وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌۭ (٧)
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras””.
(Surah Ibrahim 14:7)
Sidang Jemaah yang dimuliakan,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sesungguhnya takwa adalah bekalan yang paling utama dan sebaik-baik perisai kita di dunia dan di akhirat.
Berikan sepenuh tumpuan kepada khutbah yang akan disampaikan dan jauhkan daripada sebarang gangguan seperti bermain telefon bimbit, bersembang atau tidur. Semoga setiap nasihat yang didengari akan menyuburkan hati dan membimbing kita ke arah kebaikan.
Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “Takwa Memakmur Wilayah”.
Sidang jemaah yang dimuliakan,
Tahun 2026 ini menandakan ulang tahun ke-52 pembentukan Wilayah Persekutuan. Aspirasi “Wilayah Persekutuan KITA” menekankan nilai keharmonian dan kerjasama erat dalam memacu pembangunan yang lestari dan harmoni. Namun, kemakmuran ini menuntut rasa syukur yang dizahirkan melalui permuafakatan menjaga keharmonian serta kebersihan persekitaran.
Ditambah pula pelbagai peluang dan inisiatif disediakan di Wilayah Persekutuan. Sebagai contoh, Program Usaha Jaya Ihsan (PUJI) yang bertujuan sebagai langkah exit-program bagi menjana melalui aktiviti penjanaan pendapatan rakyat yang menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya dapat meningkatkan potensi pendapatan masyarakat.
Justeru Sambutan Hari Wilayah adalah cerminan kepada nilai perpaduan, kesefahaman dan semangat kekitaan seluruh komuniti. Disini, tanpa mengira bangsa dan agama, kita berkongsi bumbung yang sama, mencari rezeki di tanah yang sama dan bernaung di bawah keamanan yang sama. Sesungguhnya muafakat inilah yang telah menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang maju dan dinamik.
Justeru, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat pembangunan dan keamanan yang kita kecapi ini. Bersyukur tidak boleh terhenti pada ucapan semata akan tetapi menuntut usaha sama seluruh warganya demi memastikan wilayah ini kekal sebagai simbol kekuatan negara. Dalam menghargai segala kurniaan ini, sewajarnya kita merenung kembali janji Allah SWT di dalam surah Ibrahim ayat 7 yang dibacakan pada permulaan khutbah yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras””.
Sidang jemaah yang dimuliakan,
Dalam Islam, perpaduan bukan sahaja satu keperluan hidup tetapi ia adalah satu perintah Allah SWT. Allah SWT berfirman di dalam surah Al Hujurat ayat yang maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
Melalui ayat ini, jelaslah bahawa takwa tidak hanya terbatas kepada ibadah peribadi tetapi merangkumi tanggungjawab membina kekuatan ummah. Ketahuilah takwa adalah nadi yang menghidupkan jiwa perpaduan. Tanpa pasak takwa yang kukuh, kemakmuran yang kita kecapi hari ini hanyalah bersifat sementara, ibarat bangunan yang indah di pandangan mata namun rapuh dan reput di dalamnya.
Persoalannya bagaimanakah cara untuk kita menterjemahkan takwa menjadi tunjang kekuatan dalam mengekalkan kemakmuran ini? Jawapannya terletak pada tekad kita untuk menjauhi segala sifat-sifat buruk yang dilarang keras oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah radiyallahuanhu berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Janganlah kamu saling berdengki. Janganlah kamu saling menipu dan memperdaya. Janganlah kamu saling membenci. Janganlah kamu saling memulaukan antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu mensabotaj urusan perniagaan saudara yang lain. Jadilah kamu para hamba Allah yang bersaudara. Setiap Muslim ialah saudara kepada Muslim yang lain. Dia tidak boleh menzalimi, mengabaikan, membohongi atau menghinanya. Takwa itu di sini. Baginda SAW mengisyaratkan ke dadanya sebanyak tiga kali.”
Inilah rahsia perpaduan sejati. Apabila nilai ini menjadi pegangan, masyarakat kita akan terus bersatu hati, bak kata pepatah: serumpun bak serai, sesusun bak sirih.
Saudara-Saudaraku yang dikasihi,
Muafakat setiap warga Wilayah Persekutuan seharusnya seiring mendukung gagasan khalifah yang diamanahkan Allah untuk mengurus bumi tanpa melakukan kerosakan. Maka, aspek kebersihan wajar diberi penekanan serius. Ketahuilah bahawa perbuatan membuang sampah merata-rata bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup, malah merupakan pengkhianatan kepada amanah Allah SWT. Selain daripada Kempen Bersih Setiap Tempat (BeST) yang dianjurkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan, kerajaan telah menguatkuasakan Undang-Undang Pembuangan Sampah Kecil mulai 1 Januari 2026. Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 dan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga 12 jam. Hukuman ini bertujuan memberi keinsafan dan meningkatkan tanggungjawab sosial agar kita tidak mengulangi kesalahan yang mencemarkan bumi bertuah ini
Jangan mengejar kemajuan dunia lalu mengabaikan nilai-nilai kebersihan fizikal dan juga rohani. Semoga Allah SWT terus memelihara Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya agar kekal sebagai bumi yang makmur, warganya yang bersatu dan sentiasa dalam lindungan serta rahmatnya.
Tarikh Bacaan: 11 Sya’ban 1447H | 30 Januari 2026M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment