Teks Khutbah Jumaat (JAKIM): Menyambut Tetamu Agung Dengan Ketakwaan 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ(١٨٣)

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” 

(Surah Al-Baqarah 2:183)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

Marilah kita menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana dengan izin dan rahmat-Nya, kita masih dipanjangkan usia serta diberi peluang untuk terus menikmati nikmat kehidupan. 

Kini kita berada di ambang kedatangan bulan Ramadan, tetamu agung yang Allah hadirkan sebagai medan rahmat dan keampunan. Maka usah sesekali kita berasa lemah dalam mentaati perintah Allah. Sabar dan tahanlah diri agar tidak melakukan apa yang ditegah. Mudah-mudahan Ramadan yang bakal menjelang, membentuk takwa yang menjadi sumber kekuatan dalam usaha menambah amal soleh. Semoga dengannya, kita beroleh redha Allah SWT dan dikurniakan syurga yang dijanjikan. 

Suka juga khatib mengingatkan agar kita menghayati khutbah ini dengan sepenuh jiwa. Sekiranya ada kalam yang menjentik rasa, anggaplah ia teguran Allah untuk menambah keinsafan. Moga kita dapat mengutip ilmu dan ibrah dari khutbah yang bakal khatib sampaikan. Dan semoga, setiap bait ayat dapat memberi manfaat dalam usaha kita menyambut tetamu istimewa yang di dalamnya penuh keberkatan. 

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: Menyambut Tetamu Agung Dengan Ketakwaan. 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, 

Biasanya apabila rumah kita akan dikunjungi tetamu, apakah yang akan kita lakukan? Adakah kita hanya menunggu tanpa berbuat apa-apa? Rumah tidak dikemas, juadah tidak disediakan, diri sendiri pula tidak dihias rapi lagi bersih. Apakah begitu cara kita menyambut tetamu? Sudah tentu tidak hadirin sekalian. Sebaliknya, kita akan membersih lagi menghias rumah, menyediakan hidangan yang enak dan memperelokkan diri, sebagai tanda hormat bagi meraikan tetamu yang hadir. 

Hari ini, Jumaat kedua yang juga merupakan Jumaat terakhir dalam bulan Syaaban, berbaki beberapa hari sahaja lagi kita bakal menerima tetamu agung yang kehadirannya sangat istimewa. Bulan yang bukan saja dinanti-nantikan oleh orang-orang beriman malah seluruh makhluk, iaitulah bulan Ramadan al-Mubarak. 

Persoalannya, apakah persiapan kita untuk menyambut tetamu agung ini? Apakah sekadar memasuki Ramadan begitu sahaja, hanya dengan berpuasa dan berbuka seperti biasa, tanpa usaha untuk memperbaiki diri agar menjadi lebih baik berbanding Ramadan yang lalu? 

Sesungguhnya, persediaan yang dituntut bukan sekadar pada aspek zahir, bahkan merangkumi persiapan yang menyeluruh dari sudut ilmu, rohani dan jasmani. Kehadiran Ramadan hendaklah disambut dengan penuh ketakwaan kerana itulah matlamat ibadah puasa disyariatkan. Sebagaimana maksud firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang dibacakan di awal khutbah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” 

Muslimin rahimakumullah, 

Bulan Ramadan 1447 Hijrah yang bakal menjelang ini menyaksikan, ada dalam kalangan ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan kita yang tidak lagi berpeluang memasukinya. Maka sewajarnya kita menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT sekiranya masih dipilih melangkah masuk ke bulan yang mulia ini. Mudah-mudahan Allah mengizinkan khatib dan hadirin sekelian mengecapi nikmat bulan barakah ini sehingga ke akhirnya di samping diberi kekuatan memanfaatkannya. 

Menyedari hakikat tersebut, sebelum kita melakukan sebarang persiapan, perkara paling utama yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana hubungan kita dengan Allah SWT? Tanya juga pada diri, apakah khabar iman kita? Apakah khabar amal dan bacaan al-Quran kita? Adakah jiwa kita benar-benar bersedia menyambut Ramadan seperti sikap orang-orang soleh terdahulu? Mereka tidak menunggu Ramadan datang tanpa persiapan. Bahkan mereka mendahului kedatangan Ramadan dengan doa dan kesungguhan. 

Sebagaimana kata Imam Ibn Rajab yang maksudnya: “Para salaf terdahulu berdoa kepada Allah selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadan, kemudian mereka berdoa selama enam bulan lagi agar amal Ramadan mereka diterima.” 

Ini menunjukkan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi tetamu agung yang disambut dengan kerinduan, persediaan dan harapan agar setiap amal diterima oleh Allah SWT. Ramadan merupakan bulan yang sangat kondusif untuk membentuk diri menjadi insan yang lebih baik. Maka perbetulkanlah niat agar setiap ibadah yang dilaksanakan bukan sekadar memenuhi rutin harian, tetapi benar-benar menjadi medan hijrah diri dan seisi keluarga.

 Allah SWT berfirman di dalam Surah Ali Imran ayat 133 yang maksudnya: “Dan segeralah kamu kepada ampunan daripada Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi…” 

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, 

Dalam menyambut tetamu agung ini juga, persediaan yang dituntut tidak terhenti pada urusan zahir sahaja seperti apa yang ingin dimakan untuk iftar dan sahur atau di mana melaksanakan solat sunat tarawih. Sebaliknya, persediaan yang lebih utama ialah kesediaan hati yang dipandu oleh ilmu serta disokong oleh kekuatan jasmani. Persiapan ilmu amat penting agar setiap ibadah yang dilaksanakan berlandaskan kefahaman yang betul, tidak tersasar daripada tuntutan syarak dan tidak sekadar mengikut kebiasaan. 

Manakala persediaan jasmani pula diperlukan supaya tubuh badan mampu menyokong ibadah, kekal sihat dan bertenaga sepanjang Ramadan. Sebagai panduan, marilah kita meneladani Rasulullah SAW dan para sahabat yang sentiasa bersedia menyambut Ramadan. 

Baginda SAW memperbanyakkan istighfar dan doa setiap hari lebih-lebih lagi di bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan. Para sahabat pula bersungguh-sungguh menunaikan ibadah, menjaga sahur, memperbanyak solat malam serta mengatur amal kebaikan agar setiap hari di dalam Ramadan dimaksimumkan demi untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sebagaimana sabda Nabi SAW riwayat Bukhari dan Muslim yang maksudnya: “Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan dengan iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.” 

Sabdaan Nabi SAW ini menjadi panduan bagi kita memperteguhkan niat dan memanfaatkan setiap saat dalam Ramadan. Siapa tahu, barangkali Ramadan kali ini menyapa diri buat kali yang terakhir. Maka pilihan di tangan kita, sama ada ingin mengimarahkan Ramadan atau terus hanyut dalam kelalaian? 

Muslimin rahimakumullah, 

Setiap tahun dalam bulan Ramadan, kita juga sering mendapati paparan berita mengenai pihak penguatkuasa agama yang terpaksa berhadapan dengan “geng plastik hitam” atau individu yang makan atau minum secara terbuka pada siang hari. Meskipun ia dilakukan oleh golongan minoriti, perbuatan ini bukan sahaja menunjukkan kurangnya penghormatan terhadap syiar agama, bahkan turut memberi contoh tingkah laku yang tidak baik kepada generasi muda. Melalui Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] menetapkan bahawa, mana-mana umat Islam yang secara terbuka makan, minum atau merokok ketika berpuasa di tempat awam boleh dikenakan tindakan undang-undang. 

Maka, marilah kita tanamkan kesedaran dalam diri untuk menjaga kehormatan ibadah serta menjadi teladan yang baik kepada keluarga dan masyarakat. Semoga Allah SWT memberi hidayah dan kekuatan kepada yang masih lalai agar kembali taat kepada perintah-Nya termasuklah menunaikan solat dengan sempurna dan mengerjakan ibadah puasa dengan sabar. Moga setiap langkah dalam kehidupan diringi keberkatan dari Allah SWT. 

Sidang Jemaah yang dimuliakan,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, tiga perkara yang dapat khatib simpulkan adalah seperti berikut: 

Pertama: Kenal diri dan perbaiki niat melalui jalan muhasabah, mengenal kelemahan dan kekuatan serta memperbetulkan niat agar setiap ibadah dilaksanakan dengan sempurna. 

Kedua: Persiapan ilmu, rohani dan jasmani menuntut kita bersedia dari semua aspek. Antaranya ialah dengan meneladani Nabi SAW dan para sahabat seperti memperbanyak zikir, doa, sahur dan solat malam. 

Ketiga: Hormati syiar Ramadan dengan menjauhi maksiat, menjadi teladan kepada masyarakat dan memohon kekuatan daripada Allah SWT untuk sentiasa berada di jalan yang diredhai-Nya.

Tarikh Dibaca: 13 Februari 2026M | 25 Syaaban 1447H 

Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑