لَّا تَجْعَلْ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ فَتَقْعُدَ مَذْمُومًۭا مَّخْذُولًۭا(٢٢)
Janganlah kamu mengadakan bersama Allah tuhan yang lain, nescaya kamu akan menjadi tercela dan hina.
(Surah Al-Isra’ 17:22)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa, iaitu dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan takwa itu hidup kita diberkati, urusan kita dipermudahkan, dan pengakhiran kita ditutup dengan husnul khatimah. Sesungguhnya takwa adalah pelita di waktu gelap dan tempat berteduh ketika dunia menekan.
Mimbar hari ini membawa pesan: “Saat Bumi Menghimpit, Rahmat Terhampar di Langit.”
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Isra’ dan Mikraj adalah peristiwa agung yang mempertemukan manusia termulia dengan Tuhan Yang Maha Mulia. Namun menariknya, Allah SWT tidak memperincikan tentang langit, syurga atau perjalanan panjang Nabi صلى الله عليه وسلم dalam al-Quran. Sebaliknya, Allah menurunkan panduan untuk manusia di bumi sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Isra’ ayat 22 hingga 39 sebagai satu rangka hidup yang lengkap bagi insan yang mahu dekat dengan Tuhan.
Peristiwa ini mendidik kita bahawa Mikraj bukan hanya kisah naik ke langit, tetapi perjalanan kembali menyucikan hati. Nabi صلى الله عليه وسلم diangkat bukan untuk kekal di langit, tetapi untuk membawa cahaya petunjuk ke bumi agar manusia tahu bagaimana untuk hidup dengan iman, berkeluarga dengan kasih, dan memimpin dengan amanah yang diberikan.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam gugusan ayat bermula daripada ayat ke 22 dalam rangka ini berbunyi: “Janganlah kamu mengadakan bersama Allah tuhan yang lain, nescaya kamu akan menjadi tercela dan hina.” Tauhid bukan hanya menolak berhala, tetapi menolak ketundukan kepada selain Allah sama ada kepada harta, manusia, jawatan atau pandangan dunia. Ramai hari ini tidak lagi sujud kepada batu, tetapi sujud kepada kehendak manusia. Mereka lebih takut kehilangan manusia berbanding kehilangan reda Allah SWT. Inilah bentuk perhambaan baharu yang mengikat dan membelenggu jiwa.
Dan menariknya, selepas perintah tauhid, Allah terus berfirman dalam ayat ke 23: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa” Ini menandakan bahawa kekuatan iman bermula di rumah, bukan di sekadar di sekolah atau di mimbar semata. Anak yang mengenal kasih, akan lebih mudah mengenal Tuhan. Agama bukan diwariskan melalui lisan, tetapi melalui doa dan teladan.
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Seterusnya Allah berfirman pada ayat ke-26 tentang hak kerabat, orang miskin dan musafir, serta melarang pemborosan. Islam tidak menolak kekayaan, tetapi membenci kelalaian terhadap penderitaan orang lain. Hari ini, manusia memiliki banyak harta tetapi sedikit ruang yang menempatkan sifat empati. Kita mampu memberi sedekah jauh di dunia maya, tetapi gagal menziarahi jiran di sebelah rumah. Pemborosan bukan hanya pada harta, tetapi juga pada masa dan kasih yang tidak dijaga. Setiap rezeki yang luas adalah amanah, dan setiap rezeki yang sempit adalah ujian. Mikraj mendidik hati agar tenang menerima ketentuan Allah kerana yang penting bukan banyaknya rezeki, tetapi berkatnya rezeki.
Muslimin yang dikasihi Allah,
Pada kesinambungan ayat seterusnya Allah melarang pembunuhan anak kerana takut miskin. Larangan ini kini berlaku bukan dengan pedang, tetapi dengan kelalaian. Anak-anak hari ini tidak mati tubuhnya, tetapi mati jiwanya kerana dibesarkan tanpa pelukan, tanpa doa, tanpa nilai iman. Begitu juga larangan mendekati zina, ia bukan hanya larangan perbuatan, tetapi peringatan agar kita tidak mendekati jalan yang menuju kepada zina. Mikraj bukan simbol kebebasan tanpa batas, tetapi latihan kawalan diri dan disiplin rohani. Maruah dan harga diri ialah benteng iman; apabila benteng ini runtuh, masyarakat akan kehilangan arah.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Allah menegaskan dalam ayat ke-34 hingga 36 agar kita menjaga amanah, menunaikan janji, dan tidak mengikuti sesuatu tanpa ilmu. Hari ini, amanah bukan sekadar menimbang sukatan, tetapi menimbang kebenaran. Zaman ini penuh berita, tetapi kurang semakan, ramai pandai menilai, tetapi tidak banyak yang berhikmah. Sedangkan Allah telah memperingatkan: “Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan dipersoalkan.”
Mikraj mengajar kita agar naik ke langit ilmu dan turun dengan akhlak. Kerana ketinggian tanpa ilmu akan membawa sombong, dan ilmu tanpa akhlak akan membawa kehancuran. Sidang Jumaat yang berbahagia, Kehidupan hari ini penuh dengan tekanan baik dari sudut ekonomi, pekerjaan, emosi dan ujian kehilangan.
Namun, di balik setiap kesempitan, Allah tidak pernah menghalalkan jalan yang menyimpang, menutup mata terhadap kezaliman, atau meredakan tekanan dengan penyelewengan dan rasuah, sebaliknya Allah mengajar manusia untuk mencari keluasan dengan cara yang bersih dan diredai. Di balik setiap kesempitan, Allah menyembunyikan rahmat yang luas.Untuk yang bersabar, Allah menawarkan rahmat yang penuh dengan kasih.
Sesiapa yang berdoa, Allah Maha Mendengar walaupun hanya tangan yang diangkat tanpa suara.
Peristiwa Isra’ dan Mikraj mengajar kita bahawa ketika bumi menghimpit, rahmat Allah tetap terhampar di langit. Apabila manusia menolak, Allah memanggil. Bila dunia menutup pintu, Allah membuka ruang melalui ibadah sujud. Maka jangan berputus asa, kerana setiap ujian adalah undangan untuk kembali kepada-Nya.
Menginsafi khutbah pada hari ini mimbar mengajak sidang Jemaah untuk merenungi tiga hakikat besar Isra’ dan Mikraj yang menjadi panduan hidup di bumi:
- Tauhid sebagai asas kehidupan kerana apabila hati terpaut kepada Allah, dunia tidak lagi menakutkan.
- Amanah dan ilmu sebagai teras masyarakat kerana tanpa jujur dan adab, ilmu hanya akan membinasakan.
- Solat sebagai Mikraj rohani kerana di saat bumi menghimpit, ada panggilan yang berbisik sujudlah, kerana di situ rahmat Allah terbuka luas.
Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Mikraj bukan hanya tentang perjalanan Nabi ke langit, tetapi perjalanan kita mencari makna di bumi. Baginda diangkat bukan untuk kekal di langit, tetapi untuk kembali dengan rahmat kepada umat di dunia ini. Maka siapa pun kita, setinggi mana pun ilmu dan pangkat, marilah kita kembali menjadi hamba yang tunduk, sabar dan bersujud kembali kepada Allah jua. Apabila terasa bumi menghimpit, pandanglah ke langit. Kerana di situlah rahmat Allah menunggu hamba yang masih berharap.
Tarikh Dibaca: 26 Rejab 1447H / 16 Januari 2026
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment