Soalan
Apakah hukum dan tatacara mengurus barang yang dijumpai apabila pemiliknya tidak diketahui? Dalam satu keadaan, seseorang telah menjumpai barangan kemas di tempat awam, namun tidak mengetahui cara untuk menghebahkan penemuan tersebut dan menyimpannya dalam tempoh yang lama. Disebabkan kesempitan kewangan, barangan tersebut akhirnya digunakan selepas dipastikan ketulenannya. Apakah hukum penggunaan barangan yang dijumpai ini, dan bagaimanakah cara untuk menggantikan atau membayar semula nilai barangan tersebut sekiranya pemilik asal tidak diketahui sehingga kini?
Penjelasan
Berdasarkan situasi yang dinyatakan, barang kemas yang dijumpai tersebut termasuk dalam kategori luqaṭah (barang temuan). Pada asalnya, seseorang yang menjumpai harta hendaklah berusaha mengenal pasti pemiliknya dengan membuat hebahan yang munasabah dalam tempoh tertentu sebelum boleh memanfaatkannya.
Dalam keadaan seseorang telah menggunakan barang kemas tersebut kerana keperluan mendesak, maka beliau bertanggungjawab untuk menggantikan semula nilai barang tersebut sekiranya pemilik asal tampil menuntutnya pada bila-bila masa. Gantian tersebut hendaklah berdasarkan nilai semasa dan setara dari sudut jenis serta berat barang yang digunakan.
Di samping itu, bagi menunaikan tanggungjawab amanah, mereka yang menemui barang kemas tersebut juga disarankan untuk memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berautoriti, seperti Majlis Agama Islam Negeri, agar urusan berkaitan harta luqatah dapat direkodkan dan diuruskan dengan lebih teratur.
Kesimpulannya, penggunaan barang tersebut tanpa pengetahuan pemilik asal mewajibkan penggantian nilainya, dan langkah melaporkan kepada pihak berkuasa agama merupakan tindakan yang lebih berhati-hati serta selaras dengan tuntutan syarak.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Harta yang tercicir disebut di dalam bahasa Arab sebagai al-Luqatah. Dalam al-Mu’jam al-Wasith telah didefinisikan al-Luqatah sebagai:
اَللُّقَطَةُ هِيَ الشَّيْءُ الَّذِيْ تَجِدُهُ مُلْقىً فَتَأْخُذُهُ
Maksudnya: Luqatah ialah sesuatu yang ditemukan dalam keadaan terbiar lalu diambil oleh seseorang. [Rujuk: al-Mu’jam al-Wasith, hlm. 834]
Didefinisikan al-Luqatah dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:
اَللُّقَطَةُ شَرْعًا هِيَ اْلمَالُ الضَّائِعُ عَنْ رَبِّهِ يَلْتَقِتُهُ غَيْرُهُ، أَوِ الشَّيْءُ الَّذِيْ يَجِدُهُ الْمَرْأُ مُلْقىً فَيأْخُذُهُ أَمَانَةً
Maksudnya: Luqatah dalam syariat ialah harta yang hilang daripada pemiliknya dan ditemui oleh orang lain, atau sesuatu yang ditemukan dalam keadaan terbiar lalu diambil sebagai amanah. [Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jld. 35, hlm. 295]
Pensyariatan al-Luqatah adalah berdasarkan kepada hadis sahih Bukhari dan Muslim daripada riwayat Zaid bin Khalid al-Juhani:
سُئِلَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ عَنِ اللُّقَطَةِ، الذَّهَبِ، أَوِ الوَرِقِ؟ فَقالَ: اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا، ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً، فإنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا، وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ، فإنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فأدِّهَا إلَيْهِ، وَسَأَلَهُ عن ضَالَّةِ الإبِلِ، فَقالَ: ما لكَ وَلَهَا، دَعْهَا، فإنَّ معهَا حِذَاءَهَا وَسِقَاءَهَا، تَرِدُ المَاءَ، وَتَأْكُلُ الشَّجَرَ، حتَّى يَجِدَهَا رَبُّهَا، وَسَأَلَهُ عَنِ الشَّاةِ، فَقالَ: خُذْهَا، فإنَّما هي لَكَ، أَوْ لأَخِيكَ، أَوْ لِلذِّئْبِ. وفي رواية: أنَّ رَجُلًا سَأَلَ النبيَّ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ، عن ضَالَّةِ الإبِلِ، زَادَ رَبِيعَةُ: فَغَضِبَ حتَّى احْمَرَّتْ وَجْنَتَاهُ، وَاقْتَصَّ الحَدِيثَ بنَحْوِ حَديثِهِمْ. وَزَادَ: فإنْ جَاءَ صَاحِبُهَا فَعَرَفَ عِفَاصَهَا، وَعَدَدَهَا وَوِكَاءَهَا، فأعْطِهَا إيَّاهُ وإلَّا فَهي لَكَ
Maksudnya: Rasulullah SAW pernah ditanya tentang al-luqatah berupa emas atau perak, lalu Baginda bersabda: “Kenalilah bekasnya dan tali pengikatnya, kemudian umumkan selama setahun. Jika tidak ada yang menuntutnya, maka gunakanlah ia, namun jadikan ia amanah yang disimpan olehmu. Jika pemiliknya datang pada suatu hari nanti, maka serahkanlah kepadanya”. Baginda juga ditanya tentang unta yang sesat, lalu Baginda bersabda: “Apa urusanmu dengannya? Biarkan ia, sesungguhnya ia bersama kasutnya dan tempat airnya; ia akan pergi ke tempat air dan makan dari pokok-pokok sehingga tuannya menemuinya”. Dan apabila ditanya tentang kambing yang sesat, Baginda bersabda: “Ambillah ia, kerana ia adalah milikmu, atau milik saudaramu, atau milik serigala”. Dalam satu riwayat disebutkan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW tentang unta yang sesat, lalu Rabi’ah meriwayatkan bahawa Baginda marah sehingga pipi Baginda memerah, kemudian Baginda menyampaikan hadis yang hampir sama, dengan tambahan: “Jika datang pemiliknya dan dia mengenali bekasnya, bilangan dan ikatannya, maka serahkan kepadanya. Jika tidak, maka ia milikmu”.
[Riwayat Bukhari (2327), Muslim (1772)]
Hukum Mengambil Harta al-Luqatah
Para fuqaha mazhab Syafie telah membahagikan hukum mengambil harta al-Luqatah kepada beberapa keadaan berdasarkan situasi dan kelayakan si pemungut:
- Sunat mengambilnya sekiranya orang yang menjumpai itu seorang yang beramanah dan mampu menjaga barang tersebut, serta bimbang barang itu akan hilang atau rosak jika tidak diambil.
- Harus mengambilnya sekiranya beliau beramanah dan mampu menjaganya, serta yakin bahawa barang itu tidak akan hilang atau rosak walaupun tidak diambil.
- Wajib mengambilnya sekiranya yakin bahawa barang tersebut pasti akan hilang atau binasa sekiranya tidak diambil, dan pada masa yang sama beliau adalah orang yang beramanah dan mampu menjaganya. Ini kerana menjaga harta sesama Muslim adalah satu kewajipan.
- Makruh mengambilnya sekiranya si pemungut merasakan dirinya mungkin tidak mampu menjaga amanah tersebut pada masa akan datang.
- Haram mengambilnya bagi sesiapa yang tidak beramanah dan tidak mampu menjaga barang tersebut, kerana dikhuatiri berlaku pengkhianatan terhadap harta orang lain. [Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jld. 3, hlm. 670]
Kewajipan Hebahan Harta al-Luqatah
Setelah memahami kedudukan hukum harta yang dijumpai, penting juga dijelaskan kewajipan yang perlu dipenuhi oleh individu yang menemuinya. Menurut jumhur ulama, menghebahkan harta al- Luqatah yang mempunyai nilai yang besar adalah wajib, berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid.
Syeikh Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan dalam kitabnya berkenaan cara menghebahkan harta al-Luqatah:
المناداة عليها، أو الإعلان عنها حيث وجدها، وفي المجتمعات العامة كالأسواق وأبواب المساجد، والمقاهي
Maksudnya: Mengumumkan ke atasnya (harta al-Luqatah) atau mengiklankannya di tempat yang dijumpai, dan di tempat pengumpulan masyarakat seperti pasar, pintu masjid dan kedai-kedai makan. [Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 6, hlm. 4863]
Begitu juga dengan harta yang dijumpai kurang nilainya tetapi menjadi tumpuan orang ramai misalnya wang yang kecil nilainya. Maka, dalam situasi ini seharusnya dia mengumumkan selama mana ia merasakan pemiliknya tidak mahu lagi mencarinya. Ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Syaukani dalam kitabnya:
أن عليًا جاء إلى النبي ﷺ بدينار وجده في السوق، فقال النبي ﷺ: «عرّفه ثلاثًا»، ففعل فلم يجد أحدًا يعرفه، فقال: كله.
Maksudnya: Saidina Ali r.a berjumpa dengan Rasullullah S.A.W bertanyakan tentang satu dinar yang dijumpainya di pasar. Lalu Baginda SAW bersabda: “Umumkanlah sebanyak 3 kali”. Maka Saidina Ali melakukannya, tetapi tidak ada seorang pun yang menuntutnya, lalu Baginda SAW berkata: “Semua itu menjadi milikmu”. [Rujuk: Nayl al-Autar, jld. 11, hlm. 135].
Berdasarkan perbahasan di atas, jelas bahawa kewajipan menghebahkan harta al-Luqatah merupakan satu tuntutan, khususnya bagi harta yang mempunyai nilai yang besar dan berpotensi dituntut oleh pemilik asalnya.
Menggunakan Harta al-Luqatah Atas Alasan Terdesak
Darurat menurut Syeikh Muhammad al-Zuhaili ketika membahaskan kaedah al-darurat tubih al- mahzurat (perkara darurat mengharuskan perkara yang dilarang) menyebutkan bahawa:
“Sampainya seseorang kepada had peringkat yang jika dia tidak mengambil sesuatu yang dilarang maka akan menghasilkan kebinasaan kepada diri orang yang terdesak itu, atau hampir kepada kebinasaan, seperti hilangnya anggota, hilangnya pancaindera maka ini dianggap darurat dari sudut Hukum Syarak.” [Rujuk al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatiha fi al-Madzahib al-Arba`ah, jld.1, hlm. 276]
Justeru, sekiranya di pemungut telah sampai had darurat maka boleh baginya untuk menggunakan harta yang dijumpainya tersebut. Namun, dia wajib menggantikannya atau dengan nilainya, kerana perkara yang diharuskan kerana darurat tidak menafikan tanggungjawab membayar balik ganti rugi.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbahasan yang telah dikongsikan, maka dapat disimpulkan bahawa:
- Perbuatan mengambil harta al-Luqatah oleh seseorang yang tidak mempunyai sifat amanah dan tidak mampu untuk menjaga barang tersebut adalah haram.
- Menjadi kewajipan ke atas individu yang mengambil harta al-Luqatah untuk menghebahkannya, dan memulangkan semula barang tersebut kepada pemilik asalnya.
- Penggunaan harta al-Luqatah hanya dibenarkan sekiranya dalam keadaan darurat, namun keharusan tersebut tidak menggugurkan tanggungjawab untuk menggantikannya semula harta tersebut atau nilainya.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, dalam situasi ibu saudari yang telah menggunakan barang kemas yang dijumpai atas sebab keperluan mendesak, maka menjadi kewajipan ke atasnya untuk menggantikan semula barang kemas tersebut berdasarkan nilai semasa, yang setara dari sudut jenis dan berat asal. Kewajipan menggantikan nilai harta tersebut kekal walaupun penggunaan berlaku atas sebab darurat.
Selain itu, ibu saudari juga wajib untuk meneruskan pengiklanan barang kemas tersebut di kawasan orang ramai atau menyerahkannya kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang selaku pihak berautoriti yang menguruskan urusan harta al-Luqatah.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan segala titah perintahNya. Amin.
Wallahu’aklam.
Leave a comment