Tajuk: Bapa Qawwam, Wira Tidak Didendang 

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚ فَٱلصَّـٰلِحَـٰتُ قَـٰنِتَـٰتٌ حَـٰفِظَـٰتٌۭ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُ ۚ وَٱلَّـٰتِى تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهْجُرُوهُنَّ فِى ٱلْمَضَاجِعِ وَٱضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا۟ عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيًّۭا كَبِيرًۭا(٣٤)

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.

(Surah An-Nisa’ 4:34)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Marilah kita memperbaharui ketakwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya, jauhilah segala larangan-Nya dan binalah keluarga kita atas dasar iman dan tanggungjawab. 

Mimbar hari ini membawa pesanan bertajuk “Bapa Qawwam, Wira Tidak Didendang”. 

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 34 yang dibacakan khatib pada permulaan khutbah itu tadi bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka”. 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah, 

Bapa ialah tiang dalam bangunan keluarga. Jika tiang itu condong, maka seluruh rumah akan retak. Tetapi jika tiang itu tegak dengan iman, sabar dan tanggungjawab, maka seisi rumah akan berdiri kukuh dengan kasih dan keberkatan. 

Menjadi qawwam bukan sekadar memberi arahan, tetapi memberi teladan. Bukan hanya mencari rezeki, tetapi mencari reda. Bapa bukan hanya penjaga di dunia, tetapi pembimbing menuju syurga. 

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang maksudnya: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, kesemuanya bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin ke atas orang ramai dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya”. 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, 

Kita hidup di zaman di mana ramai bapa diuji dengan desakan hidup, tekanan kerja dan tuntutan dunia tanpa henti. Ramai yang keluar sebelum anak bangun, pulang setelah anak tidur. Anak-anak membesar dengan nama bapa di bibir, tetapi tanpa sentuhan kasih di hati. 

Setiap rumah tangga pasti diuji, namun ujian itu bukan untuk meruntuhkan, tetapi untuk menguatkan kasih yang hampir pudar. Apabila suami isteri kembali berpaut pada doa dan sabar, cinta yang hampir padam akan menyala semula dengan rahmat Allah. Rumah yang berasaskan iman tidak akan rebah hanya kerana badai dunia bahkan akan berdiri lebih teguh dengan kasih dan tanggungjawab yang berpaksikan takwa. 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah, 

Cabaran hari ini bukan sekadar ekonomi, tetapi cabaran akidah dan moral. Gelombang ideologi songsang seperti LGBT, fahaman liberal dan sekular mula menular melalui media sosial, hiburan dan persekitaran pendidikan. Apabila akidah tidak ditanam di rumah, anak-anak akan mencari pegangan di luar. Apabila suara ayah diam, suara dunia akan menguasai. Oleh itu, bapa mesti menjadi pelindung akidah keluarga termasuk membina rumah yang bukan hanya berpagar besi, tetapi berpagar iman. Didik anak-anak agar mengenal Tuhan sebelum mengenal dunia. Kerana apabila mereka kenal Allah, mereka akan tahu batas diri dan erti harga maruah. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Minggu ini anak-anak kita akan kembali ke sekolah. Ada yang naik darjah, ada yang melangkah ke tingkatan. Maka sebagai ayah dan ibu, jadikan saat ini peluang memperbaharui doa dan peranan kita. Luangkan masa bertanya tentang hari mereka, dengar cerita kecil mereka, dan iringi langkah mereka ke sekolah dengan doa yang besar. 

Jangan semata menghantar anak ke pintu sekolah, tetapi hantarlah mereka ke pintu madrasah kehidupan dengan kasih, doa dan nilai iman. Bapa yang bijaksana tidak hanya membina masa depan anak di atas sijil, tetapi di atas sujud dan adab. Kerana kejayaan tanpa akhlak hanyalah kemajuan yang kehilangan arah. 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, 

Tidak semua wira memakai jubah dan mahkota. Sebahagian wira memakai baju lusuh dan pulang dengan peluh di dahi. Itulah ayah kita, insan yang mungkin diam, tetapi menanggung doa yang tidak putus. Setiap ringgit yang dicari dengan halal adalah  sedekah. Setiap letih menanggung keluarga adalah jihad. Setiap doa ayah yang tidak disebut dengan lidah tetap didengar oleh Allah. 

Namun ingatlah, wahai para ayah, jangan biarkan cinta dan rezeki mengatasi tanggungjawab mendidik. Anak bukan hanya perlu dilindungi tubuhnya, tetapi dibajai rohnya dengan ilmu dan kasih yang tulus. 

Sebagai penutup khutbah, marilah kita merenung tiga inti utama hari ini: 

  • Bapa mesti menjadi lelaki qawwam, pemimpin yang memimpin dengan iman, bukan dengan ego. 
  • Keluarga akan bahagia apabila kasih dan tanggungjawab bersatu dalam takwa. 
  • Didiklah anak-anak dengan agama dan doa, kerana itulah warisan paling berharga. 

Sidang Jumaat yang dimuliakan, 

Apabila ayah menundukkan kepala dalam sujud, sebenarnya dia sedang meninggikan martabat keluarganya. Apabila ayah menahan sabar dalam ujian, sebenarnya dia sedang membina syurga untuk anak-anaknya. Maka, wahai para ayah teruslah menjadi qawwam. Walau tiada siapa mendendangkan jasa kalian di dunia, yakinlah bahawa malaikat sedang menulis setiap pengorbanan itu di langit.

Tarikh Dibaca: 19 Rejab 1447H / 9 Januari 2026 

Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑