Soalan
Bagaimanakah cara yang lebih tepat dan beradab untuk menulis tentang kaum Nabi Luth AS, memandangkan wujud kecenderungan sebahagian pihak menggunakan kisah tersebut secara negatif sehingga seolah-olah memperkotak-katikkan Nabi Luth AS? Sedangkan perbuatan songsang itu dilakukan oleh kaum yang ingkar, bukan oleh Nabi Luth AS atau para pengikutnya. Apakah pendekatan penulisan yang lebih sesuai apabila membicarakan kisah pada zaman tersebut?
Penjelasan
Berdasarkan persoalan yang dikemukakan, adalah penting untuk ditegaskan bahawa para nabi merupakan insan pilihan Allah SWT yang dimuliakan serta dipelihara daripada segala bentuk penyimpangan akidah dan akhlak. Oleh itu, penggunaan istilah atau ungkapan yang boleh mengaitkan nama Nabi Luth AS dengan perbuatan keji kaumnya adalah suatu kekeliruan yang wajar diperbetulkan.
Hakikatnya, perbuatan songsang tersebut adalah perbuatan kaum Nabi Luth yang ingkar terhadap perintah Allah, sedangkan Nabi Luth AS sendiri diutus untuk menasihati, menegur dan mencegah perbuatan tersebut. Al-Quran dengan jelas membezakan antara kedudukan seorang nabi yang maksum dengan perilaku umat yang menentang dakwahnya.
Oleh itu, dalam penulisan atau perbincangan awam, adalah lebih tepat dan beradab untuk menggunakan ungkapan seperti “kaum Nabi Luth yang ingkar” atau “perbuatan kaum yang menentang dakwah Nabi Luth”, dan bukannya menyandarkan perbuatan tersebut secara langsung kepada Nabi Luth AS sendiri.
Pendekatan ini bukan sahaja lebih tepat dari sudut akidah dan disiplin ilmu, bahkan mencerminkan penghormatan terhadap martabat para nabi serta kepekaan terhadap adab dalam menyampaikan sesuatu isu agama kepada masyarakat.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.
Pendahuluan
Sejarah para nabi yang dirakamkan dalam al-Quran adalah untuk menjadi teladan dan pengajaran (ibrah). Walau bagaimanapun, dalam konteks masyarakat hari ini, sering kali wujud kekhilafan bahasa apabila nama Nabi Luth AS dikaitkan secara langsung dengan perbuatan songsang kaumnya sehingga menimbulkan pandangan negatif terhadap peribadi baginda. Sebagai umat Islam yang beradab, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memisahkan antara kesucian seorang Nabi dengan kerosakan akhlak kaum yang menderhakainya.
Kedudukan Nabi Luth AS adalah seorang rasul yang maksum (terpelihara daripada dosa) dan diutus khusus untuk membanteras perbuatan keji yang tidak pernah dilakukan oleh kaum-kaum sebelumnya. Penggunaan istilah “Kaum Nabi Luth” dalam nada mencemuh sering kali mengabaikan fakta bahawa Nabi Luth AS menghabiskan hayatnya dalam perjuangan yang penuh duka untuk membawa mereka kembali ke jalan Allah.
Allah SWT merakamkan ketegasan Nabi Luth AS dalam Surah asy-Syu’ara, ayat 168:
قَالَ إِنِّي لِعَمَلِكُم مِّنَ الْقَالِينَ
Maksudnya: Luth berkata: ‘Sesungguhnya aku termasuk orang yang sangat benci terhadap perbuatanmu’.
[Surah asy-Syu’ara: 168]
Adab Terhadap Para Anbiya’
“Kaum Nabi Luth” merujuk kepada bangsa yang didakwah oleh baginda. Namun, apabila istilah ini digunakan oleh netizen untuk merujuk kepada golongan LGBT dengan nada penghinaan, ia seolah-olah mempermainkan nama seorang Nabi. Kita perlu berhati-hati agar nama seorang pesuruh Allah tidak disamakan dengan jenayah seksual yang berlaku pada zaman baginda.
Menghormati Nabi Luth AS bermakna kita mengakui kesucian baginda dan tidak membiarkan nama baginda terpalit dengan kekotoran perbuatan yang baginda sendiri mohon pada Allah SWT agar diselamatkan daripadanya.
Nabi Luth AS berdoa sebagaimana dalam Surah asy-Syu’ara, ayat 169:
رَبِّ نَجِّنِي وَأَهْلِي مِمَّا يَعْمَلُونَ
Maksudnya: Ya Tuhanku, selamatkanlah aku beserta keluargaku dari (akibat) perbuatan yang mereka kerjakan
[Surah asy-Syu’ara: 169]
Nama Nabi Luth Bukan “Label” Maksiat: Membetulkan Adab Kita Dalam Berbicara
Para Nabi memiliki sifat ‘Ismah (terpelihara daripada dosa dan cela). Apabila kita menggunakan istilah “Kaum Nabi Luth” dalam nada mencemuh tanpa penjelasan yang betul, kita sebenarnya sedang melakukan kesilapan dalam menyandarkan keburukan. Dalam Islam, kita dilarang menghubungkan nama seorang Nabi dengan sesuatu yang kotor secara langsung. Syariat menuntut kita untuk tabayyun (jelas).
Secara tidak langsung, ini soal hubungan jiwa kita dengan para utusan Allah. Nama para Nabi adalah nama-nama yang mulia. Hakikatnya, setiap kali kita menyebut nama Nabi Luth AS, yang sepatutnya terbayang di fikiran adalah kekuatan iman, kesabaran baginda menghadapi ujian, dan kesucian akhlak baginda.
Namun, apabila netizen menjadikan nama baginda sebagai bahan jenaka atau label negative. Sepatutnya kita perlu memahami bahawa Nabi Luth AS bersih daripada segala kekotoran dosa itu. Jadi, secara hukumnya, tidak wajar sama sekali kita sandarkan perbuatan keji itu terus kepada nama baginda. Secara tidak langsung, ini soal adab kita bahawa nama para Nabi ini suci. Sepatutnya nama baginda disebut dengan rasa hormat sebagai pejuang umat, bukan sebagai label untuk dosa.
Oleh itu, berdasarkan pertanyaan yang diajukan, cara menulis dengan lebih beradab daripada kita tulis: “Jangan jadi macam kaum Nabi Luth,” (yang menampakkan hubungan akrab antara nama Nabi dengan dosa tersebut), lebih baik kita tukar kepada cara yang lebih beradab dengan menggunakan istilah perbuatan iaitu “pelaku liwat” atau “golongan songsang”. Ia lebih tepat sasaran tanpa memetik nama Nabi.
Wujudkan jurang pemisah dengan menyebut “kaum yang menderhakai Nabi Luth” atau “golongan yang melawan dakwah Nabi Luth“. Ayat sebegini dengan jelas menunjukkan Nabi Luth di satu pihak (kebenaran) dan mereka di pihak yang lain (kebatilan). Akhir sekali, dengan mengingat kembali penegasan al-Quran sendiri yang merakamkan betapa Nabi Luth AS sangat berlepas diri daripada mereka berdasarkan firman Allah SWT yang dinyatakan.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, isu ini bukan sekadar tentang ketepatan istilah, tetapi ia melibatkan adab dan akidah kita terhadap para Anbiya’. Kita perlu sedar bahawa perbuatan songsang tersebut adalah perbuatan kaum yang menderhaka, manakala Nabi Luth AS adalah insan yang menentang kemungkaran tersebut. Maka, tidak wajar untuk kita “menghukum” nama Nabi atas dosa yang dilakukan oleh musuh-musuh baginda.
Berhentilah menjadikan nama Nabi Luth sebagai label atau bahan jenaka untuk maksiat. Gunakanlah istilah yang lebih tepat seperti “Golongan yang menderhakai Nabi Luth” bagi mewujudkan jurang yang jelas antara kebenaran dan kebatilan.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintahNya.
Wallahuaklam.
Sumber: eKemusykilan Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment