وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ(٧٧)
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.
(Surah Al-Qasas 28:77)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Takwa bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi keinsafan yang membimbing setiap langkah dan azam yang membuahkan amal. Setiap permulaan tahun baharu mengingatkan kita bahawa masa terus berlalu, dan usia semakin berkurang. Maka setiap detik yang tinggal adalah peluang terakhir untuk memperbaiki diri, menambah amal dan menunaikan janji kepada Allah.
Khutbah hari ini bertajuk: “Azam Dilaung, Amal Dijunjung”.
Kita kini berada di permulaan tahun yang baharu, satu perjalanan yang mengingatkan kita bahawa masa terus berlalu, umur terus berkurang, dan peluang untuk beramal semakin singkat. Perginya tahun lalu bukan sekadar pergantian angka, tetapi tanda bahawa sebahagian dari umur kita telah pun berlalu dan tidak akan kembali lagi.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 77 yang dibacakan khatib pada awal tadi yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.
Ayat ini menyeru kita agar tidak hanya menghitung tahun yang bertambah, tetapi menghisab diri tentang amal yang dilakukan. Soalnya hari ini adakah kita benar-benar bertambah baik, atau sekadar bertambah usia?
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Azam itu mudah disebut, tetapi susah dibuktikan. Setiap kali tahun berganti, ramai berjanji mahu berubah tetapi sedikit yang benar-benar istiqamah. Kita mahu mendekat kepada Allah, tetapi masih berani mendekati maksiat. Kita mahu memperbaiki diri, tetapi masih mengulangi kesilapan lama. Kita mahu membina keluarga bahagia, tetapi kasih dan perhatian kita masih lebih banyak di skrin telefon, media sosial, skrin televisyen dan sebagainya daripada di sisi anak-anak dan pasangan sendiri.
Azam yang sebenar bukan hanya di bibir, tetapi pada tindakan yang dilakukan. Ia bukan sekadar semangat sementara, tetapi usaha yang berterusan walau diuji. Azam yang tidak disertai amal hanyalah janji yang hilang bersama masa.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kita sedang hidup di zaman yang mencabar. Masyarakat kian tenat dengan tekanan hidup, perpecahan keluarga dan kekeliruan nilai. Media sosial sering menormalisasi maksiat, mempersendakan agama, dan menjadikan dosa bahan hiburan. Ada yang bijak dalam urusan dunia, tetapi keliru dalam urusan akhirat. Ada yang berjaya di mata manusia, tetapi gagal di sisi Allah. Inilah tanda iman yang tandus, iaitu apabila dosa tidak lagi terasa salah, dan nasihat dianggap gangguan. Apabila manusia lebih takut dikecam di media, daripada ditegur oleh Tuhan.
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Ilmu adalah pelita dalam kegelapan di akhir zaman ini. Tanpa ilmu yang benar, manusia mudah terpesong, akidah tergugat, moral tercemar, dan keluarga berpotensi untuk berpecah-belah. Hari ini kita menyaksikan bagaimana fahaman songsang menular dengan wajah moden, membawa slogan kebebasan dan kesamarataan, tetapi di baliknya tersimpan racun yang merosakkan fitrah dan maruah. Begitu juga peningkatan kadar perceraian di negara kita bukan semata-mata kerana hilangnya kasih, tetapi kerana semakin nipisnya sabar, lemahnya tanggungjawab dan pudarnya nilai agama yang sepatutnya menjadi tunjang rumah tangga. Kerana itu, azam kita bukan sekadar mahu berjaya di dunia, tetapi mahu selamat di akhirat. Dan keselamatan itu datang daripada dua perkara iaitu ilmu yang benar dan amal yang berterusan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama membina azam yang berakar pada iman. Mulakan dengan perkara kecil seperti menjaga solat di awal waktu, baca al-Quran walau satu muka, lembutkan hati dengan zikrullah, dan luangkan masa untuk keluarga. Jangan dikejar perubahan besar kalau yang kecil pun belum mampu untuk kita jaga. Kerana Allah tidak menilai berapa banyak yang kita berjaya dapatkan, tetapi sejauh mana kita telah berusaha.
Firman Allah SWT dalam Surah ar-Ra’d ayat 11:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.
Perubahan tidak datang dengan laungan, tetapi dengan kesungguhan. Ia tidak bermula dari kalendar, tetapi dari hati yang sedar dan jiwa yang ingin kembali kepada Allah.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Mari kita menjadikan tahun ini sebagai tahun memperbaiki diri, bukan hanya sekadar agenda hidup menambah rezeki. Tahun memperkukuh iman, bukan hanya menambah kemewahan. Tahun mempererat keluarga, bukan hanya mengejar kedudukan. Kita semua tidak tahu bila perjalanan ini akan berhenti maka manfaatkanlah masa sebelum ajal menjemput, dan peluang sebelum pintu taubat tertutup.
Menginsafi khutbah pada hari ini, mimbar merumuskan ia dengan tiga perkara utama:
- Azam yang sejati bukan diucap di bibir, tetapi dibuktikan dengan amal dan istiqamah.
- Ilmu dan iman adalah benteng menghadapi cabaran zaman yang menggugat akidah dan nilai.
- Gunakan masa yang Allah beri untuk memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat sebelum masa itu pergi meninggalkan kita.
Sebagai penutup, marilah kita sama-sama bermohon agar tahun yang baharu ini menjadi titik perubahan yang sebenar. Moga Allah hidupkan hati-hati yang lalai, kuatkan azam yang lemah, dan pimpin kita untuk terus istiqamah di jalan yang diredai-Nya. Semoga setiap langkah selepas ini menjadi langkah menuju rahmat dan keberkatan, dan setiap azam yang diucap menjadi amal yang mengundang reda Allah SWT.
Tarikh Dibaca: 12 Rejab 1447H / 2 Januari 2026
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment