Kefahaman Tentang Tafwid Al-Talaq 

Soalan

Seorang suami dan isteri telah mengalami pertengkaran. Dalam keadaan emosi, suami menghantar satu mesej kepada isterinya melalui aplikasi pesanan yang berbunyi lebih kurang memberi pilihan sama ada untuk meneruskan atau menamatkan hubungan perkahwinan, tanpa menyebut lafaz cerai secara jelas. Niat suami ketika itu adalah sekadar memberi ruang kepada isteri untuk berfikir, dan bukan untuk melafazkan cerai.

Isteri tidak memberikan sebarang jawapan yang jelas terhadap mesej tersebut, dan beberapa jam kemudian mereka berbaik semula dan menjalani kehidupan seperti biasa.

Namun, pada keesokan harinya berlaku sekali lagi pertengkaran, dan dalam keadaan tersebut isteri meminta untuk diceraikan, tetapi suami tidak melayan atau melafazkan cerai. Selepas itu, kedua-duanya kembali berbaik dan hubungan rumah tangga berjalan seperti biasa.

Persoalannya, apakah status perkahwinan pasangan ini dari sudut hukum syarak? Adakah mesej yang dihantar oleh suami itu boleh dianggap sebagai lafaz cerai atau memberi kesan kepada ikatan perkahwinan, walaupun tiada niat menceraikan dan tiada lafaz cerai yang jelas dibuat?

Pasangan ini hanya ingin mendapatkan kepastian hukum bagi memastikan mereka tidak melanggar ketetapan syarak.

Penjelasan

Berdasarkan maklumat yang dikemukakan, lafaz yang diucapkan oleh pihak suami berbentuk memberi pilihan kepada isteri untuk meneruskan atau menamatkan perkahwinan. Dalam hukum fiqh, lafaz seperti ini tergolong sebagai tafwīḍ al-ṭalāq, iaitu penyerahan hak talak kepada isteri, dan termasuk dalam kategori lafaz kināyah yang memerlukan niat serta penerimaan daripada pihak isteri.

Menurut mazhab Syafi‘i, apabila seorang suami memberikan pilihan tersebut, maka isteri hendaklah membuat keputusan dalam majlis yang sama. Sekiranya isteri tidak membuat sebarang keputusan serta-merta, atau berlalu masa sebelum sebarang jawapan diberikan, maka hak tersebut gugur dan talak tidak berlaku.

Dalam situasi yang dinyatakan, isteri tidak memberikan sebarang jawapan ketika lafaz tersebut diucapkan, sebaliknya hanya menyatakan hasrat berpisah pada keesokan harinya. Oleh itu, berdasarkan kaedah fiqh yang muktabar, lafaz tersebut tidak membawa kepada jatuhnya talak, dan perkahwinan tersebut masih kekal sah.

Walau bagaimanapun, bagi memastikan ketenangan dan kepastian hukum, pasangan dinasihatkan untuk mendapatkan pengesahan rasmi daripada Mahkamah Syariah atau Pejabat Agama Islam yang berautoriti.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikut jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Kedudukan Talak dalam Syariat

Talak dari sudut syarak ialah pelepasan ikatan perkahwinan melalui lafaz yang tertentu, sama ada secara jelas (ṣarīḥ) atau secara sindiran (kināyah), sebagaimana yang dihuraikan oleh para fuqaha:

الطلاق شرعاً: حلّ عقدة النكاح بلفظ الطلاق ونحوه

Maksudnya: Meleraikan ikatan perkahwinan dengan lafaz talak atau seumpamanya. [Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, jld. 4, hlm. 119]

Terdapat pelbagai sumber dalil daripada al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menceritakan tentang keharusan penceraian. Antaranya, Allah SWT telah menerangkan dengan jelas berkaitan penceraian melalui firman-Nya:

وَإِنْ عَزَمُواْ الطَّلاَقَ فَإِنَّ اللّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

[Surah Al-Baqarah: 227]

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

الطَّلاَقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

[Surah al-Baqarah: 229]

Tafwid Talak Menurut Hukum Syarak

Merujuk kepada soalan, kes ini berkaitan dengan tafwid al-ṭalāq. Tafwīḍ al-ṭalāq bermaksud suami menyerahkan hak menjatuhkan talak kepada isterinya. Para ulama mazhab Syafi‘i menerima konsep ini dan mengklasifikasikannya sebagai satu bentuk tamlik al-ṭalāq (pemilikan kuasa talak).

Namun, terdapat perincian yang mendalam berkenaan dengan lafaz tafwid al-ṭalāq tersebut. Ulama bersepakat ke atas sah dan berlakunya tafwid al-ṭalāq berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah. Hadis tersebut menjelaskan peristiwa apabila sebahagian isteri Rasulullah meminta tambahan nafkah, sedangkan baginda berada dalam keadaan kekurangan. Situasi tersebut menyebabkan Rasulullah berasa dukacita lalu menjauhkan diri daripada para isteri baginda untuk suatu tempoh.

Peristiwa ini kemudiannya diikuti dengan penurunan ayat pensyariatan tafwid al-ṭalāq dalam Surah al-Ahzab aya 28–29, yang memberikan pilihan kepada isteri-isteri Nabi sama ada memilih kehidupan dunia dengan perpisahan yang baik atau memilih Allah, Rasul-Nya dan kehidupan akhirat. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ إِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا (٢٨) وَإِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالدَّارَ الْآخِرَةَ فَإِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَاتِ مِنْكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا (٢٩)

Maksudnya: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: “Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut’ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. (28)

“Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar” (29).

(Surah al-Ahzab: 28–29)

Para ulama membincangkan berkenaan kategori Lafaz Tafwid. Di sisi mazhab Syafie, lafaz tafwid al-ṭalāq ialah termasuk di dalam kategori akad tamlik. Maka, implikasinya ialah, si isteri perlu menjawabnya dengan segera jika mahu ditalakkan. Jika tidak, maka talak tersebut tidak berlaku. Imam Ar-Ramli ketika mensyarahkan perkataan Imam Nawawi, beliau mengatakan:

(وَهُوَ تَمْلِيكٌ) لِلطَّلَاقِ (فِي الْجَدِيدِ) لِأَنَّ تَطْلِيقَهَا نَفْسَهَا مُتَضَمَّنٌ لِلْقَبُولِ (فَيُشْتَرَطُ لِوُقُوعِهِ تَطْلِيقُهَا عَلَى فَوْرٍ) لِأَنَّ التَّمْلِيكَ يَقْتَضِيهِ، فَلَوْ أَخَّرَتْ بِقَدْرِ مَا يَنْقَطِعُ بِهِ الْقَبُولُ عَنْ الْإِيجَابِ ثُمَّ طَلَّقَتْ لَمْ يَقَعْ.

Maksudnya: “Dan ia merupakan satu bentuk pemilikan terhadap kuasa talak menurut pendapat qaul jadid, kerana tindakan isteri menjatuhkan talak ke atas dirinya sendiri telah merangkumi unsur penerimaan. Maka disyaratkan bagi berlakunya talak tersebut agar isteri menjatuhkan talak itu serta-merta, kerana konsep pemilikan (tamlik) menuntut demikian. Oleh itu, sekiranya isteri melewatkan penjatuhan talak sehingga tempoh yang dianggap terputusnya qabul daripada ijab, kemudian barulah dia menjatuhkan talak, maka talak tersebut tidak berlaku.” [Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, jld. 6, hlm. 347]

Maka, dapat kita ketahui bahawa lafaz tafwid al-ṭalāq juga terbahagi kepada dua. Iaitu lafaz sarih dan kinayah.

Ulama menyatakan bentuk lafaz tafwid al-ṭalāq sarih ialah yang membawa kepada satu makna sahaja iaitu talak. Contohnya seperti: talakkanlah diri kamu jika kamu hendak! Manakala bentuk lafaz talak kinayah pula adalah yang mempunyai makna selain daripada talak. Contoh lafaz kinayah adalah: perkara ini berada pada keinginan kamu. 

Daripada ibarat yang dikemukakan oleh Imam al-Ramli di atas, dapat difahami bahawa tafwid al-ṭalāq dikategorikan sebagai suatu akad tamlik. Oleh itu, para ulama mazhab Syafie menetapkan bahawa pihak isteri hendaklah memberikan jawapan secara segera (al-fawr) bagi membolehkannya melaksanakan talak terhadap dirinya sendiri. Jika di selangi dengan waktu yang panjang pada uruf, maka tidak berlaku talak tersebut.

Berdasarkan ayat yang dinyatakan di atas, jelas bahawa tafwid al-ṭalāq tersebut tergolong dalam kategori tafwid al-ṭalāq secara kināyah. Oleh kerana tafwid al-ṭalāq termasuk dalam kategori akad tamlik, maka pihak isteri disyaratkan untuk membuat keputusan secara segera (al-fawr). Namun, dalam situasi ini, isteri hanya memberikan jawapan pada keesokan harinya bagi tujuan perceraian. Oleh itu, tafwid al-ṭalāq tersebut dianggap terbatal, dan implikasinya ialah talak yang diucapkan oleh pihak isteri tersebut tidak jatuh menurut hukum syarak.    

Syarat Sah Tafwīḍ dan Kesan Hukum

Menurut jumhur fuqaha, khususnya mazhab Syafi‘i, tafwīḍ hanya sah dan berkesan apabila:

  1. Lafaz yang digunakan menunjukkan penyerahan kuasa talak.
  2. Isteri menerima dan melaksanakan pilihan tersebut dalam satu majlis (al-fawr).
  3. Tiada sela masa yang menunjukkan penangguhan atau pembatalan kehendak.

Imam al-Ramli menjelaskan:

فَإِنْ تَرَاخَى جَوَابُهَا بَطَلَ التَّمْلِيكُ

Maksudnya: “Jika jawapan isteri ditangguhkan, maka terbatal pemilikan (hak talak) tersebut.” (Rujuk: Nihāyat al-Muḥtāj, jld. 6, hlm. 347)

Oleh itu, sekiranya isteri tidak memberikan jawapan serta-merta dan hanya menyatakan keinginan untuk bercerai pada waktu lain, maka talak tidak jatuh kerana hak tersebut telah luput.

Kesimpulan

Berdasarkan keseluruhan perbahasan hukum di atas, dapat dirumuskan bahawa lafaz yang diucapkan oleh pihak suami melalui aplikasi WhatsApp tersebut tergolong dalam kategori tafwīḍ al-ṭalāq secara kināyah, iaitu penyerahan hak menjatuhkan talak kepada isteri tanpa lafaz cerai yang jelas. Menurut pandangan mazhab Syafi‘i, bentuk tafwīḍ ini termasuk dalam kategori tamlik al-ṭalāq, yang mensyaratkan agar pihak isteri membuat keputusan secara serta-merta (al-fawr) untuk melaksanakan talak tersebut agar ia berkuat kuasa.

Dalam kes yang dikemukakan, pihak isteri tidak memberikan sebarang jawapan atau keputusan pada waktu lafaz tersebut diucapkan, sebaliknya hanya menyatakan hasrat untuk berpisah pada keesokan harinya. Keadaan ini menurut kaedah fiqh dianggap sebagai berlakunya sela masa (ta’khīr) yang memutuskan kesinambungan antara tawaran dan penerimaan. Oleh itu, hak tafwīḍ tersebut gugur dengan sendirinya dan tidak menghasilkan talak yang sah.

Maka, berdasarkan penelitian hukum dan kaedah yang muktabar, talak tidak jatuh, dan status perkahwinan pasangan tersebut kekal sah serta tidak terjejas. Walau bagaimanapun, pasangan dinasihatkan agar berhati-hati dalam menggunakan lafaz-lafaz yang boleh membawa implikasi hukum yang besar, serta mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak berautoriti agama atau Mahkamah Syariah sekiranya timbul sebarang keraguan pada masa akan datang.

Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman yang benar, memelihara keharmonian rumah tangga, dan menjauhkan kita daripada perkara yang membawa kepada perpecahan.

Wallāhu a‘lam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑