Teks Khutbah Jumaat (WP): Muamalat Dijaga, Hidup Sejahtera

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضٍۢ مِّنكُمْ ۚ 

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, 

(Surah an-Nisa’ 4:29)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat. Bertakwalah kepada Allah dengan beristiqamah dalam mematuhi perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Usah kita terus leka dibuai nafsu yang mudah goyah dengan bisikan syaitan yang tidak pernah jemu menyesatkan. Izinkan khatib mengingatkan diri ini dan seluruh hadirin yang dimuliakan. Mari kita bersama celikkan mata hati dan minda. Moga-moga setiap lafaz khutbah yang didengar dengan hati dan akal yang sedar, mendatangkan barakah dan pahala yang besar. 

Di penghulu segala hari yang mulia ini, mimbar ingin mengangkat satu tema yang sangat dekat dengan kehidupan kita semua, iaitu “Muamalat Dijaga, Hidup Sejahtera”. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Islam bukan sekadar agama ibadah ritual, bahkan satu sistem kehidupan yang menyeluruh, termasuk dalam aspek muamalat iaitu ekonomi dan kewangan. Islam meletakkan beberapa prinsip penting yang wajib dipatuhi oleh setiap Muslim termasuk dalam hal urusan pelaburan. Antara prinsip pelaburan tersebut mestilah bebas daripada unsur riba, tidak mengandungi penipuan serta ketidaktentuan melampau (gharar), tidak melibatkan unsur perjudian (maysir), dan tidak berkaitan dengan aktiviti haram seperti arak, judi serta rasuah. 

Selain itu, keuntungan yang diperoleh hendaklah datang daripada aktiviti perniagaan sebenar yang produktif serta memberi manfaat kepada masyarakat, bukan semata-mata bersifat spekulasi atau janji pulangan tetap tanpa risiko. 

Prinsip-prinsip ini selari dengan firman Allah SWT Surah an-Nisa’ ayat 29 yang dibacakan pada mukadimah khutbah. Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu”. 

Ayat ini menegaskan bahawa setiap bentuk transaksi kewangan hendaklah berasaskan keadilan, ketelusan dan keredaan kedua-dua pihak. 

Sidang Jemaah Yang Dimuliakan, 

Islam menetapkan prinsip yang jelas supaya harta yang diperoleh adalah halal, berkat dan tidak menzalimi mana-mana pihak. Antara larangan paling tegas dalam Islam ialah riba. Allah SWT berfirman Surah al-Baqarah ayat 278 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman”. 

Ayat ini membuktikan betapa besarnya dosa riba sehingga Allah mengisytiharkan perang terhadap pelakunya. Isu riba bukan sekadar isu ekonomi, malah ia melibatkan soal akidah serta ketaatan kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. 

Riba juga tergolong dalam tujuh dosa besar sebagaimana yang disampaikan oleh Baginda Nabi SAW. Malangnya, hari ini kita melihat ramai umat Islam terjebak dalam skim cepat kaya, pelaburan palsu dan penipuan kewangan kerana kurang ilmu dan tidak merujuk panduan fatwa. Janganlah kita memandang ringan terhadap keputusan fatwa atau memilih hukum mengikut selera dan kepentingan peribadi. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Dalam mendepani arus kemodenan yang menyajikan pelbagai instrumen kewangan kompleks seperti pembiayaan peribadi, pelaburan, dan mata wang digital, institusi fatwa memainkan peranan kritikal sebagai panduan utama umat Islam. Keputusan yang dikeluarkan oleh badan berautoriti ini merupakan hasil ijtihad yang teliti bersandarkan alQuran, as-Sunnah, ijmak, dan qiyas bagi merungkaikan hukum terhadap isu-isu baharu. 

Kejelasan ini amat diperlukan agar setiap transaksi dan urusan muamalat masyarakat sentiasa kekal pada landasan syarak serta terpelihara daripada sebarang unsur syubhah Institusi mufti bukan sekadar badan yang mengeluarkan hukum, bahkan merupakan benteng intelektual dan moral ummah dalam memastikan kefahaman agama sentiasa terpelihara daripada kekeliruan dan ekstremisme. 

Setiap fatwa yang diputuskan melalui proses muzakarah, penelitian dalil serta pertimbangan maqasid syariah membuktikan bahawa keputusan tersebut bukan bersifat individu atau emosional, tetapi hasil disiplin ilmu yang berautoriti. Kewujudan institusi ini juga memberi ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan panduan yang tersusun, berwibawa dan selari dengan konteks setempat tanpa mengabaikan prinsip syarak yang qat‘ie. 

Keyakinan terhadap institusi mufti perlu dibina atas kefahaman bahawa mereka berfungsi sebagai penjaga keseimbangan antara tuntutan nas dan realiti semasa. Dalam dunia yang dipenuhi maklumat tidak sahih dan pandangan agama yang bercampur-aduk di media sosial, suara institusi mufti menjadi rujukan rasmi yang memandu umat agar tidak terjerumus dalam kekeliruan hukum. Dengan integriti, ketelusan serta komitmen terhadap amanah ilmu, institusi mufti terus memainkan peranan strategik dalam memelihara keharmonian masyarakat serta memperkukuh kepercayaan umat terhadap sistem perundangan Islam yang adil dan rahmah. 

Tetamu-Tetamu Allah Yang Diberkati, 

Selain riba, Islam juga memberi perhatian besar terhadap isu hutang kerana hutang bukanlah suatu perkara kecil yang boleh dipandang ringan. Hutang merupakan satu amanah yang wajib dilunaskan dan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak. Sikap cuai dan melengah-lengahkan pembayaran hutang bukan sahaja menzalimi manusia, bahkan boleh membawa implikasi dosa di sisi Allah SWT.

Imam at-Tirmidzi meriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 

“Roh seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga hutangnya itu dilangsaikan”. 

Hadis ini menunjukkan bahawa Islam menuntut agar kita tidak berhutang kecuali kerana keperluan sebenar untuk meneruskan hidup dan bukan dalam perkara sia-sia. Umat Islam juga harus berniat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membayar balik pinjaman atau hutang agar tidak menzalimi pemiutang dengan melengah-lengahkan bayaran serta mengelakkan hutang yang mengandungi unsur riba dan gharar. 

Sehubungan itu, bagi mereka yang terlibat dengan pinjaman riba dinasihatkan supaya segera bertaubat daripada dosa yang telah dilakukan kerana ia merupakan dosa besar. Usahalah untuk melunaskan pinjaman tersebut secepat mungkin dan tidak terus terlibat dalam urusan riba. Sekiranya peminjam tidak berkemampuan, hutang tersebut boleh dipertimbangkan untuk dibiayai semula melalui institusi-institusi kewangan yang menawarkan pembiayaan secara patuh syariah. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebagai penutup khutbah hari ini, marilah kita renungi beberapa saranan: 

1. Kita hendaklah menjauhi riba dalam apa jua bentuk urusan muamalat kerana riba adalah dosa besar yang membawa ancaman perang daripada Allah dan RasulNya. 

2. Kita hendaklah mengurus hutang dengan penuh amanah dan tanggungjawab tidak berhutang kecuali kerana keperluan sebenar serta berusaha bersungguhsungguh untuk melunaskan hutang kerana setiap hutang akan dipersoalkan di akhirat kelak. 

3. Memastikan setiap bentuk pelaburan berlandaskan prinsip syariah dengan meneliti kontrak sumber keuntungan dan aktiviti perniagaan supaya bebas daripada unsur riba, gharar, maysir dan perkara haram. Rujuklah fatwa daripada Jabatan Mufti sebelum melakukan transaksi. 

Tarikh Dibaca: 18 Syaaban 1447H | 6 Februari 2026M 

Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑