وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَـٰكُمْ أُمَّةًۭ وَسَطًۭا لِّتَكُونُوا۟ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًۭا ۗ
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu;”
(Surah Al-Baqarah 2:143)
Sidang Jemaah Jumaat Sekalian,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat. Bertakwalah kepada Allah dengan beristiqamah dalam mematuhi perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Usah kita terus leka dibuai nafsu yang mudah goyah dengan bisikan syaitan yang tidak pernah jemu menyesatkan. Mari kita bersama celikkan mata hati dan minda. Moga-moga setiap lafaz khutbah yang didengar dengan hati dan akal yang sedar, mendatangkan barakah dan pahala yang besar.
Di penghulu segala hari yang mulia ini, khatib ingin membawa sidang jemaah menyelami sebuah tajuk khutbah yang sangat penting iaitu: “Menghayati Wasatiyyah, Menjauhi Ekstremisme”.
Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,
Sebagai asas peringatan kita hari ini, firman Allah SWT dalam sebahagian Surah al-Baqarah ayat 143 yang dibacakan di awal khutbah tadi bermaksud:
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu;”
Dengan keistimewaan yang wujud pada manhaj wasatiyyah atau pendekatan kesederhanaan, Islam menganjurkan agar ia menjadi salah satu ciri penting yang perlu ditonjolkan dalam segenap kehidupan umat Islam terutamanya dalam konteks bernegara. Ini dikuatkan lagi dengan pandangan Ibn Jarir al-Tabari dalam tafsirnya beliau berkata:
“Kalimah ummatan wasata antara lain memberi maksud sebaik-baik perkara adalah pertengahan. Lebih dari yang dituntut adalah melampau dan kurang daripadanya merupakan kecuaian. Kedua-duanya adalah keji dan hina.”
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Wasatiyyah dalam semua aspek kehidupan adalah merupakan satu manhaj yang sewajibnya dipegang dan dipraktikkan oleh seluruh umat Islam bermula dari peringkat individu, keluarga, masyarakat dan Negara. Ia merupakan satu tuntutan yang tidak boleh dipandang ringan kerana lawan kepada wasatiyyah iaitu melampau dan ekstremisme adalah musibah yang akan membawa kepada kehancuran dan keruntuhan ummah serta negara.
Tidak dapat dinafikan, Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang telah lama mengamalkan prinsip-prinsip wasatiyyah. Prinsip-prinsip ini terkandung kukuh dalam dasar-dasar ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang mula-mula sampai dan disebarkan ke negara ini. Lantaran itu, tiada dalam sejarah negara kita, Islam didakwahkan dalam bentuk paksaan, peperangan, pergaduhan atau kaedah sempit yang menyusahkan. Sebaliknya ajaran Islam disampaikan dan disebarluaskan oleh para pendakwah terdahulu dengan penuh hikmah wasatiyyah sehingga ia boleh diterima daripada setinggi-tinggi kedudukan seperti raja sehingga kepada rakyat jelata.
Mari sama-sama kita renungkan kata-kata Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi rahimahullah bahawa wasatiyyah itu ialah tunjang kesatuan. Wasatiyyah melambangkan kesatuan dan titik pertemuan. Apabila berlakunya kepelbagaian, pertengahan akan muncul sebagai penyatu. Besar kemungkinan, kepelbagaian itu tadi akan bertemu pada pertengahan yang menjadi pusat. Ini adalah jelas, sama ada dari segi kebendaan, pemikiran dan juga spiritual. Titik pusat satu bulatan membolehkan setiap garisan yang datang dari kelilingnya bertemu di pertengahannya.
Perkara ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam al- Bukhari daripada Abu Hurairah radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, dan tidaklah sama sekali seseorang yang tasyaddud dalam beragama melainkan pasti agama itu akan mengalahkannya, oleh sebab itu hendaklah kamu menepatinya dan menghampirinya dan bergembiralah (dengan berita itu). Dan mohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi dan petang dan sedikit daripada waktu malam.”
Kesemua petunjuk di atas jelas menunjukkan bahawa kita hendaklah sentiasa bersikap wasatiyyah dan tidak ghuluw (melampau) dalam beragama. Kemunculan kumpulan atau fahaman ekstremis, radikal atau pelampau ini tidak hanya berlaku dari sudut fizikal sahaja iaitu golongan yang hanya mengenal senjata, pemberontakan sebagai solusi kepada masalah tertentu.
Muslimin Rahimakumullah,
Persoalan yang mungkin ditanya ialah mengapa sikap ekstremisme boleh merosakkan ukhuwah dan keharmonian umat Islam? Hakikatnya, kesan ekstrimisme akan menghasilkan gejala suka mengkafirkan, membidaahkan dan menuduh orang lain sesat. Hal ini merupakan akibat daripada terlalu taksub berpegang kepada pegangan mereka, tanpa menilai atau cuba memahami data, fakta atau kehendak dan hujah orang yang berlainan dengan pegangan mereka.
Diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abdullah bin Abbas radiallahu ‘anhuma telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Jauhilah kamu daripada sikap melampau dalam urusan agama, kerana sesungguhnya umat terdahulu sebelum kamu binasa adalah disebabkan sikap melampau dalam urusan agama.”
Kita boleh mengenalpasti sifat yang nyata bagi golongan pelampau. Antaranya ialah cepat bertindak balas, tergopoh-gapah, cepatnya emosi, kebiasaannya cepat mempercayai apa yang didengar dan mudah berpuas hati dan mengikut apa yang disuruh.
Orang seperti ini memiliki hati dengan longgokan sifat mazmumah seperti hasad dengki, ujub, takabbur dan lain-lain. Ini semua adalah racun dan virus yang akan menyebabkan pertelingkahan sehingga membawa perpecahan dan mengancam keselamatan masyarakat dan negara. Kita perlu menolak ekstremisme dan memelihara ukhuwah. Sentuhan ayat ini sepatutnya menginsafkan diri serta mencairkan hati hingga kita tersungkur dalam penyesalan. Sesungguhnya, Allah sentiasa membuka jalan pulang bagi siapa sahaja yang ingin kembali dengan penuh keikhlasan.
Tarikh Bacaan: 4 Sya’ban 1447H | 23 Januari 2026M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment