yang dimuliakan. Namun bagi selain al-Quran mestilah ada petunjuk yang jelas yang menunjukkan unsur penghinaan; jika tidak, maka tidak dihukumkan demikian. [Rujuk: Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah, jld. 4, hlm. 177]
Imam al-Dusuqi dalam syarahnya menjelaskan bahawa:
وَالْمُرَادُ بِالْمُصْحَفِ مَا فِيهِ قُرْآنٌ وَلَوْ كَلِمَةً، وَمِثْلُ ذَلِكَ تَرْكُهُ بِهِ أَيْ عَدَمُ رَفْعِهِ إنْ وَجَدَهُ بِهِ؛ لِأَنَّ الدَّوَامَ كَالِابْتِدَاءِ فَأَرَادَ بِالْفِعْلِ مَا يَشْمَلُ التَّرْكَ إذْ هُوَ فِعْلٌ نَفْسِيٌّ وَمِثْلُ الْقُرْآنِ أَسْمَاءُ اللَّهِ وَأَسْمَاءُ الْأَنْبِيَاءِ، وَكَذَا الْحَدِيثُ كَمَا هُوَ ظَاهِرٌ
Maksudnya: Dan yang dimaksudkan dengan mushaf ialah apa sahaja yang mengandungi al-Quran, walaupun hanya satu perkataan. Begitu juga, meninggalkannya (tidak mengangkat atau menghormatinya) apabila dijumpai termasuk meninggalkannya kerana kelangsungan hukum sama seperti permulaan hukum. Maksudnya, perbuatan itu merangkumi tinggal secara fizikal atau mental, kerana perbuatan itu bersifat nafsi (jiwa). Sama seperti al-Quran juga ialah nama-nama Allah dan nama-nama Nabi, serta hadis seperti yang zahir. [Rujuk: Hasyiah al-Dasuqi ala al-Syarh al-Kabir, jld. 4, hlm. 301]
Pelupusan al-Quran dan Bacaan yang Mengandungi Ayat-ayat al-Quran
Para ulama telah membincangkan mengenai kaedah pelupusan al-Quran apabila ia rosak dan tidak lagi digunakan bagi memastikan tindakan yang diambil selari dengan adab dan hukum syarak, demi memelihara kesucian serta kehormatannya daripada sebarang bentuk penghinaan atau kecuaian.
Di antara kaedah yang telah disarankan oleh para ulama adalah dengan membakarnya berpandukan kepada apa yang telah dilakukan oleh Saidina Uthman r.a ketika proses pengumpulan al-Quran. Beliau telah memerintahkan untuk mengumpulkan mushaf yang dimansuhkan dan membakarnya demi menjaga kesucian al-Quran.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a:
أن عثمان بن عفان رضي الله عنه :أَمَرَ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ ، وَعَبْدَ اللَّهِ بْنَ الزُّبَيْرِ ، وَسَعِيدَ بْنَ الْعَاصِ ، وَعَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ الْحَارِثِ بْنِ هِشَامٍ ، فَنَسَخُوهَا فِى الْمَصَاحِفِ ، وَقَالَ عُثْمَانُ لِلرَّهْطِ الْقُرَشِيِّينَ الثَّلاَثَةِ : إِذَا اخْتَلَفْتُمْ أَنْتُمْ وَزَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ فِي شَيءٍ مِنَ الْقُرْآنِ فَاكْتُبُوهُ بِلِسَانِ قُرَيْشٍ ، فَإِنَّمَا نَزَلَ بِلِسَانِهِمْ ، فَفَعَلُوا ، حَتَّى إِذَا نَسَخُوا الصُّحُفَ فِي الْمَصَاحِفِ رَدَّ عُثْمَانُ الصُّحُفَ إِلَى حَفْصَةَ ، وَأَرْسَلَ إِلَى كُلِّ أُفُقٍ بِمُصْحَفٍ مِمَّا نَسَخُوا ، وَأَمَرَ بِمَا سِوَاهُ مِنَ الْقُرْآنِ فِي كُلِّ صَحِيفَةٍ أَوْ مُصْحَفٍ أَنْ يُحْرَقَ
Maksudnya: Sesungguhnya Uthman bin Affan r.a memerintahkan Zaid bin Thabit, Abdullah bin al-Zubair, Sai’d bin al- ‘As dan Abdul Rahman bin al-Harith bin Hisyam supaya menulis semula dalam bentuk salinan mushaf yang sempurna. Lalu Uthman berkata kepada tiga orang Quraish tersebut: Sekiranya kamu berselisih pendapat dengan Zaid bin Thabit berkaitan sesuatu hal di dalam al-Quran, maka tulislah ia dengan bahasa Quraish kerana sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dengan bahasa mereka. Maka, mereka pun melaksanakannya. Setelah mereka selesai menyalin helaian-helaian (suhuf) ke dalam mushaf, Uthman memulangkan semula suhuf tersebut kepada Hafsah, dan dikirim ke seluruh pelusuk dunia, kemudian memerintahkan supaya segala mushaf selain daripada mushaf yang asal agar dibakar.
[Sahih al-Bukhari (4987)]
Imam Badruddin al- ‘Aini dalam mensyarahkan hadis di atas menukilkan pandangan Ibn Battal dengan menyatakan:
فِي هَذَا الحَدِيث جَوَاز تحريق الْكتب الَّتِي فِيهَا اسْم الله، عز وَجل، بالنَّار وَإِن ذَلِك إكرام لَهَا وصون عَن وَطئهَا بالأقدام، وَقيل: هَذَا كَانَ فِي ذَلِك الْوَقْت، وَأما الْآن فالغسل إِذا دعت الْحَاجة إِلَى إِزَالَته
Maksudnya: Pada hadis ini menyatakan harus membakar kitab yang terdapat padanya nama Allah SWT dengan api kerana memuliakannya dan menjaganya daripada dipijak. Pada pandangan yang lain menyatakan: pendapat ini merupakan pada masa itu, ada pun pada masa sekarang, maka dengan membasuhnya apabila berhajat untuk menghilangkan tulisannya. [Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, jld. 20, hlm.19]
Imam al-Dusuqi dalam kitabnya menyebutkan bahawa:
وَحَرْقُ مَا ذُكِرَ إنْ كَانَ عَلَى وَجْهِ الِاسْتِخْفَافِ فَكَذَلِكَ، وَإِنْ كَانَ عَلَى وَجْهِ صِيَانَتِهِ فَلَا ضَرَرَ بَلْ رُبَّمَا وَجَبَ
Maksudnya: Jika membakar sesuatu yang disebut (nama Allah, Nabi atau ayat) dilakukan atas unsur penghinaan, hukumnya sama; tetapi jika dilakukan atas unsur memelihara dan menghormati, tiada kemudaratan ke atasnya, malah mungkin wajib. [Rujuk: Hasyiah al-Dasuqi ala al-Syarh al-Kabir, jld. 4, hlm. 301]
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke 30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992 menyatakan bahawa cara pembakaran adalah seperti berikut:
- Bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang dibakar hendaklah menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar.
- Bahan-bahan atau debu yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran yang telah dibakar hendaklah dipastikan di kumpul supaya tidak ditiup angin atau bersepah.
- Bahan yang telah dibakar hendaklah ditanam pada tempat yang bersih atau tempat yang tidak dilalui orang atau dibuang ke dalam laut/sungai yang mengalir airnya.
- Kerja-kerja pembakaran hendaklah dikawal selia oleh pegawai Jabatan Agama atau pihak yang mahu melupuskan bahan-bahan tersebut.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan yang telah dikongsikan, dapat dirumuskan bahawa bahan bertulis yang mengandungi nama Allah SWT dan Rasulullah SAW, walaupun tidak mengandungi ayat al-Quran atau hadis, tetap termasuk dalam kategori kalimah yang dimuliakan dan wajib dipelihara kehormatannya daripada sebarang bentuk penghinaan atau kecuaian.
Justeru, mengambil pendekatan pelupusan yang sama seperti kaedah pelupusan al-Quran merupakan langkah yang lebih selamat dan berhati-hati. Kaedah ini tidak bercanggah dengan syarak, malah termasuk dalam usaha memelihara kehormatan kalimah suci daripada sebarang bentuk penghinaan, sama ada secara sengaja atau tidak disengajakan. Bahkan, pendekatan sedemikian selaras dengan tuntutan syarak dalam memelihara dan mengagungkan syiar-syiar Allah SWT.
Sekiranya tulisan tersebut dipadam sepenuhnya menggunakan cecair penanggal dakwat sehingga kesan nama Allah SWT dan Rasulullah SAW tidak lagi kelihatan atau dapat dibaca, maka tujuan pelupusan dianggap telah tercapai dari sudut syarak. Dalam keadaan ini, kertas tersebut tidak lagi dihukum sebagai mengandungi kalimah yang dimuliakan, justeru tidak diwajibkan lagi untuk dilupuskan mengikut kaedah khas seperti pembakaran atau penanaman.
Walau bagaimanapun, sekiranya selepas proses pemadaman tersebut masih dilakukan pembakaran atau penanaman sebagai langkah berjaga-jaga, maka perbuatan tersebut adalah dibenarkan, malah dianggap sebagai satu bentuk ihtiyat yang terpuji.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintahNya. Amin.
Wallahuaklam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment